Empat selebriti terkenal sedia bersaing
DENGAN kesungguhan dan kemahiran memandu yang dipelajari serta sijil kelayakan Toyota Racing Development (TRD) dari Jepun, 24 pemandu perlumbaan kini telah tamat pengajian mereka di Sekolah Perlumbaan Vios Challenge.
Bahkan mereka bersedia mempamerkan bakat dan pengalaman yang ditimba itu di dalam perlumbaan sulung Vios Challenge, yang akan berlangsung pada 12 dan 13 Ogos depan.
Antara yang telah mereka pelajari adalah perkara asas seperti protokol keselamatan dan perlumbaan, teknik yang betul untuk mengendalikan kenderaan serta cara terbaik untuk mengekalkan garisan lumba.
Lapan pelumba selebriti termasuk pelakon Fattah Amin, Diana Danielle, Shukri Yahaya dan Janna Nick, antara pelajar yang telah menamatkan pengajian dan menerima sijil daripada Presiden UMW Toyota Motor, Ravindran Kurusamy. Tidak ketinggalan penyanyi, Geraldine Gan dan Danny Koo, penulis blog Venice Min serta beatboxer Shawn Lee.
Untuk mencipta platform perlumbaan sama rata dan akan menjadi lebih selamat kepada semua pemandu serta memberi pengalaman menonton yang lebih mengujakan kepada peminat sukan permotoran, Vios Challenge akan dibahagikan kepada tiga kelas perlumbaan.
Seramai 10 pelumba akan bersaing dalam Kategori Super Sporting manakala 17 pelumba lagi akan bersaing dalam Kategori Sporting. Baki 10 pelumba lain pula akan menyertai Kategori Promosi. Setiap kategori akan mempunyai dua pusingan iaitu mata akan diberikan bagi kedudukan tertinggi untuk setiap pusingan.
Laluan perlumbaan yang direka khusus sebagai litar dengan jarak 1.65km di Batu Kawan adalah di dalam reka bentuk stereng lumba dan mengikut arah pusingan jam. Ia akan menampilkan sembilan selekoh dengan laluan lurus terpanjang merangkumi 156m, memastikan laluan yang tersedia mampu memberi cabaran perlumbaan yang sebenar.
Perlumbaan Vios Challenge akan menjadi acara utama ketika Festival Toyota GAZOO Racing (TGR) yang akan bermula pada 12 dan 13 Ogos nanti bertempat di Stadium Batu Kawan, Pulau Pinang.
Festival berkenaan yang turut dibuka kepada umum secara percuma turut akan disertai dengan pelbagai aktiviti lain termasuk pertunjukan drift, persembahan selebriti, trak makanan, sesi pandu uji dan penampilan istimewa model terbaru akan datang, Toyota C-HR.
Peminat sukan perlumbaan kini boleh mengikuti perkembangan dan maklumat terkini berkaitan Vios Challenge dengan melayari laman web Toyota GAZOO Racing Malaysia atau ‘Like’ laman Facebook yang disediakan.
Janna Nick semakin mahir
Tidak gemar memandu dan jarang memandu bukan halangan buat aktres sedang meningkat naik, Janna Nick menerima tawaran bergelar duta dan seterusnya turut serta berlumba bersama tujuh selebriti lain.
Jelas Janna, selepas mengikuti beberapa kelas yang disediakan Toyota selama dua bulan, keyakinannya kini makin bertambah biarpun belum mahir sepenuhnya.
“Last saya bawa kereta manual ketika mengambil lesen (ketawa). Selepas itu memang bawa kereta transmisi auto sahaja. Itu pun jarang drive sebab saya tak suka bawa kereta.
“Tapi bila masuk kelas Alhamdulillah ada peningkatan dari segi pengendalian kenderaan dan jika apa-apa berlaku ketika saya memandu selepas ini saya sudah bersedia dan boleh apply apa yang saya belajar,” katanya.
Janna berkata, dia tidak meletakkan target untuk menang pada hari perlumbaan tidak lama lagi.
“Apa yang saya utamakan, saya enjoy sepanjang pemanduan dan selamat sehingga akhir.
“Saya tak risau soal keselamatan kerana pihak Toyota telah melengkapkan kereta dengan semua aspek dan mereka juga ingatkan saya supaya jangan bimbang.
“Cuma apa yang saya bimbangkan, bagaimana untuk kekal tenang di dalam kereta sepanjang perlumbaan. Maklumlah bila kita dalam track dan tengok pula kereta lain ada di depan, mestilah andernalin kita meningkat,” katanya sambil ketawa.
Bercerita lanjut mengenai penglibatannya dalam Toyota Gazoo Racing, Janna berkata, biarpun tidak minat memandu, namun dia meminati sukan perlumbaan kereta.
“Kalau kat jalan saya bukan jenis memandu laju, tapi bila kat track ia berubah. Walaupun tak terlalu laju banding dengan yang lain, tapi saya kira 190, 200 km/j itu sudah laju buat saya.
“Jadi kiranya impian saya jadi kenyataan walaupun banyak yang perlu saya pelajari, tapi bagi saya ia ilmu yang berbaloi untuk dituntut,” katanya.
Sementara itu, berkongsi perkembangan terkininya, Janna berkata, dia masih sibuk membuat persiapan untuk penggambaran drama Coffee Prince.
“Tidak dinafikan saya agak stres sebelum shooting kerana drama Coffee Prince sudah ada pengikutnya sendiri dan saya tertekan jika tidak dapat beri yang terbaik.
“Jadi secara tidak langsung orang akan sentiasa buat perbandingan. Sebab itu sejak sebelum raya saya dah mula buat persiapan untuk mengecilkan badan dan kini banyak melakukan muay thai untuk menurunkan badan.
“Saya juga akan potong pendek rambut saya untuk sama dengan karakter asal,” katanya.
Impian jadi kenyataan
Sementara itu, aktor tinggi lampai, Fattah Amin melihat penglibatannya dalam Toyota Gazoo Racing sebagai satu impian yang menjadi kenyataan.
Jelas Fattah, 27, sejak kecil lagi, dia menyimpan impian untuk menjadi pelumba dan apabila pihak Toyota melamarnya menjadi duta dan menyertai perlumbaan, dia tidak berfikir panjang untuk menerima.
“Alhamdulillah selepas beberapa bulan dan mengikuti beberapa kelas, macam-macam pengalaman yang saya dapat.
“Daripada tiada pengalaman, tiada pengetahuan, sekarang keyakinan saya meningkat dan saya tak sabar tunggu hari sebenar perlumbaan.
“Tak sangka impian untuk jadi pelumba dimakbulkan dan memang teruja apabila berpeluang berada dalam track,” katanya.
Tambah Fattah, cabaran utama yang perlu dihadapinya adalah untuk mengawal kereta dengan baik, lebih-lebih lagi apabila melalui selekoh.
“Tidak dinafikan memandu kereta lumba dengan memandu biasa di jalanan tidak sama. Jadi penting untuk saya mahir kendalikan kenderaan dengan baik.
“Saya paling risau apabila melalui selekoh. Walaupun saya biasa memandu, tapi saya jarang memandu kereta manual,” jelasnya.
Ditanya bagaimana dia membahagikan masa antara jadual lakonan, jadual kelas dan sesi latihan bersama Toyota, Fattah berkata, dia bertuah mempunyai pihak pengurusan yang bijak menyusun jadualnya.
“Memang tak dapat dinafikan jadual saya agak padat dengan penggambaran. Pada masa yang sama saya masih lagi mengikut pengajian di pusat pengajian tinggi.
“Tapi pihak pengurusan tahu susun jadual saya dan pihak yang mengajar saya sedia mengajar saya bila saya ada kelapangan,” katanya.
Dalam pada itu, berkongsi perkembangan terkininya, Fattah berkata, dia kini sedang sibuk menyelesaikan penggambaran supertelefilem Wanita Terindah bersama Fazura.
Naskhah yang diadaptasi dari novel Wanita Terakhir itu dijangka akan menemui penonton pada September depan.
“Supertelefilem ini akan ditayangkan di Astro dan diterbitkan oleh Red Comm. Saya rasa bertuah kerana berpeluang bekerja dengan seorang pengarah berbakat besar yang banyak menghasilkan short film di New York, tetapi dia orang Malaysia,” jelasnya.
Diana Danielle hampir menyesal
Bagi Diana Danielle pula, dia mengakui pernah berasa tertekan dan hampir menyesal menyertai Toyota Gazoo Racing kerana tidak biasa memandu transmisi manual.
Bagaimanapun perasaan itu berubah apabila dia menyertai beberapa kelas dan dapat banyak input daripada tenaga pengajar.
“Bila biasa memandu auto, kaki kiri dah lama berehat. Jadi bila kaki dan tangan perlu sama aktif bergerak, saya rasa agak tertekan, lebih-lebih lagi memikirkan akan terlibat dengan perlumbaan.
“Namun itu perasaan kita hari pertama latihan dan selepas itu saya ok, lebih-lebih lagi guru saya, Cikgu Shah banyak membantu saya tak kira masa.
“Dia juga selalu share video tentang skil dan pemanduan bagi memudahkan saya lebih faham,” katanya.
Tambah Diana, mereka juga mengajarnya banyak perkara dan latihan juga berlangsung dalam pelbagai situasi melibatkan hujan lebat, jalan yang dicurahi minyak dan banyak lagi.
“Menariknya, selagi saya tak mahir sesuatu part, mereka akan terus ajar sehingga saya betul-betul mahir,” katanya.
Bercerita lanjut penglibatannya dalam Toyota Gazoo Racing, Diana berkata, dia mendapat tawaran ini daripada suaminya, Farid Kamil selepas usaha pihak Toyota mencarinya tidak berhasil.
Diana berkata, Farid beri galakan kepadanya untuk menyertai dan turut mendedahkan Diana dengan dunia pemotoran termasuk mengajak Diana membawa go-kart.
“Farid sokong saya dan sebab itu saya yakinkan diri untuk menyertai. Bila dah graduate saya rasa berbaloi penyertaan saya dalam Toyota Gazoo Racing,” jelasnya
Sementara itu, berkongsi perkembangan terkininya, Diana berkata, dia akan memulakan penggambaran program travelogue bersama Discovery Channel sebagai pengacara di mana dia akan menjelajah seluruh Malaysia.
Selain itu, Diana juga akan kembali ke set penggambaran filem November depan selepas kali terakhir menjalani penggambaran filem lima tahun lalu menerusi filem Kami Histeria.
Teruskan penglibatan: Shukri Yahaya
Bagi Shukri Yahaya pula, penglibatannya dalam dunia perlumbaan kereta akan diteruskan pada masa akan datang.
Jelasnya, dia yang sememangnya meminati sukan pemotoran melihat tawaran dari Toyota Vios ini sebagai bulan jatuh ke riba.
“Tak pernah terfikir untuk jadi pelumba tapi saya memang minat dengan perlumbaan motor dan kereta.
“Jadi bila dah ada ruang dan peluang sebegini, saya berharap akan dapat meneruskan penglibatan saya pada masa akan datang sebagai pelumba profesional,” ujarnya.
Berkongsi penglibatannya dalam Toyota Gazoo Racing, Shukri berkata, dia berpeluang menimba dan mengutip banyak ilmu menerusi kelas pembelajaran yang disediakan.
“Saya memang biasa memandu, tetapi memandu biasa di jalan tidak sama memandu di track. Lebih-lebih lagi kita harus berlumba.
“Jadi banyak jugalah input yang saya dapat daripada mereka tentang cara pemanduan yang betul, skil memandu dalam cuaca hujan, jalan licin dan sebagainya.
“Bila kita dah ada ilmu, bukanlah bermakna kita boleh buat apa yang kita suka di jalan raya, sebaliknya ia menjadikan kita lebih berhati-hati,” jelasnya.
Dalam pada itu, ditanya perkembangan terkininya selepas kontroversi melibatkan dirinya baru-baru ini, Shukri berkata, dia tidak mahu bercakap apa-apa lagi mengenai perkara tersebut selepas laporan polis dibuat.
Ujarnya, isu tersebut sedikit menjejaskan kepercayaannya kepada orang lain bahkan dia juga merasa ragu-ragu untuk berlakon dengan pelakon gandingannya.
“Mujurlah masalah ragu-ragu untuk berlakon dengan pelakon wanita berlaku awal-awal kontroversi itu sahaja dan saya bertuah kerana ramai pelakon lain memberi sokongan kepada saya.
“Cuma sampai kini saya masih trauma untuk menjawab telefon kerana bimbang ada pula yang mengambil kesempatan. Saya juga takut untuk beramah mesra dengan orang kerana tidak mahu ada yang salah faham,” ujarnya.
Shukri berkata, biarpun ada antara netizen tidak mempercayainya, namun dia tidak mengambil pusing dengan perkara itu.
“Saya tak baca komen yang ditinggalkan netizen kerana tidak mahu ia memberi kesan negatif kepada saya. Lagipun saya tak boleh tutup mulut orang, jadilah biarlah.
“Apa yang penting isteri dan keluarga mempercayai saya,” tegasnya.
Berkongsi perkembangan kariernya, Shukri berkata, dia kini sibuk dengan penggambaran drama 40 episod untuk slot Samarinda, TV3.