Perancangan raya Akim Ahmad dan Stacy Anam


Hampir setengah tahun berehat daripada dunia seni, penyanyi bertubuh genit, Stacy Anam kini bersedia untuk membuat kemunculan semula di pentas muzik.

Menurut pemilik nama, Ummu Shaikhah Stacy Anam itu, selepas melalui proses bersalin dan berpantang, dia mengambil masa untuk mengembalikan kecergasan serta bentuk badan seperti sebelum hamil.

Mengakui banyak tawaran terpaksa ditolak sewaktu baru habis berpantang, Stacy berkata, keputusan tersebut terpaksa dilakukan kerana pada waktu tersebut keadaan fizikalnya masih belum pulih sepenuhnya.

Kata wanita berusia 27 tahun itu, berat badannya naik sebanyak 20 kilogram sewaktu hamil dan kini dia masih mempunyai lebihan lima kilogram untuk dihilangkan.

“Sebenarnya ketika saya mula berdiet sebaik sahaja habis pantang, berat saya tidak banyak yang turun. Bayangkan ketika mengandung berat saya mencanak naik sehingga 70 kilogram (kg) berbanding 52kg sebelum hamil. Selepas bersalin, berat hanya turun setakat 62kg.

“Namun, saya bersyukur apabila tiba bulan Ramadan, puasa banyak membantu mengurangkan berat badan dan kini saya sudah semakin hampir dengan berat ideal yang disasarkan,” katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran program Riuh Raya 2017 anjuran IJM Land di ICE Gallery, Pantai Sentral Park, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Pada acara yang akan berlangsung pada 15 Julai itu, Stacy akan membuat persembahan pentas pertamanya sejak cuti bersalin penghujung tahun lalu di samping Akim & The Majistret, Adam AO dan Zulin Aziz.

Tidak menafikan diulit gementar kerana sudah lama tidak membuat persembahan pentas, pelantun lagu Not For Sale itu meluahkan sedikit kelegaan kerana suaminya, Akim Ahmad, 26, akan bersama-sama pada acara tersebut.

“Saya sudah mula menghadiri kelas vokal dan latihan suara sebagai persediaan untuk Riuh Raya 2017 dan pada masa sama mempraktikkan senaman untuk mengembalikan stamina semasa menyanyi.


Akim dan Stacy tidak perlu berebut untuk balik ke kampung siapa setiap kali tibanya hari raya kerana sudah mencapai kata sepakat. Lebaran akan disambut di kampung Akim di Johor, manakala sambutan Krismas dan Hari Gawai di Sabah.

“Jika diikutkan perasaan, memang sangat berdebar kerana sudah lama tidak menyanyi secara langsung di hadapan peminat tetapi dengan kehadiran Akim pada majlis sama, pasti akan mengurangkan debaran,” ujarnya lagi.

Single baharu

Selain itu, anak kelahiran Penampang, Sabah ini juga bakal tampil dengan single baharu bertajuk Cakap Kat Tangan hasil ciptaan sepenuhnya oleh Akim.

Memilih lagu berentak rancak, Stacy berkata, lagu tersebut adalah atas permintaannya sendiri kerana mahu kembali menari di atas pentas seperti biasa.

Memandangkan dia kini dalam proses menguruskan badan, maka lagu Cakap Kat Tangan dilihat single paling sesuai dijadikan sebagai lagu untuk memanaskan kemunculan semulanya dalam industri.

“Saya mempunyai satu persepsi bahawa jika membawakan lagu yang berentak perlahan, secara automatik badan saya akan menjadi malas dan akan fokus kepada vokal sahaja.

“Apabila saya perlu menari untuk lagu Cakap Kat Tangan, secara tidak langsung ia akan membantu kecergasan fizikal dan mengembalikan stamina di atas pentas,” katanya yang berterima kasih kepada Akim kerana memberi sokongan penuh sepanjang proses berdiet.

Aidilfitri

Sementara itu, ibu bapa kepada dua orang cahaya mata perempuan iaitu Bella Valentina,5, dan Eshaal, empat bulan itu turut tidak terlepas daripada berasa teruja untuk menyambut Syawal dengan kehadiran anggota keluarga baharu.

Jika sebelum ini, persiapan hari raya banyak ditumpukan kepada Bella seorang, kini perhatian sudah dibelah dua kepada si kecil Eshaal yang pastinya akan menjadi penyeri Aidilfitri mereka kali ini.


Sempena kelahiran Eshaal, Akim mencipta sebuah lagu khas bertajuk Mahkota Hati yang akan dinyanyikan Stacy. Lagu tersebut akan dimuatkan dalam album baharu Stacy yang bakal diterbitkan tidak lama lagi.

Kata Akim, selain kehadiran cahaya mata baharu, perbezaan untuk hari raya tahun ini ialah mereka terpaksa menempah sendiri baju raya pada saat-saat akhir.

“Kebiasaannya, ibu saya, Aminah Bahari yang selalu menempah baju raya kami semua kerana seluruh keluarga saya akan memakai pakaian warna sedondon.

“Namun, tahun ini ibu sibuk dengan persiapan lain, maka kami berdua terpaksa mencari tukang jahit pada saat-saat akhir. Alhamdulillah, masih ada yang sanggup menerima tempahan,” katanya yang bakal beraya dengan dua pasang baju raya untuk tahun ini.

Tambah Akim atau nama penuhnya, Afiq Hakim Ahmad, Syawal tahun ini juga dirasakan akan menjadi perayaan yang mencabar kesabarannya dan isteri kerana perlu mengawal dua orang anak kecil pada masa yang sama.

Menurut bekas peserta Akademi Fantasia musim ketujuh itu lagi, dia harus bersiap sedia agar kedua-dua puterinya berada dalam keadaan terbaik sewaktu tetamu datang ke rumah keluarganya di Johor untuk beraya.

“Bella sudah semakin lasak, maka saya perlu perhatikan dia agar tidak hilang daripada pandangan semasa orang sedang sibuk beraya dan pada masa sama, tidak mengacau adiknya sehingga menangis.

“Meskipun tanggungjawab sudah semakin berat tetapi saya bersyukur kerana tahun ini, keluarga kecil saya diberi peluang sekali lagi untuk menikmati Hari Raya Aidilfitri bersama-sama,” tuturnya sambil tersenyum lebar.

Post a Comment

Previous Post Next Post