Aisy Mateen pelengkap raya Yana Samsudin & Fadzil Zahari


Yana bersama suami dan permata hati mereka.

STATUS sebagai selebriti bukan alasan pasangan Yana Samsudin dan Fadzil Zahari berbelanja mewah bagi meraikan Aidilfitri.

Biarpun kini perkahwinan mereka dilengkapi dengan kehadiran cahaya mata, Aisy Mateen, 11 bulan, Yana atau nama sebenarnya Norliana Samsudin berkata, persiapan dan sambutan mereka sama seperti tahun sebelumnya.

Kata Yana, dia hanya membuat persiapan ringkas untuk anaknya Mateen, kerana si comel itu sedang membesar manakala koleksinya sendiri iaitu Ayana Raya menjadi pilihan dia dan suami.


Bercerita raya mereka, beritahu Yana, mereka beraya di Jitra, Kedah bersama keluarga suaminya sebelum bersama keluarga di Yong Peng, Johor.

"Ini tahun pertama Mateen beraya bersama sepupu di Jitra, memang meriah suasana dengan anak-anak buah Fadzil yang lain juga pulang berhari raya di sini," ujarnya kepada Media Hiburan.

Ditanya juadah wajib hari raya, Yana berkata, sejak berkahwin, dia pasti akan menyediakan nasi daging air tangannya sendiri menjadi kegemaran suami.

"Saya pula menggemari lontong dan sate goreng masakan ibu. Saya memang tak pandai buat, jadi kena tunggu balik ke Yong Peng untuk makan," selorohnya.

Selebriti berusia 33 tahun ini menambah, dia juga merancang mengadakan rumah terbuka di Yong Peng tahun ini selepas tidak melakukannya tahun lalu kerana sarat mengandung.

Pelakon dan penyanyi ini juga berhasrat mengadakan majlis buat Mateen di akhir Syawal sebelum memasuki set penggambaran drama bersiri Cinta Maya di samping aktor, Afiq Muiz untuk siaran RTM, tidak lama lagi.


Yana bersama suami dan anak mereka. - Foto Sinar Harian oleh ASRIL ASWANDI SHUKOR
Dalam kesibukannya Yana terlibat beberapa kempen raya termasuk Lux Persona bersama Che Puan Juliana Evans dan Tropicana Twister.

Kenangan cuci tandas

Sementara itu, ditanya kenangan hari raya yang tidak dapat dilupakan, kedua-duanya memberi jawapan yang sama.

"Dua tahun lepas, ketika kami dalam perjalanan pulang dari Kedah ke Kuala Lumpur, kami singgah di Hentian Sungai Perak.

"Tak sangka pula tandas salah sebuah stesen minyak bermasalah dan kerana kasihankan beberapa warga emas yang hendak menggunakannya, jadi kami ambil keputusan bersihkan 'sisa' yang ditinggalkan itu," katanya.

Bagaimanapun, ujar Fadzil, mereka tidak menyangka niat membantu mendapat perhatian dan perkara itu viral di media sosial.

Tambah Yana, tindakan mereka itu bukan hanya dipuji, tetapi ada netizen mengecam kerana dikatakan menunjuk-nunjuk.

"Niat saya untuk menegur orang dalam gurauan supaya gunakanlah tandas sebaiknya, lebih-lebih lagi pada musim perayaan ini, ramai lagi orang hendak menggunakannya.

"Tapi ada yang salah ertikan. Bagaimanapun pada saya tak mengapalah, yang penting saya tahu niat sebenar kami," katanya.

Post a Comment

Previous Post Next Post