MESKIPUN sedang hamil, keadaan tersebut tidak menghalang Ramona kekal aktif melakukan aktiviti lasak seperti mendaki bukit bersama suaminya, Rami Alashka ketika bercuti di Labuan Bajo, Nusa Tenggara, Indonesia baru-baru ini.
BAGI kebanyakan wanita yang hamil, peringkat kehamilan fasa pertama adalah tempoh yang perlu dilalui dengan penuh berhati-hati kerana usia kandungan yang masih baharu.
Selalunya, wanita hamil disarankan untuk berehat, tidak melakukan kerja-kerja berat atau terlalu lasak.
Berbeza dengan pelakon Ramona Zamzam, dia memilih untuk tetap menjalani rutin harian seperti biasa walaupun sedang hamil.
Cerita pelakon berusia 27 tahun itu, meskipun ketika sedang hamil tiga bulan, dia tetap melakukan aktiviti mendaki bukit bersama suami ketika sedang bercuti di Labuan Bajo, Nusa Tenggara, Indonesia baru-baru ini.
“Saya seorang yang tidak boleh duduk diam dan gemar melakukan aktiviti lasak. Sebab itu, walaupun sedang hamil saya masih mampu melakukan aktiviti mendaki bukit ketika bercuti di Indonesia baru-baru. Bukan sekali tetapi saya sempat melakukan aktiviti tersebut sebanyak dua kali.
“Lebih-lebih lagi, suami menyokong saya untuk melakukannya. Namun saya akui, stamina agak terganggu. Saya berhenti walaupun bukit tersebut tidaklah tinggi,” ujarnya ketika ditemui pada majlis pelancaran program Syawal Media Prima baru-baru ini.
Selera
Usia kandungannya kini mencecah empat bulan, namun Ramona bersyukur kerana pengalaman pertamanya melewati fasa pertama dimudahkan tanpa sebarang alahan. Dia cuma cepat berasa penat dan kerap tidur, namun selera makannya bertambah.
“Walaupun ini merupakan kehamilan pertama tetapi alhamdulillah setakat ini tahap kesihatan saya dalam keadaan yang baik tanpa banyak dugaan, mengidam atau alahan pagi. Begitu juga dengan suami.
LEBARAN pada tahun ini hadir dalam suasana sangat istimewa buat Ramona Zamzam kerana disambut dalam keadaan dirinya sedang berbadan dua dengan usia kandungan mencecah empat bulan.
“Bezanya, cuma selera makan bertambah sehingga berat badan saya naik sebanyak dua kilogram. Kalau dahulu, saya makan tiga kali sehari, sekarang jadi lima kali. Apabila sudah kenyang, mulalah cepat mengantuk. Sebab itu sekarang saya kuat tidur,” ujarnya sambil ketawa.
Disebabkan itu, dia juga terpaksa menolak beberapa tawaran drama kerana tidak mahu keadaannya mendatangkan masalah ketika di lokasi.
“Ada beberapa tawaran yang datang termasuk sebuah drama bersiri 26 episod tetapi saya terpaksa tolak. Sebabnya, ia akan mengambil masa paling singkat pun pasti dalam tempoh tiga bulan untuk selesai penggambaran.
“Dalam tempoh itu, usia kandungan saya semakin membesar. Jadi, lebih baik saya tolak kerana tidak mahu ambil risiko,” ujarnya yang dijangka melahirkan bayi sulung pada akhir bulan November depan.
Istimewa Lebaran
Bercerita tentang kedatangan bulan Syawal yang bakal disambut tidak lama lagi, Ramona menyuarakan keterujaan kerana tahun ini dia beraya bersama anak yang masih di dalam kandungan.
Disebabkan bimbang dengan keadaan kandungan yang semakin membesar, dia juga terpaksa menyediakan kelengkapan seperti baju raya pada saat-saat akhir.
“Persediaan raya pada tahun ini dilakukan secara bersederhana. Tambahan pula, sekarang saya rasa kandungan semakin membesar, jadi lebih baik saya beli baju pada saat-saat akhir,” ujarnya yang akan beraya di kampung halaman di Ipoh, Perak.
Tahun ini merupakan tahun ketiga buat Ramona menyambut raya bersama suami, Rami Alashka, 29, yang merupakan seorang warga Palestin.
Kongsinya, saban tahun Rami tidak mempunyai masalah menyediakan hidangan raya kerana suaminya gemar menikmati masakan Melayu.
“Dia sangat sukakan rendang daging tetapi dalam banyak-banyak juadah hari raya, dia tidak boleh makan lemang dengan banyak kerana tidak biasa dengan tekstur pulut yang melekit.
“Lagi satu, sampai sekarang suami saya masih belum pandai membuka daun ketupat,” tutupnya sambil ketawa.