NAMA dan kelibat figura ini di dalam industri seni tidak perlu diperkenalkan lagi.
Biarpun penglibatannya di dalam industri seni baru bermula sedekad yang lalu, namun keberkesanan lakonannya dalam membawakan apa jua watak dipuji ramai.
Bukan sekadar di layar perak dan di kaca TV sahaja, dia juga pernah membuktikan kemampuannya di pentas teater.
Namun kini seiring dengan masa yang berjalan, aktor ini mula bekerjasama dengan pelakon baru yang sedang meningkat naik.
Meskipun selama ini dia diam membisu tanpa sebarang teguran, namun bagi Remy Ishak, sudah tiba masanya dia memberi sedikit teguran agar industri seni terus berkembang dengan maju.
“Tidak dinafikan sekarang saya banyak bekerja dengan orang baru. Bagi saya pelakon baru kini perlu lebih fokus pada lakonan dan bukannya telefon bimbit,” katanya sambil berseloroh ketika ditemui pada sesi fotografi poster filem Kau Takdirku.
Jelas Remy, dia beri teguran sebagai seorang abang dan melihat kebanyakan pelakon kini tidak mempunyai dedikasi seperti pelakon lama atau pelakon yang seangkatan dengannya.
“Kebanyakan pelakon kini bukan datang dari sekolah filem. Ada diantaranya menyertai industri seni kerana mungkin mereka merasakan bagaimana agaknya bila menjadi orang popular.
“Atas faktor itu, tumpuan, dedikasi dan komitmen mereka pada karakter dan skrip tak sama macam kami dulu.
“Apatah lagi zaman kini, penggambaran dilakukan dengan kamera digital, jadi mereka kurang menghargai apa yang mereka lakukan. Saya rasa batch saya antara yang terakhir shooting pakai filem dan kami ketika itu amat menghargai karya dan watak yang kami lakonkan,” ujarnya.
Tambah Remy selama ini dia bersikap positif dengan orang baru, namun kesal dengan dedikasi mereka yang kurang.
“Bayangkan ada antara mereka yang datang set baru nak tengok skrip, ada pula yang tak bawa skrip, ada yang sampai set tanya apa yang mereka perlu buat hari ini.
“Masa saya dulu, semua pelakon duduk berbincang di set tentang watak, skrip agar kami lebih faham dan bole beri yang terbaik. Tapi sekarang dah tak rasa lagi suasana itu.
“Disebabkan trend dan cara mereka kinilah, kadang kala saya takut nak berlakon dengan orang baru. Tapi nak buat macam mana kan, mereka ini sekarang yang mempunyai permintaan tinggi,” jelasnya yang berharap trend di kalangan pelakon muda kini dapat diubah.
Berkongsi perkembangannya kini, anak jati Melaka ini berkata, dia kini sedang sibuk membuat persiapan bagi supertelefilem untuk Astro First, DO[S]A.
Selain itu dalam masa yang sama, dia juga terlibat dengan promosi filem Kau Yang Satu yang dijangka akan menemui penonton di pawagam 7 September depan.
“Sejak puasa lagi saya sibuk menghadiri kelas latihan fighting untuk drama Dosa bersama Hisyam Hamid dan Ashraf Sinclair dan saya akan ke Indonesia selepas ini bagi sesi script reading dan seterusnya penggambaran.
“Untuk Dosa ini agak mencabar kerana memerlukan saya tampil kurus dan berotot. Bila dah 35 tahun saya rasa agak sukar untuk turun atau naikkan berat badan.
“Kemudian saya akan sibuk dengan promosi filem Kau Takdirku. Alhamdulillah filem ini akan ditayangkan selepas tiga tahun pembikinannya. Walaupun dah lama bagi saya filem ini masih relevan untuk ditayangkan,” katanya yang akan muncul dengan drama istimewa sempena Hari Kebangsaan berjudul #AnakMerdeka.
Masih trauma
Dalam pada itu berkongsi penglibatannya dalam filem Kau Takdirku, Remy berkata, ada cerita yang berlaku sebelum dia memulakan penggambaran filem berkenaan.
“Beberapa minggu sebelum saya mendapat tawaran filem Kau Takdirku, saya ada bercuti di satu kawasan air terjun dan hendak dijadikan cerita ada seorang wanita hampir lemas dan saya cuba membantunya.
“Malangnya kerana dia panik, dia bertindak agresif dengan menarik saya sehingga menyebabkan saya pula yang hampir lemas. Dek kerana peristiwa itu saya jadi trauma dengan air dan bila berada di dalam air dan kaki saya tak mencecah dasar, saya akan panik.
“Namun saya percaya ada hikmah yang berlaku dan bila mereka tawarkan saya filem ini mereka beritahu saya perlu bawakan watak lelaki yang trauma dengan air,” jelasnya.
Remy berkata, ketika penggambaran Kau Takdirku di Pulau Langkawi, dia berasa bimbang melibatkan babak dalam air biarpun ada penyelamat di sekitarnya.
“Saya rasa ragu-ragu walaupun ada perenang lain. Tapi saya dah cuba buat yang terbaik walaupun masih trauma sehingga kini,” katanya.