Imran Ajmain Empat tahun menyepi sebab ibu


Imran Ajmain lega ibunya kini kembali sembuh dan dia dapat meneruskan kariernya sebagai penyanyi dengan tenang.

Demi ibu tersayang, penyanyi yang pernah popular dengan lagu Seribu Tahun dan Selamat Ulang Tahun Sayang, Imran Ajmain sanggup mengetepikan karier nyanyian yang dicintai demi menjaga ibunya yang sakit di Singapura.

Empat tahun lamanya dia menyepikan diri dalam bidang nyanyian tanpa sebarang single, namun begitu penyanyi berusia 36 tahun itu akhirnya muncul kembali di persada seni dengan album raya berjudul Aidilfitri.

“Ibu mengalami penyakit kemurungan dan depresi selepas ayah meninggal dunia akibat kanser pankreas pada 2013. Bayangkan mereka memang hidup berdua di Singapura, manakala saya duduk di Kuala Lumpur dan kakak pula duduk di Belanda bersama suami.

“Maka, hidupnya banyak dihabiskan bersama ayah dengan pergi bercuti. Bila ayah disahkan menghidap kanser dan cuma dapat hidup 21 hari sahaja, mungkin keadaan pantas yang berlaku menjadikan ibu menghadapi kemurungan yang teruk seperti ketakutan dan sedih yang melampau. Dia tidak dapat melakukan aktiviti sehariannya, sebaliknya hanya mampu mengerjakan solat dan menangis, bahkan badannya menjadi kurus kering,” luahnya yang mengaku meraih sumber pendapatan melalui bisnes selama dia tidak menyanyi dan menjaga ibunya.

Selepas ibunya kembali pulih, Imran nekad untuk kembali menyanyi dan lagu-lagu raya malar segar menjadi pilihan untuk kemunculan semulanya.

“Saya bertemu dengan pencipta lagu raya popular, Yusnor Ef dan memberitahu hasrat untuk menyanyi semula lagu-lagu rayanya.

“Alhamdulillah, dia beri saya lapan buah lagu tetapi saya pilih empat buah lagu untuk dinyanyikan semula iaitu Bersabarlah Sayang, Joget Aidilfitri dan Aidilfitri dendangan asal Sanisah Huri serta Suasana Riang Di Hari Raya, nyanyian Junainah M. Amin,” ujarnya mengenai album yang kini berada di pasaran itu.

Jelasnya, idea untuk merakamkan album itu terhasil selepas pementasan konsert Malam Aku, Dia dan Lagu yang meraikan lagu-lagu gubahan Yusnor di Istana Budaya pada 11 April 2015.

“Dua tahun lalu saya ada buat persembahan dengan Hafiz Suip dan Hazama untuk meyanyikan lagu-lagu dia. Daripada situ saya menyatakan hasrat hati.

“Alhamdulillah, dia sudi memberi lagu-lagunya, tambahan pula Yusnor mengenali arwah datuk dan ayah saya yang juga merupakan pemuzik,” kongsinya.

Mengulas lanjut mengenai album raya berkenaan, Imran yang kini bernaung di bawah syarikat Uprising Entertainment Sdn. Bhd. itu memberitahu, selain dijual di kedai-kedai muzik, album berkenaan juga boleh didapati dan dimuat turun menerusi Spotify, JOOX dan iTunes.

Berkongsi sambutan rayanya, kata Imran, buat pertama kalinya dia terpaksa bekerja pada hari raya. Mujur kakaknya dari Belanda dapat pulang berhari raya dan menemani ibunya di Singapura.

“Tahun ini saya kena menyanyi dalam program secara langsung Nasi Lemak Kopi O. Namun, Alhamdulillah ibu juga memaksa saya bekerja kerana katanya dia telah menyusahkan saya selama dia sakit,” ujarnya sambil menutup bicara.

Post a Comment

Previous Post Next Post