De Fam kembang bakat lakon


Kumpulan dianggotai tiga gadis cantik, De Fam berjaya menarik perhatian peminat melalui lagu #Supergirls. Namun dalam kalangan mereka bertiga, Azira Shafinaz dilihat menyerlah berbanding Cik Manggis dan Sophia Liana.

Bagaimanapun, Cik Manggis dan Sophia Liana akui tiada kecil hati sebaliknya mereka saling menyokong kerja setiap anggota.

Cik Manggis atau Nurshazwani Shamsudin, 28, berkata tiada apa yang perlu dia mahupun Sophia terasa hati dengan Azira.

“Sebenarnya kami bertiga sentiasa bersatu dalam banyak perkara kerana sedar dikenali bersama oleh peminat sebagai De Fam.

“Cuma tidak dinafikan memang Azira kini makin menyerlah dalam karier sebagai pelakon selain aktif menyanyi.

“Apapun, dia (Azira) tidak pernah berada terlalu jauh ke hadapan meninggalkan saya dan Sophia termasuk De Fam,” katanya.

Cik Manggis akui sebenarnya mereka bertiga memiliki bakat seni sama rata kerana masing-masing boleh berlakon.

Katanya, jika Azira sudah muncul dalam beberapa drama televisyen, dia dan Sophia juga ada membintangi drama TV.

“Saya pernah berlakon drama Eksperimen Cinta di TV3 pada 2015, manakala Sophia menjadi pelakon pembantu drama Mr Donut Karamel di TV3 bersama Azira, tahun lalu.

“Jadi, kami bertiga masing-masing memiliki bakat lakonan. Malah, lebih menarik kami mendapat tawaran berlakon dalam satu drama,” katanya.

Menurut Cik Manggis, dia bersama Azira dan Sophia akan membintangi drama Villa Ghazara untuk TV3.

Drama 40 episod itu dijangka mengisi slot Samarinda dan bersiaran sekitar September depan.

Selain anggota kumpulan De Fam, barisan pelakon lain ialah Mustapha Kamal, Haleeda Mazlin, Shukri Yahaya, Hafeez Mikail, Amirul Faqeem dan Syed Aiman.

Sementara itu, Azira atau Azira Shafinaz Ramlan, 26, berkata mereka bertiga sangat teruja hendak membintangi drama Villa Ghazara.

Katanya, ini adalah drama pertama yang menggandingkan mereka bertiga apatah lagi watak mereka sebagai sahabat.

“Saya yang melakonkan watak Ariana berkawan baik dengan Mastura (Cik Manggis) dan Hani (Sophia). Pada saya, ini adalah pengalaman berlakon sangat bermakna buat kami bertiga yang mewakili De Fam,” katanya.

Menurut Azira, peluang berlakon di samping dua rakan baik di sisi memang sangat bermakna.

Bagi Sophia atau Sophia Liana Mohd Sobri, 27, dia akan memastikan mampu mempersembahkan lakonan yang baik.

“Walaupun Azira dan Cik Manggis pasti berlakon dengan baik, saya juga akan membuktikan bakat diri. Tambah lagi bila ada rakan di sisi ia menjadi penyemarak semangat untuk saya melakukan yang terbaik.

“Peluang tidak datang bergolek. Justeru, sudah diperoleh kami bertiga harus menghargainya,” kata Sophia.

Memberitahu bidang nyanyian tetap keutamaan kumpulan De Fam, Sophia berkata single baru sudah disiapkan.

Bagaimanapun Cik Manggis berkata De Fam juga mempunyai impian mereka untuk muncul dengan album mini.

“Harapan kami semoga album mini dihasilkan De Fam dapat dipasarkan kepada peminat hujung tahun ini. Kami juga memilih konsep dwibahasa untuk mini album itu yang memuatkan lagu bahasa Melayu dan Inggeris,” katanya.

Hampir dua tahun ditubuhkan, trio De Fam pernah popular dengan lagu #Supergirls yang diminati ramai.

Kejayaan lagu #Supergirls nyata memberi impak besar kepada De Fam kerana dipilih menang beberapa anugerah berprestij tahun lalu.

Post a Comment

Previous Post Next Post