TO’KI bersama Presiden Yayasan Artis 1Malaysia (YA1M), Datuk DJ Dave (kiri) menunjukkan gambar yang tular dalam laman sosial sehingga mencetuskan dakwaan penyanyi itu hidup melarat serta menjadi peminta sedekah.
MINGGU lalu, laman media sosial dikejutkan dengan kisah penyanyi popular era 1990-an, To’ki yang dikatakan hidup dalam keadaan daif dan terpaksa mengemis.
Perkara itu dikongsikan oleh seorang orang awam yang menggunakan nama Engku Lokman dalam laman Facebook miliknya yang ditulis pada sekeping gambar To’ki. Dalam kapsyen yang ditulis lelaki tersebut, dia menceritakan keadaan To’ki yang hidup dalam keadaan susah.
Perkongsian itu telah mendapat pelbagai reaksi daripada peminat yang rata-ratanya bersimpati dengan keadaan yang dialami oleh pelantun lagu Hampa itu.
Berikutan kes tersebut, pihak Yayasan Artis 1Malaysia (YA1M) menerusi presidennya, Datuk DJ Dave telah berjaya menemui To’ki atau nama sebenarnya, Mohd. Zaki Mansur untuk membantu penyanyi itu.
Ikuti penjelasan To’ki, 50, mengenai keadaan hidupnya yang susah ketika ditemui pada satu sesi sidang media khas yang diadakan di pejabat YA1M baru-baru ini.
KOSMO!: Mengenai dakwaan To’ki hidup dalam keadaan susah yang tular dalam laman sosial baru-baru ini, apa penjelasan anda?
TO’KI: Gambar yang tular dalam laman sosial tersebut baru sahaja diambil sekitar beberapa minggu lalu. Namun, disebabkan timbul pula tindakan daripada beberapa peminat yang memuat naik gambar lama saya dalam ruangan komen, membuatkan perkara ini telah menjadi besar. Hakikatnya, kehidupan saya baik-baik sahaja. Memang betul saya hidup susah tetapi tidaklah sampai mengemis atau menjadi peminta sedekah. Saya tidak malu untuk mengaku tidak mempunyai wang bagi membeli beras dan makanan. Dek kesempitan hidup, saya terpaksa meminta tolong dan meminjam wang daripada rakan-rakan terdekat. Barangkali dari situ, orang beranggapan saya mengemis, hakikatnya tidak.
Jadi, adakah anda langsung tidak menerima tawaran persembahan atau mencipta lagu selama ini?
Selama hidup dalam keadaan susah sebelum ini, bukannya saya langsung tidak bekerja. Saya masih ada menerima tawaran menghasilkan lagu daripada beberapa rakan artis antaranya Datuk M. Nasir.
Namun, itu bukanlah pekerjaan tetap. Kehidupan saya menjadi lebih rumit selepas studio milik saya di Batu Caves, Selangor dipecah masuk pada empat tahun lalu. Semua barang berharga seperti alat muzik telah dicuri, sedangkan itulah punca mata pencarian saya iaitu menulis lagu.
Selepas segalanya dicuri, saya kehilangan arah untuk mencari pendapatan kerana selama ini memang bergantung kepada kerja menghasilkan lagu. Kesemua alat muzik seperti gitar yang dicuri itu mempunyai nilai sentimental tersendiri buat saya. Lebih menyedihkan, trofi kemenangan Komposer Terbaik Asia yang saya menangi menerusi lagu Zikir Kasih pada tahun 1999 juga turut dicuri.
Bagaimana pula dengan penjelasan mengenai dakwaan selain mengemis, anda juga sebenarnya penagih dadah?
Itu semua tidak betul. Kalau dahulu, memang betul saya ada ambil dadah, tapi itu cerita lama. Sudah 18 tahun saya meninggalkan najis dadah dan sekarang bergantung kepada sejenis ubat iaitu Suboxone Film 2/0.5 untuk menghilangkan ketagihan setiap hari. Saya sangat kecewa apabila orang di luar sana melabelkan saya sebagai penagih dadah hanya kerana sekeping gambar yang menjadi viral dalam laman sosial.
Apakah reaksi anda apabila kehidupan susah yang dialami menjadi bahan bualan orang ramai?
Pada mulanya, saya agak marah dan kecewa. Bagaimanapun, apabila difikirkan semula, apa yang berlaku ada hikmahnya. Saya bersyukur kerana apabila perkara ini terjadi setidak-tidaknya ia telah membuka mata ramai pihak untuk tampil membantu saya. Saya tidak mahu wang. Apa yang saya mahu hanyalah bantuan lain iaitu tawaran persembahan.
Dari situ, saya boleh kembali aktif menyanyi dan meneruskan kehidupan seperti biasa bersama keluarga. Saya sangat berharap agar diberi peluang untuk kembali mengadakan persembahan kerana minat itu tidak pernah padam dalam diri saya.
Adakah anda benar-benar sudah bersedia untuk kembali aktif selepas ini?
Walaupun tiada peralatan lengkap untuk menghasilkan lagu, tetapi dalam simpanan saya masih ada banyak lagu yang belum dikeluarkan. Untuk perancangan awal kembali aktif dalam industri, saya bakal muncul dengan dua buah lagu berjudul Baiyati dan Perunding Jiwa.