Ezlynn enggan komen status rumah tangga


WALAUPUN sedang berhadapan dengan masalah rumah tangga, Ezlynn tetap positif.

HUJUNG Mei lalu, dunia hiburan diributkan dengan kisah rumah tangga penyanyi bersuara serak basah, Ezlynn yang dikhabarkan sedang dilanda badai.

Bermula dengan penulisan pojok sebuah portal hiburan yang mengatakan suami kepada seorang penyanyi popular ditangkap khalwat, nama Ezlynn kemudian dikaitkan apabila dia diserang demam viral dan dimasukkan ke hospital sehari selepas gosip tersebut tular.

Menerusi kapsyen pada gambar yang dimuat naik selepas menerima rawatan, Ezlynn secara berkias memaklumkan bahawa dirinya diserang demam akibat ‘terperanjat’ dengan suatu kejadian yang mengejutkan.

Gelora rumah tangga antara Ezlynn dan suaminya, Adam Fahmi akhirnya tersingkap apabila sebutan kes perceraian yang difailkan oleh penyanyi Hi Hi Bye Bye itu pada Januari lalu berjaya dihidu oleh pihak media.

Menurut pihak Mahkamah Rendah Syariah Kuala Lumpur, status perkahwinan yang dibina oleh Ezlynn dan Adam pada 21 November 2011 itu hanya akan diketahui pada 11 Julai depan selepas mereka menghadiri sesi Jawatankuasa Pendamai (JKP) berikutan keputusan Adam yang tidak bersetuju untuk meneruskan perceraian tersebut.

Berpeluang bertemu dengan penyanyi itu pada majlis Program Syawal TV3 Dan TV9 2017 di Hotel Mandarin Oriental, Kuala Lumpur baru-baru ini, pemilik nama lengkap Azline Ariffin itu bagaimanapun enggan berbicara lanjut mengenai isu rumah tangganya.

Ujar penghibur berusia 36 tahun itu, dia tidak mahu kenyataan yang dikeluarkan bakal memberi kesan terhadap perjalanan kes perceraiannya di mahkamah.

KOSMO!: Ezlynn, boleh ulas sedikit mengenai kes perceraian yang anda failkan Januari lalu?

EZLYNN: Maaf, saya tidak boleh memberi komen lanjut mengenai isu ini. Apa yang pasti, kes perceraian masih berjalan.

Bilakah anda mula menyedari bahawa rumah tangga mula bergolak?

Sejujurnya, perkara ini telah lama berlaku. Bertahun-tahun tetapi saya mengambil keputusan untuk merahsiakannya daripada pengetahuan sesiapa.

Keluarga saya juga tidak tahu mengenai gelora yang berlaku dalam perkahwinan kami.


BERNIKAH pada tahun 2011, rumah tangga Ezlynn dan Adam kini dalam proses penceraian di mahkamah. Ezlynn mengaku rumah tangganya sudah lama bermasalah, namun hanya baru kini dia mengambil keputusan untuk berpisah.

Anda kelihatan kuat dan tidak terganggu dengan isu perceraian. Adakah anda telah melupakan setiap perkara yang berlaku dan sedang cuba membina hidup baharu?

Benar, saya kelihatan tenang kerana fasa tunggang-langgang yang dialami telah lama berlalu. Saya jadi tidak kisah dan bersedia untuk bermula semula.

Adakah gaya rambut baharu yang lurus dan hitam menandakan kelahiran semula Ezlynn sebagai seorang individu yang berbeza?

Tidak juga tetapi saya anggap ia sebagai nafas baharu, lebih-lebih lagi saya kini telah bernaung di bawah label muzik Indigital.

Boleh kongsikan sedikit mengenai perkembangan terkini?

Saya bakal memasuki studio dan merakam single terbaharu selepas raya. Pihak label memilih komposer Tam Spider untuk menyumbangkan lagu buat saya. Namun, kami masih memilih lagu yang sesuai untuk diangkat sebagai single utama.

Bagaimana pula dengan persiapan hari raya tahun ini?

Tahun ini, persiapan serba ringkas. Saya tidak membeli busana raya dan mengenakan apa yang ada pada pagi raya.

Istimewanya, tahun ini juga saya akan pulang berhari raya di Kelantan, iaitu di kampung keluarga sebelah mak.

Post a Comment

Previous Post Next Post