Takdir popular Nina Iskandar


PENANTIAN - Selepas empat tahun bergelar pelakon, Nina Iskandar mengakui pengalaman berlakon di bawah arahan Along Kamaludin adalah antara yang paling berharga dalam hidupnya.

Selepas 7 Hari Mencintaiku, TV3 kini menjamu khalayak dengan fenomena drama bersiri berjudul Andainya Takdir yang membuatkan ramai pengikutnya tidak senang duduk. Drama terbitan A. Aida Production Sdn. Bhd. itu menerima pujian ramai kerana ia begitu dekat serta mencerminkan realiti dalam kehidupan segelintir masyarakat Malaysia.

Menjayakan watak seorang isteri yang cukup bersabar dengan kerenah suami yang berubah menjadi ‘raksasa’ selepas berkahwin, ditambah pula sikap ibu mertua yang menjemput perasan geram dalam kalangan penonton, watak Afifah, lakonan Nina Iskandar benar-benar meninggalkan kesan mendalam.

Kombinasi barisan pelakon utama iaitu Nina sebagai Afifah, Shukri Yahaya (Airil), Puteri Balqis (Aleeya) dan Sheila Mambo (Normah) berjaya membuatkan penonton melekat di depan kaca televisyen tepat pukul 10 malam menerusi slot Samarinda.

“Alhamdulillah, saya benar-benar tidak menyangka drama ini mendapat sambutan yang amat hebat sehingga setiap kali episod baharu ditayangkan, ia menjadi trending dalam laman sosial seperti Twitter.

“Sebenarnya, saya risau juga apabila kerja kita mula diperkatakan ramai kerana ia memberi tekanan kepada diri seseorang pelakon itu untuk terus mengekalkan momentum yang baik dalam produk lakonan selepas ini,” ujar Nina membuka bicara.

Hayati watak

Ditebak persoalan bagaimana dia dapat menjayakan watak Afifah dengan cukup cemerlang, Nina atau nama sebenarnya, Nur Akmalina Iskandar, 25, segera menyebut nama penerbit, Datuk A. Aida dan pengarah, Along Kamaluddin.

“Saya amat terhutang budi dengan A. Aida kerana mempercayai bakat lakonan saya. Dia adalah individu memberi peluang kepada saya untuk menjayakan watak Afifah.

“Along pula adalah individu yang bertanggungjawab menyerlahkan potensi saya sebagai seorang pelakon. Pada awal penggambaran, saya memang sakit hati dengan sikap Along,” kata Nina berterus-terang.

Mengulas lanjut, Nina bercerita mengapa dia sakit hati dengan Along yang diberi kepercayaan mengarah drama bersiri tersebut.

“Semasa hari pertama penggambaran, saya benar-benar rasa ingin mengalah kerana dimarahi dan ditengking oleh Along. Cara beliau marah menusuk tepat ke dalam jantung sehinggakan saya cakap dengan pengurus, ‘saya tidak mahu buat drama ini’.

“Saya pulang ke rumah selepas tamat hari pertama penggambaran dan ditenangkan oleh pengurus saya. Kesedaran datang sendiri apabila saya berusaha menjayakan watak Afifah sebaik mungkin. Along marah sebab dia mahu saya menjadi lebih bagus,” kata Nina yang pertama kali bekerja dengan pengarah berkaliber itu.

Tolak kontroversi

Mengulas tentang pengalaman bergandingan dengan Shukri, pelakon kelahiran Brunei itu menyifatkan aktor tersebut sebagai sangat profesional dan banyak membantunya di set penggambaran.

Kali kedua berlakon bersama aktor kacak itu selepas drama Jika Itu Takdirku pada tahun 2014, bagaimanapun peluang berlakon dalam Andainya Takdir merupakan yang pertama sebagai pelakon utama.

“Banyak yang saya belajar daripada Shukri terutama dalam soal melontarkan dialog kerana tidak mahu kedengaran terlalu urban.

“Alhamdulillah, hari demi hari semuanya berjalan dengan begitu lancar. Kami saling membantu di antara satu sama lain. Adegan saya dikasari atau dibelasah oleh Shukri, itu adalah sesuatu pengalaman yang saya tidak dapat dalam mana-mana drama lain kerana ia begitu semula jadi,” terang Nina panjang lebar.

Melanjutkan perbualan, Nina optimis dan percaya dengan impak sesebuah karya yang mempunyai skrip serta jalan cerita yang baik berbanding lambakan drama yang cuba menjual populariti seseorang pelakon demi menghambat perhatian penonton.

“Saya sangat percaya dengan kekuatan skrip sesebuah karya bukan sebab kontroversi yang sengaja diwujudkan dalam sesetengah drama tempatan hanya untuk tujuan publisiti. Ketika skrip drama ini sampai ke tangan, saya bertanya kepada diri sendiri ‘mampukah saya bawa watak Afifah?’.

“Drama ini sangat berat dan kekuatannya terletak kepada skrip serta jalan cerita yang bagus. Ia bukan dongengan kerana perkara seumpama ini wujud dalam masyarakat kita terutama Melayu. Saya kira, itu adalah alasan kukuh mengapa ia diterima baik oleh penonton,” kata Nina.

Mula bergelumang dalam dunia lakonan tanah air pada tahun 2011 menerusi drama Erna Suraya yang membabitkan kerjasama antara Radio Televisyen Malaysia (RTM) dan Radio Televisyen Brunei (RTB), Nina tekun mengorak langkah meskipun kebanyakan rakan seperjuangan lain meroket laju mengecap populariti.

Selama empat tahun berada dalam industri, Nina sedikit pun tidak kecewa apabila ada yang meletakkan label terhadap dirinya sebagai kurang menyengat.

Kurang popular

Getus Nina berhemah: “Semua ini terpulang kepada rezeki. Saya tidak kisah kalau orang kata saya tidak popular atau sebagainya. Saya minat berlakon dan itu yang diberikan kepada penonton.

“Saya yakin selagi bekerja keras, akan ada rezeki yang luas dalam bidang ini.”

Dalam pada itu, diajak berbicara tentang aktiviti sepanjang bulan Ramadan, Nina berkata, dia sibuk dengan promosi drama Andainya Takdir di beberapa negeri di seluruh negara.

“Memang sibuk sehingga tiada masa untuk berbuka puasa dengan ‘tenang’. Barangkali rezeki yang saya terima sekarang adalah berkat Ramadan.

“Ya, setakat ini, Ramadan saya semuanya dalam keadaan yang sederhana,” katanya.

Berbicara soal sambutan Aidilfitri tahun ini, seperti biasa Nina akan pulang ke Brunei untuk menyambut bulan kemenangan itu bersama keluarga.

“Saya akan balik Brunei dua atau tiga hari sebelum raya. Raya di sana sederhana sahaja. Hari pertama dan kedua sahaja biasanya akan meriah. Selepas itu, semua akan mula bekerja kembali dan saya juga jenis yang begitu,” tutup Nina yang bakal muncul dengan telefilem berjudul Ratu Kebaya Masuk Universiti terbitan RTM bersempena raya nanti.

Post a Comment

Previous Post Next Post