SOKONGAN berterusan peminat terhadap kerjaya nyanyiannya mendorong penyanyi popular, Alyah untuk mengadakan sesi ramah mesra bersama peminat setianya.
Tahun lalu, penyanyi yang sinonim dengan lagu Kisah Hati dan Kau Yang Terindah ini mengadakan sesi karaoke di Red Box Plus, Pavilion.
Kali ini, Alyah mahu melakukan sesuatu yang berbeza lalu memilih bercuti bersama peminat di Desa Balqis, Kuala Linggi, Melaka, hujung April lalu.
Program yang sudah dirancang sejak Februari lalu itu mendapat sokongan peminatnya, sekali gus membuktikan minat mereka tidak pernah berbelah bahagi terhadap penyanyi ini.
“Bila saya lakukan acara sama tahun lalu, ternyata sambutan yang diterima begitu baik. Malah, saya sendiri terkejut kerana meski hanya mengeluarkan single, namun peminat tetap setia menyokong.
Tanpa mereka, saya tak mungkin mampu bertahan di dunia hiburan sebagaimana sehingga kini,” akui Alyah yang turut memberitahu, sememangnya dia sudah merancang untuk mengisi masa bersama peminat setianya di luar Kuala Lumpur.
“Saya nak buat di luar KL. Bukan apa, saya mahu kualiti masa bersama mereka, pada masa sama, nak ada suasana kampung yang tenang, damai.
Bila dapat tahu ada suasana tu di Desa Balqis, terus saya pilih bercuti di sana. Alhamdulillah, semuanya berjalan lancar,” kata Alyah yang turut mengakui, program seumpama ini akan dijadikan sebagai acara tahunan di dalam kalendar seninya.
Sementara itu, sesi ramah mesra selama dua hari tiga malam itu turut terisi dengan pelbagai aktiviti menarik seperti acara permainan kampung.
Peminat yang mengambil bahagian dibahagikan kepada beberapa kumpulan dan bertanding sesama sendiri untuk merebut hadiah menarik yang disediakan.
Sesi karaoke juga turut mencuri tumpuan apabila peserta bertanding tidak hanya mempersembahkan vokal memukau, tetapi lengkap dengan persalinan ala desa.
“Seronok bila apa yang yang kita angankan jadi kenyataan. Harapnya ini bukanlah program terakhir kami dan kalau boleh, biarlah jadi projek tahunan eksklusif bersama peminat.
“Karaoke sudah, berkampung di lokasi luar Kuala Lumpur pun sudah. Jadi selepas ini saya nak bawa bawa peminat naik cruise kot, Insya-Allah,” terangnya lagi.
Berkongsi perkembangan terbarunya pula, Alyah kini sibuk mempromosikan single duetnya bersama Farawahida berjudul Mengapa Harus Aku.
Selain itu, penyanyi ini juga sibuk menguruskan perniagaan kanta lekap dan persalinan Muslimah, hasil kerjasamanya dengan Zara D Raudah.
“Selepas raya nanti, saya akan muncul dengan single seterusnya berjudul Jutaan Purnama yang dicipta Hael, Ezra Kong dan Omar K pula, insya-Allah,” jelas Alyah menutup bicara.