Single kedua bawa tuah buat Sarah Fazny


BIARPUN populariti masih belum menyebelahinya, penyanyi Sarah Fazny tidak pernah menjadikannya sebagai halangan untuk memburu cita-cita.

Tidak berakhir pada pertandingan Mentor Legend yang disertai lebih setahun lalu, Sarah kini berada di bawah label Indigital Music selain menjadi peserta Duo Star dalam usaha mempamerkan bakat yang dimiliki.

Sarah sendiri mengakui dia tidak muncul di khalayak selepas pertandingan Mentor kerana tidak mempunyai ruang untuk ke depan namun selepas berada di bawah pengurusan Indigital Music, Sarah mula nampak arah tuju dalam industri.

“Walaupun perjalanan saya mungkin tidak semudah orang lain, tapi saya percaya usaha saya pasti berhasil,” ujarnya yang sebelum ini pernah tampil dengan single Tak Mungkin.

Penyanyi ini juga tidak menafikan program Duo Star banyak memberi peluang baru sehingga merakam single terbaru, Urusan Hati yang turut menjadi lagu runut bagi drama lakonan Scha Al-Yahya, Urusan Hati Cik Drama Queen.

Lagu itu juga, katanya mendapat sambutan yang cukup baik daripada peminat, malah muzik video rasmi lagu ini mendapat tontonan yang cukup memberangsangkan di Youtube.

“Sekarang ni ramai artis baru, persaingan pun makin banyak. Jadi kami perlu ada sesuatu yang boleh bagi kesan kepada peminat," katanya yang percaya single terbarunya mempunyai elemen itu.

Puasa tanpa keluarga

Menyentuh sambutan Ramadannya tahun ini, Sarah yang mempunyai 15 adik-beradik berkongsi suasana yang dilaluinya berbanding sebelum ini kerana berpuasa tanpa keluarga di sisi.

Tambah Sarah, ini kerana sebelum Ramadan ibu bapa dan adik-beradiknya pulang ke Johor atas urusan kerja sehingga raya nanti sementara dia sendiri terikat dengan aktiviti seni.

“Memang terasa sangat berbuka puasa tanpa mereka sebab dah biasa dengan suasana bising dan kecoh.Kami makan saja apa yang ada berbanding kalau ada keluarga, memang meriah habis acara berbuka puasa tu," katanya yang kini tinggal bersama seorang adiknya di Kuala Lumpur.

Tidak biasa tanpa adik-beradik, Sarah mengakui agak kekok tanpa keluarga kerana menjadi kebiasaan berkumpul bersama ketika Ramadan.

Mengisi masa di bulan Ramadan juga, Sarah mengambil kesempatan menjalankan bisnes biskut raya yang dilakukan sejak dua tahun lalu.

“Pada mulanya saya hanya suka-suka saja. Hanya menjamu tetamu yang datang ke rumah, tapi bila ramai yang suka dan bertanya macam mana nak beli, dari situlah timbul idea buat bisnes," katanya yang hanya menjual demi memenuhi permintaan rakan dan mengikut kemampuan diri.

Kata Sarah, sempena Aidilfitri tahun ini, dia hanya membuat tiga jenis biskut sahaja iaitu tart nenas, samperit dan biskut sarang semut yang kebanyakannya dipesan kawan-kawan yang pernah merasainya.

Sarah juga merancang lebih serius dalam perniagaan makanan pada masa akan datang.



Post a Comment

Previous Post Next Post