Shahrol Shiro, Ajak Tidak Terasa Hati


Shahrol Shiro tidak mahu memberitahu sesiapa mengenai dia menerima tawaran sebagai penyampai radio Suria FM termasuklah Ajak.

PELAWAK terkenal Shahrol dari kumpulan Shiro tidak memaklumkan kepada rakan sekumpulannya iaitu Ajak mengenai tawaran yang dia terima sebagai penyampai baharu Suria FM.

Shahrol, 32, berkata dia tidak ada niat untuk merahsiakan daripada Ajak mengenai perkara itu memandangkan ia bukan perkara yang serius.

“Saya memang tak beritahu sesiapa pun yang saya terima tawaran sebagai penyampai baharu Suria FM termasuklah Ajak.

“Bukan nak berahsia dengan dia tapi benda ini bukan perkara yang besar. Lagipun saya sengaja nak beri kejutan kepada semua,” kata Shahrol.

Shahrol ditemui pada majlis pengumumannya sebagai penyampai baharu stesen radio milik Kumpulan Radio Star Media (SMRG), di Tropicana City mall pada Isnin.


Penyampai baharu Suria FM iaitu Shahrol (kiri) bersama Zulin Aziz dan Fizi Ali.

Dalam pada itu, Shahrol tidak bimbang Ajak akan terasa hati dengannya kerana mereka sudah lama bersahabat.

"Saya tak rasa Ajak akan kecil hati sebab bab kerja ini kami masing-masing faham sendiri.

"Insya-Allah tak kan ada isu terasa hati atau kami bergaduh," ujarnya.

Shahrol menggantikan tempat Halim Othman di segmen Suria Pagi bermula hari ini (Isnin) dari pukul 5 pagi hingga 10 pagi.

Segmen itu turut dikendalikan oleh Zulin Aziz dan Fizi Ali.

Manakala Halim Othman atau nama panggilan HO akan mengendalikan segmen Grandstand Suria pada setiap Sabtu dan Ahad pukul 9 pagi sehingga 1 petang.

Post a Comment

Previous Post Next Post