Shahir Zawawi cari kepercayaan peminat


KELIBATNYA dalam industri seni tujuh tahun lalu cukup membuat jejaka ini dikenali.

Bakat besarnya juga diangkat sebagai juara Akademi Fantasia musim kelapan.

Namun baru sahaja mengorak langkah di dalam industri seni, pelbagai cerita kurang enak mula mengikut rapat.

Tidak cukup dengan kisah negatif, kelibat anak kelahiran Kampar, Perak ini pula tenggelam timbul sehingga akhirnya dia gagal dikesan sejak tiga tahun lalu.

Biarpun ceritanya ada di media, namun kelibat Ahmad Shahir Zawawi atau Shahir Zawawi tidak dapat dilihat di kaca TV. Hanya lagunya kadang kala berkumandang di radio.

Namun kelmarin, penyanyi berusia 29 tahun ini mengejutkan ramai apabila membuat kemunculan di konsert akhir Gema Gegar Vaganza di Pusat Konvensyen CIDB, Jalan Cheras.

Malah pada petang hari yang sama, Shahir bertemu dengan 30 peminat di sebuah restoran di Gombak.

Pada kesempatan itu Shahir menjelaskan kehilangannya dalam tempoh tiga tahun ini bukan disebabkan rajuknya, lari daripada wartawan atau sakit sebaliknya sedang merancang menceburi bidang perniagaan.

"Jadi, disebabkan perniagaan itu masih baru, saya terpaksa berulang alik ke Perak dan tak dapat beri komitmen kepada bidang nyanyian kerana tak nak susahkan orang lain.

"Maklumlah bidang seni perlukan komitmen yang tinggi dan saya tak mahu yang dikejar tak dapat, yang dikendong berciciran.

"Kiranya sebelum ini saya ambil cuti dan sekarang cuti saya pun dah habis. Saya kira ini masa paling sesuai untuk saya terlibat dalam nyanyian kerana tiada lagi gangguan," jelasnya kepada Media Hiburan.

Ditanya tidakkah dia bimbang tempoh 'bercuti' itu membuatkan dia kehilangan peminat dan mengikis kepercayaan ramai, Shahir menjawab, "Kalau fans lari, saya tak pasti, tapi mungkin ada.

Shahir tidak menafikan ada yang beranggapan negatif apabila dia dilihat sesekali muncul, seolah-olah tidak serius dalam industri ini.

Jelas Shahir, dia hanya berdiam diri kerana tidak mahu memanjangkan cerita dan berharap mendapat peluang untuk kembali memeriahkan industri seni.

Justeru, kali ini dia merancang untuk merakam single ciptaannya yang sudah lama disimpan selepas raya nanti.

Bagaimanapun perancangan itu juga bergantung kepada perancangan lain yang sudah pun diatur.

"Insya ALLAH, saya akan muncul dengan sebuah program televisyen selepas raya nanti. Tapi saya tak mahu dedahkan apa- apa lagi. Tak mahulah melangkaui tuan rumah.

"Sebab itu saya tak pasti sama ada muncul dengan single baru dulu atau program TV dulu," ujarnya.

Kasihankan Erra

Sementara itu, diusik mengenai hubungannya dengan bintang terkenal, Erra Fazira, penyanyi yang popular dengan lagu Kebahagian Dalam Perpisahan ini secara gentleman mengakui bersedia untuk membawa hubungan mereka ke satu tahap yang lebih serius.

Bahkan Shahir mengakui simpati dengan Erra apabila terpaksa bersendirian berdepan kontroversi mengenai hubungan mereka.

"Saya sebenarnya agak segan untuk bercakap mengenai hal peribadi. Tapi saya kesian dengan dia sebab terpaksa berdepan dan menjawab mengenai hubungan kami sendiri.

"Tapi nak buat macam mana sebab dia lebih menonjol dalam industri. Media banyak bertanya dia mengenai hal kami," katanya yang akan memaklumkan perkembangan hubungan mereka andai tiba masanya.

Post a Comment

Previous Post Next Post