Nazirul Mubin Sedia terima teguran


Bukan mudah membina nama dalam industri hiburan. Pelbagai cabaran perlu ditempuh dan itulah dilalui bintang baru, Nazirul Mubin, 27, yang mula dikenali menerusi drama bersiri Abang Bomba I Love You.

Namun, anak muda ini tidak pernah mengeluh sebaliknya sentiasa positif dengan apa sahaja dugaan yang menghampiri.

“Sebagai pelakon baru, ada beberapa pengalaman mencabar saya lalui sekali gus mendewasakan diri ini.

“Antara paling tidak dapat dilupakan adalah teguran daripada pelakon senior yang menganggap lakonan saya kaku dan terlalu mengikut skrip,” katanya.

Bagi Nazirul, teguran membina itu merangsang semangatnya melakukan lebih baik.

Meskipun ada kritikan ‘pedas’, dia berterima kasih kepada ramai pelakon senior yang tidak lokek berkongsi ilmu.

“Saya bersyukur kerana ditemukan dengan pelakon senior yang tidak kedekut ilmu. Antara yang banyak membantu ialah Datuk Eizlan Yusof dan Raja Azura.

“Antara pesanan mereka adalah supaya saya menjadi diri sendiri dan terima tawaran menjayakan watak berat. Kata mereka, watak sebegitu mampu mendidik emosi pelakon,” katanya.

Kata Nazirul, artis senior juga ada mengingatkan supaya tidak mudah terasa hati sekiranya ada di antara mereka kurang mesra dan sukar didekati.

“Artis yang nampak kurang mesra sebenarnya terbawa-bawa dengan emosi dan sedang menjiwai karakter. Disebab­kan itu mereka lebih banyak menyendiri di lokasi.

“Sebagai orang baru, saya sapa semua orang kerana mahu belajar dengan mereka,” katanya.

Sertai bengkel

Ditanya mengenai kelas lakonan untuk meningkatkan mutu persembahan, Nazirul mengakui ada menyertai bengkel kelolaan Fauziah Nawi.

“Saya ada mencari kelas lakonan bersesuaian. Buat masa sekarang saya berguru dengan Ibu Fauziah.

“Selain itu, saya banyak belajar dengan pelakon, pengarah dan kru produksi di set penggambaran,” katanya.

Terbaru, dia yang belum setahun bergelar anak seni baru sahaja selesai menjalani penggambaran telefilem Cinta Bersegi Segi.

“Ini adalah kemunculan pertama saya sebagai teraju utama. Saya bergandingan dengan Mawar Rashid dan memegang peranan sebagai Nik

“Terima kasih diucapkan kepada sutradara Suhaimi Lua kerana mempercayai bakat saya dengan memberikan peluang ini,” katanya.

Selain itu, Nazirul juga akan memulakan penggambaran drama bersiri Seputih Cinta Rangbulan dalam masa terdekat.

Post a Comment

Previous Post Next Post