Pengisian Ramadan Sufian Suhaimi & Elfira Loy


Pengisian Ramadan Sufian Suhaimi & Elfira Loy

DIFITNAH menggoda isteri orang, kata Sufian dia sudah berbahagia kerana memiliki Elfira sebagai teman wanita yang amat memahami. Jadi tidak perlu untuk dia memikat wanita lain.

Tidak lagi menyembunyikan keserasian mereka bersama, penyanyi Sufian Suhaimi dan Elfira Loy tidak mahu angin asmara yang sedang kencang di dalam hati mereka menganggu kelancaran karier masing-masing.

Biarpun begitu, akur sebagai golongan selebriti, sementelah tindakan kerap memuat naik gambar bersama selain hadir berdua pada majlis-majlis hiburan, membuatkan soalan tentang perkembangan hubungan mereka sering ditanya.

Tidak lagi bermain tarik tali dengan media seperti beberapa bulan lalu, kedua-duanya kini nampak lebih santai menyambut pertanyaan tentang keakraban mereka.

Namun, keharmonian hubungan tersebut dikejutkan dengan dakwaan Sufian yang dikatakan menganggu dan menggoda isteri orang.

Gangguan dan godaan tersebut didakwa berlaku menerusi laman sembang aplikasi Bego Live.

Khabar tidak benar itu ternyata memberi tamparan hebat buat Sufian yang segera mengambil tindakan membuat laporan di Balai Polis Sungai Abong, Muar, Johor.

“Bagi saya, dakwaan ini adalah perkara yang tidak logik. Hal ini kerana semua orang tahu saya sedang berbahagia dengan Elfira, jadi mengapa perlu menggoda isteri orang,” ujarnya yang mengambil keputusan membuat laporan polis selepas melihat fitnah tersebut menjadi tular dalam media sosial.

Tidak hanya Sufian yang mempamerkan keseriusan dalam hubungan, Elfira turut menyimpan hasrat agar kisah cintanya itu mempunyai pengakhiran bahagia.

Jika sebelum ini dia gemar berselindung tentang pemilih belahan hati, kini Elfira mengakui dirinya lebih bersikap terbuka apabila berbicara tentang cinta.

“Sebelum ini, saya dibelenggu perasaan kurang yakin tentang keikhlasan lelaki yang cuba mendampingi diri ini. Adakah benar ia kerana cinta atau sekadar suka-suka.

“Situasi itu bagaimanapun berbeza sejak saya mengenali Sufian. Berdasarkan kejujuran Sufian. saya mula memandang serius terhadap hubungan kami selain mengharapkan agar menemui kesudahan yang membahagiakan,” kata Elfira.

Beralih kepada aktiviti sepanjang Ramadan, berbanding Elfira yang telah lama berkecimpung sebagai artis, ini merupakan Ramadan kedua buat Sufian mengisi jadual hariannya selaku penyanyi.

Ramadan

Sufian memberitahu, dia berusaha untuk mengurangkan aktiviti seni sepanjang Ramadan tahun ini bagi memberi ruang untuk menghabiskan masa bersama keluarga.

Sufian juga mengakui tiada perubahan ketara sepanjang menjalani ibadah puasa sebelum dan selepas bergelar selebriti.

Cuma sekarang ini, dia perlu memenuhi tuntunan undangan ke majlis buka puasa dan persembahan.

“Segalanya berjalan seperti biasa dan tiada banyak perkara yang berubah. Saya kira hanya aktiviti harian sahaja yang berbeza sedikit kerana kini telah bergelar artis,” jelas Sufian.

Bagi Elfira pula, dia lebih selesa memberi fokus kepada pengurusan perniagaan selain mengurangkan aktiviti di lokasi penggambaran.

Justeru, sepanjang Ramadan tahun ini, Elfira hanya muncul sebagai pengacara program kerohanian berjudul Ramadhan 101 bersama Ustaz Elyas Ismail.

Selebihnya, dia cuba untuk memenuhi undangan majlis berbuka puasa.

“Sebolehnya, sepanjang Ramadan saya tidak mahu terlalu menyibukkan diri dengan kerja kerana bulan puasa hanya datang sekali setahun jadi tidak salah kita fokus kepada beribadah,” ujar Elfira.

Post a Comment

Previous Post Next Post