Jeritan hati Elly Mazlein


SATU ketika dulu, skala seni penyanyi dan pelakon Elly Mazlein diakui punya pasang surutnya dalam industri hiburan tempatan.

Mungkin disebabkan kemunculan muka baru silih berganti menyebabkan nama Elly atau nama lengkapnya, Sharifah Aida Mazlina Syed Hanafi, 36, sedikit tenggelam daripada menerima perhatian peminat.

Bagaimanapun, kemunculannya dalam program Gegar Vaganza Musim Ketiga (GV3) lalu ternyata memberi tuah besar buat figura anak satu ini.

Meski perjalanannya tersekat pada minggu ke empat persaingan, namun pesona dan fenomena ‘Kak Lina Pom Pom’ tetap segar, terutamanya di ingatan peminat setianya.

Bagai seiring dengan perhatian yang diterimanya itu, lagu-lagu lama dendangan Elly kembali diputar, sekali gus memberi ruang buatnya untuk terus bernafas di atmosfera hiburan tempatan.


Mengakui program tersebut banyak membuka rezeki dan peluang terbaik buatnya, Elly sekali lagi mengharapkan tuah sama menerusi single terkini yang baru dilancarkan pada 26 April lalu.

Enggan mengenang kembali memori lama yang boleh diibaratkan sebagai fasa gelap dalam kehidupannya, namun Elly tidak dapat menyangkal single terbaru berjudul Jeritan Hati itu hampir sama dengan kisah hidupnya.

Menangis rakam lagu

Elly Mazlein yang ditemui pada majlis pelancaran single dan muzik video lirik Jeritan Hati di Platinum Superstar Karaoke, Setapak Central, Kuala Lumpur berkata, lagu itu dekat dengan dirinya.

Ujar bintang yang berasal dari Perak ini lagi, ketika pertama kali mendengar lagu tersebut, dia sudah jatuh cinta dengan melodi yang begitu mendayu.

“Ketika proses memasukkan muzik sebelum rakaman, saya menangis. Tiba-tiba sedih. Lirik menyentuh hati hingga saya risau kalau sedih begini, macam mana mahu rakamkannya nanti.

“Tapi alhamdulillah, semua berjalan lancar,” katanya yang turut akui, proses rakaman dilakukan segera atas komitmen Elly yang sibuk dengan jadual seni lain.

“Benar, proses siapkan lagu ini kami terpaksa lakukan secepat mungkin kerana saya pun sibuk dengan komitmen lain sehingga September depan.

“Jadi bila ada masa terluang, saya beri sepenuh perhatian untuk rakam lagu ini. Malah ia dirakam jam 2 petang bulan lalu. Sebab kalau nak diikutkan, saya lebih selesa rakam lagu pada waktu malam untuk dapat feel. Apa pun, syukur semuanya berjalan dengan baik.

“Terlebih dahulu, saya dan pengurus bersama team KRU Music ada bertemu dan kami dengar lebih 10 lagu untuk saya pilih. Sementara lagu Jeritan Hati berada di track keempat. Bila dengar intronya saja, saya dah cuit pengurus tanda suka,” akui Elly.

“Apa pun, kami habiskan sesi dengar kesemua lagu diterima dan saya sekali lagi memilih single tersebut untuk dinyanyikan.

“Akhirnya semua setuju lalu dan ini momen manis saya kerana inilah hadiah buat peminat setelah lebih empat tahun saya tidak mempunyai single baru.

“Kali terakhir saya muncul dengan single Bersabarlah Hati,” tutur Elly yang turut memberitahu, ketika proses pemilihan lagu itu berlangsung, dia tidak didedahkan siapakah komposernya bagi mengelakkan wujud soal bias.

Peminat baru

Ditanya harapan terhadap single terkininya pula, Elly sejujurnya mempunyai harapan setinggi gunung untuk lagu baru ini, apatah lagi ia merupakan buah tangan istimewa buat peminat setia.

“Penglibatan dalam GV3 banyak buka rezeki baik-baik untuk saya. Mungkin juga tuah anak. Syukur sebab kini saya sudah ada kelompok peminat baru yang mulai tahu saya bermula sebagai penyanyi. Sebelum ini ada mengenali saya sebagai pelakon.

“Jadi bila join GV3, ada yang mulai tahu lagu lama saya dan pastinya ia beri kesempatan terbaik untuk saya perkenalkan diri sebagai penyanyi juga. Lalu Jeritan Hati ini pun boleh dianggap sebagai bingkisan istimewa buat mereka,” ujar Elly yang turut berdoa agar lagu ini turut meraih impak sama seperti lagu-lagu berhantunya sebelum ini.

“Bagi saya, Jeritan Hati pun ada kekuatan tersendiri. Tidak boleh dibandingkan dengan lagu lama sebelum ini.

“Tapi saya percaya jika ramai suka, itu beri signal bahawa lagu ini pun boleh meletup seperti lagu-lagu lainnya,” harap ibu kepada Putri Sara Sephia, 1 tahun sebulan ini lagi.

Sementara itu, Elly turut terharu dan gembira apabila kini kian ramai artis baru terutamanya yang muncul dengan lagu berentak ‘leman’ yang dirasakan baik dalam mewarnai dunia seni tempatan.

“Soal persaingan dengan artis baru itu tidak pernah timbul sebab saya positif dan sentiasa menyokong kerjaya seni mereka sebab itulah yang memberi warna dalam industri kita. Yang pasti saya seronok sebab kebanyakannya mempertaruhkan lagu hits yang berentak ‘leman’.

“Saya terjun dalam dunia seni dengan lagu ‘leman’. Jadi bila ramai artis baru muncul misalnya Aiman Tino, Wany Hasrita yang turut meletup dengan lagu-lagu sedemikian, saya pun tumpang gembira,” terang Elly yang turut merakamkan ucapan terima kasih buat semua yang sentiasa utuh menyokong kerjaya seninya sejak dulu sehinggalah sekarang.

“Bila dikenangkan kembali, empat tahun saya tiada lagu baru. Kini rasa seronok sebab semuanya berlaku ibaratnya seperti mimpi.

“Tak pernah saya idam dapat peluang itu dan ini. Malah ketika mengandungkan Sephia dulu, saya pernah tanya pada diri sendiri, adakah peminat akan terima aku lagi dengan status dan keadaan sekarang.

“Namun syukur Alhamdulillah, inilah yang dimakan rezeki dan terima kasih buat semua yang banyak membantu dan memberikan semangat untuk saya terus kuat,” akhiri Elly yang tidak lama lagi akan sibuk di lokasi penggambaran drama 40 episod untuk slot Samarinda di TV3.

Post a Comment

Previous Post Next Post