MESKI sudah hampir empat tahun dalam bidang seni, kehadiran penyanyi dan juga komposer muda, Hael Husaini baru disedari.
Hael mengakui lagu Jampi ternyata memberi impak cukup besar memperkenalkan kembali dirinya.
Bekas peserta Akademi Fantasia 2013, Hael atau pemilik nama lengkap Hal Husaini Razmi sebelum ini lebih dikenali menerusi duo Azhael sebelum masing-masing mengambil keputusan membawa haluan sendiri.
“Memang saya sudah hampir empat tahun dalam industri, tapi tak ramai yang sedar kewujudan saya, ada yang anggap saya artis baru, pertama kali muncul dengan single Jampi ,” ujarnya sambil ketawa.
Bergerak secara solo berbeza berbanding sebelumnya, Hael tidak menafikan pengalaman bersama Azhael banyak mematangkan dirinya.
“Saya mahu peminat kenal Hael Husaini sebagai penyanyi dan juga pencipta lagu yang bergerak solo dalam usaha berkongsi bakat yang ada.
“Biarpun tidak lagi bersama Azhael, saya sangat menghargai segala pengalaman yang menjadikan saya berada di tempat di mana saya berdiri sekarang,” katanya yang menganggap Jampi sebagai permulaan rancangannya untuk melangkah lebih jauh.
Biarpun pernah menjelaskan pembubaran Azhael, kata Hael masih ada peminat yang salah faham dan membuat andaian sendiri.
“Saya dan Azhar rakan baik. Kami sudah lama kenal sehingga menubuhkan kumpulan Azhael.
“Tapi komitmen dan cita-cita kami dalam bidang seni kini sudah berbeza kerana masing-masing mendapat ruang dalam cabang seni yang berlainan.
“Minat Azhar lebih kepada bidang lakonan dan dia dapat banyak tawaran, sedangkan saya pula rasa tak ada bakat walaupun pernah beberapa kali ditawarkan berlakon.
“Jadi kenapa perlu kita menutup pintu rezeki masing-masing sedangkan kami boleh sama-sama berjaya biarpun dalam cabang seni yang berbeza,” tegasnya yang masih lagi berhubung baik dengan Azhar.
Aktif cipta lagu
Walaupun sudah dikenali peminat, Hael enggan terburu-buru merakamkan album kerana tidak mahu silap percaturan dalam mengatur kerjaya seninya.
Dia juga percaya setiap penyanyi mahu menghasilkan album untuk kesinambungan kerjaya selain hadiah buat peminat namun Hael berhasrat menumpukan kepada usaha memperkenalkan bakatnya.
Bakat anak kelahiran Kuala Lumpur ini turut menyerlah dalam penciptaan lagu. Antara yang pernah menggunakan khidmat Hael ialah Amira Othman, Siti Nordiana, Datin Alyah dan Dayang Nurfaizah menerusi lagu terbarunya, Dia, yang menjadi lagu tema untuk drama terbaru tidak lama lagi.
Hael menyedari kebolehannya melalui ciptaan lagu Hati-Hati, nyanyian Amira Othman dan sehingga kini lebih 20 lagu dicipta untuk penyanyi baru mahupun yang sudah ada nama.
"Inilah kepuasan sebenar saya apabila lagu-lagu itu diterima ramai,” ujarnya yang menyimpan keinginan mencipta lagu buat penyanyi pujaannya, Datuk Siti Nurhaliza.
Tidak pernah mengambil serius gosip mengaitkan dirinya dengan penyanyi, Indah Ruhaila, Hael yang ditemui di majlis pelancaran JBL Fun Run 2017 di Mid Valley baru-baru ini mengakui seorang yang bersikap terbuka.
“Saya dan Indah telah lama kenal di mana kami telah lama bersahabat baik dan saling membantu terutamanya apabila melibatkan urusan berkaitan kerjaya seni.
“Malah kalau ada rezeki, saya juga teringin untuk bekerjasama dengannya pada masa akan datang,” katanya yang juga bapa kepada seorang anak angkat perempuan, Nur Halena.