KOLEKSI - Que juga muncul dengan koleksi baju raya yang diusahakan bersama pereka busana Qie Rahman.
SAAT lampu sorot menjadikan aktor Que Haidar sebagai titik fokus di atas pentas kafe No Black Tie yang terletak di Bukit Bintang, Kuala Lumpur sewaktu mendendangkan single pertamanya berjudul Kisah Cinta, perasaan gementarnya tidak dapat disembunyikan.
Walhal itu bukanlah kali pertama lelaki berusia 38 tahun itu naik ke atas pentas. Dia pernah terlibat dalam teater Primadona...Perahu Mimpi pada 2012, namun itulah kali pertama Que naik ke atas pentas sebagai seorang penyanyi selepas lebih sedekad bergelar pelakon.
“Saya tidak pernah rasa gementar seperti ini. Sebab ini kali pertama saya menyanyi secara langsung di hadapan keluarga, rakan dan pihak media.
“Biasanya jika berlakon, perasaan malu dan gementar itu automatik hilang kerana saya bebas menjadi orang lain mengikut karakter watak yang diberi. Berbeza dengan nyanyian, saya terpaksa menjadi diri sendiri. Inilah diri Que Haidar sebenarnya, seorang yang pemalu,” katanya sambil ketawa panjang.
Bercakap tentang keputusannya untuk bergelar seorang penyanyi selepas lebih dua tahun berehat daripada dunia lakonan, banyak pihak melahirkan rasa terkejut.
Hal ini kerana Que atau nama sebenarnya, Tengku Iskhan Shah Tengku Haidar tidak pernah menunjukkan minat dalam bidang nyanyian seperti mana cintanya terhadap lakonan.
Namun, ramai yang tidak tahu sebelum berhijrah ke Kuala Lumpur, anak kelahiran Felda Taib Andak, Kulai, Johor itu pernah menyimpan impian untuk bergelar penyanyi.
“Saya masih ingat sewaktu di bangku persekolahan, apabila disoal guru tentang cita-cita selain pelakon dan model, menjadi penyanyi juga termasuk dalam senarai. Sewaktu belajar di Akademi Seni Kebangsaan (kini ASWARA), saya terasa kerdil kerana melihat lebih ramai orang berbakat dalam bidang nyanyian.
“Selepas tamat pengajian, rezeki saya juga lebih terarah kepada bidang lakonan, maka impian itu dipendamkan begitu sahaja,” kongsi Que.
Dia bagaimanapun tidak menyangka percubaan mencipta lagu secara suka-suka dua tahun lalu menerima respons positif daripada orang sekelilingnya terutama rakan-rakan yang terlibat dalam bidang muzik.
Selepas lagu Kisah Cinta disiapkan, Que tidak terfikir untuk menyanyikan sendiri lagu tersebut. Sebaliknya dia mahu memberikan lagu ciptaannya itu kepada penyanyi Syamel ataupun Adira.
“Sebaliknya, orang sekeliling yang memberi keyakinan untuk saya menyanyikan sendiri lagu ini. Faktornya adalah kerana saya cipta lagu ini sebagai penghargaan untuk orang yang disayangi seperti arwah bapa, ibu, isteri dan anak-anak.
“Bagi mereka, saya orang yang tepat dalam menyampaikan kejujuran lagu ini,” kata Que yang dibantu oleh Along Exits dalam penyusunan lagu.
Disoal tentang inspirasi mencipta lagu berkenaan, kata Que, perasaan rindu terhadap arwah bapa, Tengku Daud yang pergi menghadap Ilahi secara mengejut pada 2001 merupakan punca dia mula mencipta lagu.
“Arwah bapa merupakan idola dan penyokong kuat minat saya dalam bidang seni. Ralatnya, arwah tidak sempat melihat kejayaan saya. Arwah meninggal dunia dalam tidur ketika saya baru hendak bermula dalam bidang lakonan. Waktu itu arwah berusia 69 tahun dan saya pula baru 21 tahun.
“Pemergiannya dirasai sehingga ke hari ini kerana terlalu mengejut. Saya rindu kasih sayang, belaian dan gayanya ketika marah. Jadi, saya dedikasikan lagu Kisah Cinta buat arwah bapa. Jika orang lain mendengarnya, saya harap mereka juga dapat merasai perasaan yang sama. Saya yakin setiap pendengar ada orang yang disayangi,” luah Que yang merakam lagu tersebut pada Januari lalu.
Sedia dikritik
Mengubah haluan daripada seorang pelakon kepada penyanyi, cabarannya cukup besar. Apatah lagi Que sendiri mengakui bakat nyanyiannya tidak sehebat penyanyi profesional lain.
Niat menceburi bidang nyanyian hanya untuk berkongsi kisah peribadi bersama orang ramai. Que bagaimanapun sedar selepas lagu tersebut dimainkan di corong radio kelak, dia tidak dapat lari daripada kritikan.
“Sudah tentu saya akan terasa jika dikritik. Bohonglah jika kata tidak kisah. Saya manusia biasa yang ada hati dan perasaan. Apa pun, saya bersikap terbuka dan akan mencuba menerimanya dengan sebaik mungkin,” tutur Que yang pernah mengikuti kelas vokal Siti Hajar sebelum ini.
Biar sudah mempunyai single, lelaki itu masih ragu-ragu untuk menerima tawaran pentas seperti penyanyi lain kerana perasaan gementar masih menguasai dirinya setiap kali naik ke atas pentas.
“Sebenarnya selepas ada lagu sendiri dan menjadi penyanyi, saya sepatutnya berfikirkan tentang kemungkinan diberi tawaran pentas. Namun, disebabkan terlalu gementar saya sering menidakkan fakta tersebut. Setakat ini saya tidak tahu lagi ke mana hala tuju dalam bidang nyanyian.
“Saya serahkan sepenuhnya kepada pihak pengurusan dan lihat sambutan peminat terhadap lagu ini terlebih dahulu. Andai kehadiran lagu Kisah Cinta menyemarakkan lagi industri muzik, itu sudah memadai buat saya,” ujarnya yang tidak menolak untuk lagu tersebut dijadikan runut bunyi drama atau filem.
Berbicara tentang kerjaya lakonannya, sudah terlalu lama kelibat Que tidak kelihatan di kaca televisyen mahupun layar perak. Kerja seni terakhirnya adalah drama Cahaya Malaika yang diterbitkan dua tahun lalu dan filem Ophilia pada 2014.
Tidak berehat daripada lakonan tetapi jelas Que, kebanyakan tawaran yang datang tidak melekat dalam hatinya.
Selektif
“Saya amat rindu untuk berlakon, malah tawaran juga ada tetapi tiada skrip yang melekat dalam hati. Saya mahukan karakter yang wataknya pergi dengan lebih mendalam. Namun, setakat ini belum ada lagi,” ujarnya.
Bukan jual mahal atau berlagak sombong tetapi setiap kali berlakon Que amat mementingkan kepuasan hati sendiri.
“Sudah menjadi prinsip setiap pekerjaan yang dilakukan haruslah membuat saya gembira. Bukan skrip yang diterima tidak bagus tetapi tidak kena dengan cita rasa saya sebagai seorang pelakon,” kata Que yang berterima kasih kepada kebanyakan pengarah yang masih tidak jemu mendapatkan khidmatnya sebagai pelakon.
Melihat ketelitiannya dalam memilih karya sehingga sanggup tidak berlakon dalam jangka masa lama semata-mata tidak menerima skrip yang sesuai, Que terfikir untuk menerbitkan drama sendiri.
Realitinya bukan semudah disangka. Akuinya, sebelum ini dia pernah mencuba menulis skrip, namun sedar bakatnya tidak ke arah itu. Meskipun pernah menyimpan cita-cita untuk duduk di kerusi pengarah, rasa itu dipendam kerana tiada keyakinan untuk mengemudi seluruh produksi.
“Setakat ini saya belum ada keyakinan untuk menjadi pengarah walaupun mempunyai minat. Saya tahu bukan mudah untuk menjadi pengarah yang bertindak sebagai ketua kepada seluruh produksi. Saya bimbang tidak mampu menguruskannya dengan baik,” jelas Que.
Menyentuh tentang aktiviti sepanjang bulan Ramadan, sudah menjadi rutin setiap tahun Que dan isterinya, Linda Jasmine berniaga di Bangsar Shopping Centre (BSC), Kuala Lumpur. Menjual pakaian di bawah jenama The Haidars, Que bersyukur perniagaannya mendapat sambutan yang menggalakkan.
“Ini merupakan tahun keenam saya berniaga di BSC. Alhamdulillah, kami sudah mempunyai pelanggan tetap. Disebabkan seronok berniaga, setiap hari saya akan berada di gerai jualan dan bertemu dengan peminat.
“Selain BSC, pakaian jenama The Haidars juga dijual di gerai yang dibuka di pusat beli-belah Sunway Putra Mall, Kuala Lumpur,” tuturnya yang turut menjalinkan kerjasama pengeluaran baju Melayu bersama pereka, Qie Rahman.