Gandingan Uqasha (dia dari kanan) dan Fikry (kanan) menerusi drama 'Hero Seorang Cinderella' mendapat perhatian peminat sehingga ada yang mengharapkan mereka bercinta.
PELAKON Uqasha Senrose menyangkal desas-desus mengatakan dia dan pelakon Fikry Ibrahim sedang dilamun cinta gara-gara tampil sebagai pasangan kekasih dalam drama Hero Seorang Cinderella.
Sebaliknya dedah Uqasha, tidak ramai mengetahui dia dan Fikry sebenarnya sering 'bergaduh' di set penggambaran terutama soal pemilihan pakaiannya.
Malah kata Uqasha, gara-gara sering ditegur dia memberi gelaran ustaz kepada bekas peserta program Lawak Solo itu.
"Bercinta? Kalau nak tahu hari-hari kami bergaduh dekat set, Fikry ni dah macam ustaz dan akan cari pasal dengan saya terutama nak menegur cara saya berpakaian.
"Cara dia tegur memang kasar bunyinya tetapi saya tidak ambil hati kerana tahu niat dia baik dan ikhlas.
"Mungkin itu cara dia tapi kadang-kadang buat saya geram dan itu sebab kami sering 'bergaduh' di set," katanya kepada mStar Online.
Antara rakan artis yang hadir memeriahkan sambutan hari jadi Uqasha.
Uqasha ditemui pada majlis sambutan ulang tahun kelahirannya yang ke-25 di Mercu Mustapha Kamal, Petaling Jaya pada malam Sabtu.
Dalam pada itu, bercakap mengenai soal jodoh, Uqasha berkata, bersempena dengan ulang tahun kelahirannya perkara itu adalah antara hajatnya.
Bagaimanapun pemilik nama sebenar Nik Zaris Uqasha Nik Sen ini berkata, sehingga kini dia belum mempunyai teman istimewa yang layak dipanggil kekasih hati.
"Ya, kalau boleh biar cepat bertemu jodoh dan rasanya ini adalah waktu tepat untuk saya serius memikirkan soal itu.
"Itulah pula masalahnya, jodoh nak cepat tetapi kekasih belum ada, macam mana?" soalnya berseloroh.
Dalam perkembangan lain, Uqasha bersyukur lakonannya sebagai Puteri Emallyn menerusi Hero Seorang Cinderella mendapat pujian penonton.
Gandingan Uqasha dan Fikry dalam Hero Seorang Cinderella disukai peminat.
Kata Uqasha, ia sekali gus menepis persepsi dia hanya dikenali kerana kisah kontroversi dan bukan kerana bakat lakonan.
"Syukur, watak saya menerusi drama ini benar-benar memberi ruang untuk menonjolkan bakat lakonan sebenar," katanya.
Bercakap mengenai majlis yang diadakan, Uqasha berkata selain menyambut hari lahirnya ia sambutan rumah terbuka bersempena Aidilfitri.
Selain keluarga dan rakan terdekat, Uqasha juga mengadakan majlis itu bagi meraikan media dan rakan artisnya.
"Saya sebenarnya tidak pernah lari daripada pihak media seperti didakwa malah saya menjemput semua teman-teman media untuk meraikan hari penuh bermakna ini," katanya.
Selain rakan media, turut menyerikan majlis tersebut dengan kehadiran teman-teman selebriti antaranya Datin Umie Aida, Fasha Sandha, Fazura, Nelydia Senrose, Ryzal Jaafar, Fikry Ibrahim, Emma Maembong dan Daler Yusof.