Liyana Jasmay, Berhijab bukan kerana desakan


Luahan tentang hasrat untuk berhijab sebelum berusia 30 tahun yang sering diucapkanya menjadi doa yang dimakbulkan Tuhan apabila Liyana kini tampil dengan imej menutup aurat.



Pagi Rabu lalu, pelakon dan penyanyi Liyana Jasmay membuat kejutan apabila tampil dengan imej berhijab ketika menghadiri sebuah sesi fotografi.


Menurut Liyana, 29, selepas berfikir panjang, dia akhirnya membulatkan hati untuk mengubah imej lebih sopan dan sesuai dengan tuntutan agama iaitu berhijab.


Tambah ibu kepada dua orang anak, Sofia Arissa, 2, dan Selena, setahun, sejak mendirikan rumah tangga dengan Fathuddin Mazlan dia mula menyimpan niat untuk berhijab sebelum usia menginjak angka 30 tahun.


Sungguhpun begitu. penyandang anugerah Pelakon Wanita Terbaik Festival Filem Malaysia ke-22 itu bertegas, perubahan imejnya berlaku tanpa paksaan mana-mana pihak, sebaliknya ia terzahir atas kehendak hatinya sendiri.


KOSMO!: Setakat ini, bagaimanakah penerimaan orang sekeliling terhadap perubahan imej Liyana?


LIYANA JASMAY: Biarpun ramai yang terkejut dengan keputusan saya, tetapi rata-rata memberi sokongan. Keluarga dan suami menjadi insan paling gembira dengan perubahan saya. Rutin harian juga berjalan seperti biasa, tiada beza kerana sebelum berhijab saya tidaklah berpakaian seksi sehingga menjolok mata.


Sudah berapa lamakah anda mengambil masa berfikir untuk berhijab?


Sebenarnya sudah lama saya berfikir dan memasang niat untuk berhijab. Saya sering meluahkan kata-kata kepada suami, sebelum usia 30 tahun saya mahu berhijab. Biarpun hanya perbualan kosong bersama suami, tetapi kata-kata yang baik boleh menjadi doa. Alhamdulillah, pada usia 29 tahun dan tanpa paksaan daripada mana-mana pihak Allah bukakan hati saya untuk berhijab.


Adakah perubahan imej akan memberi kesan terhadap kerja seni anda?


Sungguhpun imej sudah berubah ia tidak akan memberi kesan kepada kerjaya seni kerana saya tidak pernah melakonkan adegan memalukan seperti aksi ranjang. Tambahan pula, sejak kebelakangan ini memang saya sudah memperlahankan kerjaya lakonan demi memberi tumpuan kepada keluarga, perniagaan dan kerja belakang tabir. Soal kerjaya memang tidak memberi kesan termasuklah nyanyian. Saya masih menerima undangan nyanyian walaupun telah berhijab.


Tidakkah terasa rugi apabila memperlahankan kerjaya lakonan sedangkan peminat masih menyokong karier anda?


Saya masih berlakon dalam produksi sendiri, cuma sekarang tujuan hidup lebih kepada kehidupan yang ringkas. Saya bukan lagi pelakon yang kejarkan populariti. Zaman dunia glamor sudah berlalu, sebaliknya kini kehidupan lebih untuk mendapat keredaan Allah. Saya percaya perjalanan Allah itu cantik, jadi berserah sahaja kepada-Nya. Rezeki tidak akan hilang hanya kerana saya berhijab.


Sudahkah anda bersedia menerima kecaman orang ramai jika fesyen yang digayakan dilihat kurang menepati tuntutan syariah?


Soal kecaman itu saya sudah lali kerana sudah bekerja dalam industri seni sejak berusia sembilan tahun. Tidak berhijab pun, orang tetap akan mengata. Oleh itu saya ambil pendekatan bertenang dan ibu juga berpesan jangan heboh, riak dan berlagak pandai. Saya masih dalam proses belajar untuk menjadi muslimah yang lebih baik dan tentukan fesyen yang sesuai.


Boleh kongsi perkembangan terbaharu anda?


Saya bakal muncul dengan program travel log terbitan syarikat sendiri iaitu Mermaid Studios. Sementara itu, perniagaan pakaian bawah jenama Mermaid Luxe bakal mengeluarkan koleksi pakaian sedia pakai sempena Hari Raya Aidiladha dan persiapan untuk Aidilfitri 2018 akan bermula sekitar bulan Oktober depan.

Post a Comment

Previous Post Next Post