Sufian Suhaimi & Aiman Tino, Dalam benci, masih ada yang sayang


Aiman Tino berharap supaya single terbaharunya, Ku Hanya Sayang Padamu dapat mengulangi fenomena single-single terdahulunya seperti Ku Rela Dibenci dan Permata Cinta.


Karier

“Jika mengenali Sirkhan, setiap lagu kami sebenar­nya berbeza. Bukan tidak mahu menerima sentuhan komposer lain, namun masih belum ada sebarang tawaran setakat ini.

“Idea juga datang secara spontan dan saya selesa sebegitu,” jelas Sufian yang sekali lagi mendapatkan khidmat Sirkhan menerusi single terbaharunya berjudul Terasa Ada selepas Terakhir dan Harus Aku sebelum ini.

Nada yang sama juga diungkap Aiman apabila kekal mendapatkan sentuhan ba­panya, Yusri Ishak untuk single terbaharunya berjudul Ku Hanya Sayang Padamu selepas popular dengan lagu hit Ku Rela Dibenci dan Permata Cinta sebelum ini, sekali gus mendedikasikan segala-gala­nya sempena sambutan Hari Bapa hari ini.

“Muzik itu universal dan saya tidak begitu mementingkan nama komposer. Jadi, ada baiknya saya memperjuangkan muzik dan kualiti lagu.

“Buat masa ini, saya bercadang untuk kekal mendapatkan sentuhan bapa untuk satu album penuh yang dijangka keluar tahun depan, selepas itu baru boleh memikirkan selebihnya,” ceritanya lagi.

Dalam pada itu, selain rancak bercerita mengenai single terbaharu masing-masing, Sufian juga teruja apabila mencabar sisi berbeza dalam bidang lakonan apabila membuat kemunculan di kaca tele­visyen dalam masa terdekat.

“Ia bukan mahu berjinak-jinak ke dunia lakonan, cuma sekadar mahu merasai bagaimana bergelar pelakon. Saya akan tampil dengan watak cameo dalam beberapa drama seperti Riuh Raya Kak Mah dan Projek Kuih raya Mak Leha tidak lama lagi,” jelas Sufian.

Aiman bagaimanapun tidak mahu mengikut jejak langkah Sufian kerana khuatir tidak dapat menumpukan sepenuh perhatian kepada dunia nyanyian.

“Ia bukan soal berbakat berlakon ataupun tidak yakin, cuma ada baiknya saya fokus menyanyi terlebih dahulu. Setakat ini, memang ada tawaran berlakon, namun belum masanya lagi,” getus Aiman yang akan meraikan harijadi­nya yang ke-19 pada 27 Jun ini.

Cinta

Cukup berbicara soal karier, kedua-dua jejaka menawan ini juga diusik mengenai soal hati dan cinta. Ketika seantero dunia sudah mengetahui hubungan istimewa antara Sufian dan Elfira Loy, Aiman pula sebaiknya lebih selesa meneruskan kehidupan secara solo tanpa mengenali hati budi sesiapa.

“Masih belum ada yang istimewa. Sejujurnya, ramai juga yang ingin berkawan, namun saya lebih selesa menganggap mereka sebagai peminat, tidak lebih daripada itu,” ujar Aiman.

Senyuman manis pula terukir di bibir Sufian apabila diajak berbicara mengenai Elfira yang cukup dekat di ha­tinya buat masa ini.

“Rasanya semua orang sudah tahu bahawa kami memang rapat. Lagipun, kami bukan budak sekolah lagi untuk melabelkan hubungan sebagai sepasang kekasih ataupun tidak.

“Masing-masing juga sudah memahami betapa kami berada dalam satu fasa yang cukup menyenangkan. Saya banyak mendapatkan nasihat daripadanya kerana dia sudah lama dalam industri dan pada masa sama, saya juga menyokongnya dari segi emosi,” jelas Sufian.


Sufian Suhaimi kekal menagih sentuhan Sirkhan untuk single terbaharunya berjudul Terasa Ada.

Aidilfitri

Ketika berbicara mengenai Aidilfitri, Sufian memberitahu, dia kini sedang giat mempromosikan single rayanya berjudul Kasih Lebaran.

“Tujuan menyanyikan lagu baharu ketika raya bukan untuk mencipta fenomena baharu dan bersaing dengan lagu-lagu raya sedia ada, namun sekadar mahu menambah warna ketika merasai suasana hari raya.

“Saya juga memen­tingkan keaslian dan dan mahu lagu berkenaan didengari saban tahun, jadi jika sekadar menukar lirik mana-mana lagu popular saya sebelum ini, impaknya pasti tidak akan sama,” jelas Sufian yang akan beraya di kampung halamannya di Mersing, Johor.

Pada masa sama, Sufian yang sedang melanjutkan pengajian di peringkat Ijazah Sarjana Komunikasi Massa juga menyifatkan Aidilfitri sebagai detik bersama keluarga.

“Saya memang menolak sebarang tawaran untuk bekerja pada hari raya pertama dan ke­dua, keluarga juga masih melihat saya sebagai diri sendiri dan bukan­nya Sufian Suhaimi yang dikenali ramai,” kata anak kedua daripada tiga adik-beradik itu.

Aiman pula memasang impian supaya lagu raya nyanyi­an­nya, Lara Dalam Kerin­duan mampu menjadi malar segar dan diingati tidak kira ketika meraikan Aidilfitri mahupun Aidiladha dan tidak sekadar bersifat fenomena sementara.

“Tambahan pula jika diamati liriknya, ia langsung tidak menyebut Syawal, sekali gus kekal relevan untuk dihayati ketika menikmati mood mana-mana raya,” jelasnya.

Selain itu, Aiman juga teruja apabila bakal bercuti bersama keluarga selama seminggu di satu lokasi yang dirahsiakan selepas pulang menyambut Aidilfitri sehingga hari raya ketiga di kampungnya di Sungai Besar, Selangor.

“Saya memang berniat untuk membawa keluarga bercuti, jadi biar saya yang belanja mereka kali ini,” jelas anak keempat daripada 10 adik-beradik itu seraya menoktah bicara.

Aiman Tino - Ku Hanya Sayang Padamu


Sufian Suhaimi - Kasih Lebaran


Post a Comment

Previous Post Next Post