Yasin Sulaiman sempurnakan lagu Allahyarham Salleh


BERSAMA dua orang lagi anggota kumpulan Brothers, Yasin menyudahkan lagu yang dibikin separuh jalan oleh Allahyarham Salleh yang diberi judul Dua Malaikat.

Dia bukan calang-calang penyanyi. Yasin Sulaiman pernah menjulang Anugerah Juara Lagu ke-16 (AJL16) menerusi lagu solo nyanyian serta ciptaannya sendiri berjudul Mimpi Laila. Dalam pada itu, dia juga individu yang memuntahkan karya kreatifnya melalui untaian lagu popular, Wassini dendangan Waheeda, Lagu Rindu (Datuk Siti Nurhaliza) dan Alhamdulillah (Too Phat).

Melihat kepada trend muzik sekarang yang tidak menentu, Yasin atau nama sebenarnya, Mohamad Yasin Sulaiman, 41, gembira kerana muzik nasyid atau ketuhanan semakin mendapat tempat dalam kalangan peminat dengan kehadiran program realiti nyanyian seperti Gema Gegar Vaganza (GGV).

Tidak menolak untuk bertanding dalam program tersebut jika diberi peluang pada musim hadapan, pelantun lagu Salsabila itu bagaimanapun akan hanya mempertimbangkan untuk bertanding andai anggota kumpulan Brothers yang lain bersetuju untuk turut serta.

Dalam pada itu, Yasin hadir dengan single terbaharunya berjudul Dialah ciptaan bersama-Faizal Tahir dan Ezra Kong. Bukan itu sahaja, kumpulan Brothers yang kini dianggotai oleh Syah dan Faiz bakal muncul dengan single terbaharu berjudul Dua Malaikat yang didedikasikan khas buat bekas anggota kumpulan itu, Allahyarham Salleh Mohammad.

KOSMO!: Bagaimana dengan sambutan bulan Ramadan Yasin kali ini?

Yasin: Alhamdulillah. Segalanya berada dalam keadaan baik-baik sahaja. Masa banyak dihabiskan bersama keluarga di Kajang, Selangor dan memenuhi jemputan majlis berbuka puasa.

Bagaimana pula dengan perancangan karier muzik anda sekarang?

Alhamdulillah, single solo terbaharu saya berjudul Dialah sudah mula dimainkan di corong-corong radio. Klip video juga sudah siap dan bakal dimuat naik di laman perkongsian video, YouTube. Menariknya mengenai klip video ini, Adam Corrie akan menunjukkan aksi silat. Bercerita tentang lagu tersebut, ia adalah berkenaan tujuan atau matlamat hidup seseorang dalam kehidupan.

Bagaimana pula dengan Brothers? Melihat kepada nuansa muzik nasyid yang semakin dihargai, adakah Brothers akan terus kembali merancakkan industri muzik tanah air?

Kami (Brothers) sekarang tinggal bertiga selepas pemergian mengejut Salleh pada tahun lalu. Sebelum meninggal dunia, dia dalam proses menerbitkan sebuah lagu namun Tuhan lebih sayangkannya, jadi projek lagu itu tidak dapat disiapkan. Jadi Syah, Faiz dan saya mengambil tanggungjawab untuk menyudahkan lagu tersebut yang diberi judul Dua Malaikat. Lagu tersebut adalah dedikasi khas kami buat Allahyarham Salleh.

Baiklah, bagaimana anda melihat kebangkitan muzik nasyid sekarang misalnya dengan kemunculan program realiti seperti GGV?

Bagus kerana program seperti itu memartabatkan kembali muzik nasyid yang seperti sudah dilupakan sekian lama. Saya tahu ia mendapat sambutan yang luar biasa dalam kalangan peminat. Ada orang bertanya sama ada saya akan menyertai program tersebut andai diberi peluang, jawapan saya kalau solo mungkin tidak. Hal ini kerana saya sudah mengecapi apa yang dimahukan sebagai penyanyi nasyid solo. Kalau bersama Brothers, mungkin saya akan mempertimbangkannya.

Apa perancangan muzik selepas raya?

Saya juga ada menjalankan projek kemanusiaan iaitu O’Mankind. Bagi terus mempromosi projek ini, saya berkolaborasi dengan Altimet dan seorang penyanyi muslim kelahiran Amerika Syarikat bernama Barakah. Insya-Allah, ia akan dilancarkan tidak lama lagi. Saya merasakan ia akan jadi sebuah lagu hebat seperti Alhamdulillah versi milenium.

Post a Comment

Previous Post Next Post