Azharina Azhar sederhana sambut lebaran


DALAM kegembiraan menyambut 1 Syawal, penyanyi, Azharina Azhar mengakui tidak dapat membendung perasaan sayunya.

Walaupun sudah tiga bulan berlalu, pelantun lagu Elergi Sepi ini masih lagi bersedih dengan pemergian anak angkat keduanya, Rizkie Azharin Azhar.

“Saya reda. Tak ada ibu dalam dunia ini yang sanggup melihat anaknya pergi dulu. Tapi saya mahu dia bahagia di syurga dan menunggu saya di sana,” katanya kepada Media Hiburan dalam nada sebak.

Bersyukur diberikan kesempatan menjaga Rizkie, selebriti berusia 32 tahun ini menyifatkannya sebagai satu anugerah terindah yang dipinjamkan ALLAH SWT 23 hari.

Rizkie meninggal dunia akibat beberapa komplikasi termasuk buah pinggang rosak, pendarahan otak dan paru-paru dipenuhi susu.

Penyanyi Seandainya ini juga mengakui perlu kuat dan tabah demi anak angkat pertamanya, Rahmat Azharin Aziz yang kini berusia tiga tahun.

“Dia sangat manja sejak kehilangan adiknya. Kadang-kadang, dia selalu bertanya adiknya pergi mana dan bila nak pulang.

“Saya cuba bercakap dengan sebaik-baiknya kerana tahu dia masih belum faham dengan situasi sebenar,” katanya.

Pada masa sama, Azharina mendedahkan ramai pihak menawarkannya untuk mengambil anak angkat yang lain tetapi dia masih belum bersedia mencari pengganti Rizkie.

“Insya-ALLAH, jika ada rezeki, saya akan kongsikannya,” katanya.

Raya di Kuala Lumpur

Bercerita lanjut mengenai sambutan lebaran, Azharina bersyukur kerana kerja-kerja pengubahsuaian rumahnya di Puchong selesai.

Penyanyi Mimpi Bahagia ini turut memasang panjut atau pelita hiasan bagi mewujudkan kemeriahan menyambut Aidilfitri.


“Sebenarnya, pasang colour lights sehingga Aidiladha ini boleh dikatakan sebagai satu tradisi di rumah saya.,” katanya.

Azharina yang terkenal dengan lagu Sekian Terima Kasih ini juga tidak pulang ke kampung di Kota Kinabalu, Sabah.

“Saya lebih senang beraya di rumah sendiri saja. Lagipun, kampung pun dah bertukar jadi bandar," jelasnya.

Menurut Azharina, dia tidak keseorangan kerana ramai sanak saudara termasuk ayah dan ibu tiri-nya beraya di Kuala Lumpur.

Lebih istimewa, juara Gegar Vaganza ini turut menjadi ‘orang dapur’ demi menyediakan juadah istimewa iaitu Soto Jabru (Jawa Brunei), resipi turun-temurun daripada keluarga ibunya.

Tambahnya, walaupun cara penyediaannya agak rumit, dia tetap mahu menyediakannya untuk menjamu peminat dan tetamu.

Kala lebaran, Azharina juga terkenangkan wajik neneknya yang enak selain menyediakan 12 jenis biskut termasuk biskut makmur kegemarannya.

Dalam perkembangan lain, Azharina merancang melancarkan single solo dan duetnya bersama penyanyi Indonesia Rizal Badila iaitu Seribu Cintaku, tidak lama lagi.

Post a Comment

Previous Post Next Post