Mawi bermusafir Ramadan ini


SUATU ketika dahulu, nama Mawi pernah menjadi fenomena di negara kita. Semuanya gara-gara program Akademi Fantasia yang berjaya melonjakkan namanya. Gempal juga nak mengaku iaitu antara salah seorang daripada berjuta peminatnya.

Namun kini, nama Mawi seakan sunyi. Pun begitu, tidaklah bermakna tidak aktif terus cuma dia sibuk dengan bisnes dan kerja di belakang tabir. Dan sejak akhir-akhir ini bersama Syamsul Yusof namanya mula menjadi perhatian.

Mawi selesa duet bersama Syamsul dan juga sedang berlakon di dalam filem Munafik 2.

Selain itu, Mawi juga sibuk sebagai hos program. Terbaru, sepanjang Ramadan ini, Mawi tampil menerusi program travelog, Musafir.


Berkonsepkan travelog Islamik, Mawi akan bermusafir dengan menunggang motosikal berkuasa tinggi ke serata tempat di Malaysia.

Sepanjang 26 episod, dipaparkan kampung dan masyarakat berbeza melalui keunikan makanan, budaya, cara hidup yang membawa kepada nilai-nilai Islam dan sejarah penempatan tersebut.

Bersiaran mulai 29 Mei ini, setiap hari jam 6 petang di TV2, episod pengenalannya membawa Mawi ke Kampung Puh, Terachi, Negeri Sembilan. Tempat pertama persinggahan Mawi di sini adalah Masjid Kariah Kampung Pauh.

Ketua Kampung membawanya bertemu dengan peserta-peserta kursus umrah yang sedang berlangsung. Masjid ini pernah memenangi Anugerah Masjid Contoh peringkat Negeri Sembilan pada 2001 dan 2009.

Mawi kemudiannya ke Kampung Duyong, Melaka yang dipercayai sebagai kampung asal Hang Tuah.

Seterusnya Mawi menuju ke Masjid Jamek Laksamana Hang Tuah, antara masjid tertua di Melaka dipercayai dibina Hang Tuah dan telah diwartakan sebagai Warisan Negara.

Mawi menuju ke Kota Bharu, Kelantan pula. Setelah lapan jam perjalanan Mawi sampai ke Kg Semut Api yang terletak di pesisiran Pantai Cahaya Bulan.

Mawi meneruskan perjalanan dan menuju ke masjid Masjid Al-Syakirin diminta melaungkan azan setelah masuk waktu Asar pada ketika itu.

Destinasi perjalanan lain adalah Felda Bukit Rokan Barat, Negeri Sembilan. Mawi memilih untuk ke sana atas cadangan kawannya yang berasal dari situ dan menyertai penduduk bergotong-royong.


Mawi sampai ke Kg Padang Changkat, Kuala Kangsar, Perak dan disambut Ketua Kampung tersebut. Mereka mengunjungi asnaf di situ dan menyampaikan sumbangan. Mawi berbuka puasa di rumah Tok Ketua. Sementara menanti waktu berbuka, mereka ke rumah pengusaha tekat di kampung tersebut.

Seterusnya di Kampung Kundangan, Terachi, Negeri Sembilan, Mawi singgah membeli dan belajar membuat lemang. Mawi dibawa melihat ‘megalitik’ atau batu hidup yang terletak berhampiran.

Lain-lain lagi kampung yang Mawi kunjungi termasuklah Kampung Pulai, Merlimau, Melaka, Kg. Badang, Kota Bharu, Kelantan, Kampung Bandar, Banting, Selangor yang terkenal dengan keindahan dan berkait rapat dengan sejarah Kesultanan Selangor dan Kampung Kok Klang, Mata Ayer, Perlis.

Ada juga episod lawatan Mawi ke Kampung Bendang Pulau, Palekbang, Tumpat, Kelantan untuk melihat cara-cara membuat serunding, Kampung Talang, Kuala Kangsar, Perak melihat tempat bermain meriam besi yang menjadikan Kampung Talang begitu popular.

Akhir sekali Mawi singgah di Kuala Kubu Bharu, Hulu Selangor, Selangor menceritakan secara terperinci tentang asal-usul Kuala Kubu sehingga terbinanya Kuala Kubu Bharu termasuk bagaimana nama Ampang Pecah diperolehi. Mawi ke rumah seorang asnaf dan menyerahkan sumbangan dan seterusnya berbuka puasa bersama.

Bagi mereka yang tidak sempat untuk menonton di TV, mereka berpeluang menontonnya menerusi portal online, Myklik (myklik.rtm.gov.my). Rancangan ini juga dapat ditonton melalui rtm mobile. Muat turun aplikasinya di Google Play dan App Store.

Post a Comment

Previous Post Next Post