DALAM hidup, tidak semua perkara akan berlaku sehaluan dengan perancangan. Berganti antara suka dengan duka, itulah roda kehidupan yang perlu dilalui oleh setiap manusia.
Kehidupan peribadi penyanyi dan pelakon Elly Mazlein sering menjadi tatapan umum. Terutama mengenai konflik yang melibatkan rumah tangga yang dibina bersama bekas suaminya, Azmi Mohd. Hatta.
Berbekalkan kisah pahit itu, Elly, 37, menterjemahkan perasaannya menerusi single terbaharu berjudul Jeritan Hati.
Lagu tersebut mendapat sentuhan daripada pasangan suami isteri, Adi 6ixthsense yang bertindak selaku komposer, manakala Natasyah pula menulis iriknya.
Bercerita lanjut mengenai proses pembikinan single tersebut, wanita kelahiran Perak itu berkata, ia memakan masa yang cukup singkat kerana menepati cita rasa selain berjaya menjentik emosinya dengan melodi yang mendayu.
“Saya menerima tawaran untuk merakam lagu ini pada bulan Mac lalu. Sewaktu dijemput ke pejabat KRU Music untuk proses pemilihan, terdapat 10 buah lagu yang diberikan. Namun, saya tidak tahu siapa pencipta kesemua lagu tersebut supaya tidak mahu timbul soal pilih kasih dalam pemilihan.
“Apabila lagu ini dimainkan, saya terus tertarik mendengar liriknya. Melodi, lirik dan muziknya benar-benar menyentuh hati sehingga membuat saya menangis. Pada waktu itu juga saya buat keputusan memilih lagu Jeritan Hati sebagai single baharu,” ujar Elly penuh teruja.
Kali terakhir pemilik nama lengkap Sharifah Aida Mazlina Syed Hanafi itu muncul dengan single adalah pada tahun 2013 menerusi lagu Sabarlah Hati ciptaan komposer Manusia Putih.
Tempoh masa empat tahun sebelum tampil dengan lagu baharu pada tahun ini adalah sesuatu yang di luar jangkaan fikiran Elly. Hal ini kerana selepas mendirikan rumah tangga pada 9 November 2014, dia mengambil keputusan untuk berehat daripada dunia seni bagi memberi tumpuan terhadap keluarga.
Akuinya, pentas Gegar Vaganza musim ketiga (GV3) yang disertai pada tahun lalu telah membuka lembaran baharu untuk dia menyusun langkah yang sempurna dalam karier nyanyian.
“Ini semua umpama mimpi. Ia datang tanpa dijangka dan alhamdulillah, semua urusan saya dipermudahkan.
lum ini kami pernah menjalin bekerjasama menerusi lagu Sabarlah Hati,” kata pelantun lagu Bungaku Bakawali itu ceria.
Optimis
Menyedari roda industri hiburan kembali kepada genre lagu 1990-an dengan kemunculan ramai artis baharu yang memperjuangkan lagu berentak seperti itu, Elly tidak tergugat.
Sebagai salah seorang artis yang telah lama bertapak dalam industri, dia memandang kehadiran bakat baharu sebagai penyambung legasi apatah lagi rata-rata daripada mereka memilih genre serupa seperti yang dibawanya sewaktu awal kemunculan dahulu.
“Saya sangat gembira kerana mereka berani tampil dengan lagu-lagu irama 1990-an. Sebab saya sendiri masuk dalam industri dengan lagu sebegitu, jadi untuk apa perlu berasa tergugat. Lagipun industri kita sentiasa berubah-ubah dari segi genre muzik,” katanya.
Dijentik dengan soalan sejauh mana pertaruhan single terbaharunya mampu menandingi kehebatan dan populariti lagu hit Usah Ditambah Bara Yang Tersimpan, Elly menguntum senyuman manis sebelum menyusun kata-kata.
“Saya selalu yakin setiap lagu ada keistimewaan masing-masing. Kalau lagu Usah Ditambah Bara Yang Tersimpan begitu dekat dan popular dalam kalangan peminat berusia 25 tahun ke atas pada masa kini, saya percaya lagu Jeritan Hati pula mampu menarik perhatian golongan muda.
LAKONAN Biarpun mendapat banyak tawaran berlakon, namun dia terpaksa menolak sebahagian besar daripadanya kerana terlalu sibuk dengan jadual nyanyian.
“Malah, lagu ini juga mempunyai kekuatan tersendiri yang terletak pada lirik dan melodi. Insya-Allah, saya meletakkan harapan yang besar untuk lagu ini supaya diterima ramai,” ujarnya.
Bangkit
Biarpun mempertaruhkan lagu ‘berendam air mata’ sebagai kemunculan semula dalam bidang nyanyian, namun hakikatnya kini Elly tidak lagi terbuai dengan emosi sedih mengenangkan duka kehidupannya.
Bagi Elly, semua fasa gelap itu sudah lama berlalu dan tidak perlu diungkit lagi memandangkan dirinya kini telah bangkit untuk membina hidup baharu.
“Waktu merakamkan lagu ini, saya sudah tidak terfikir soal masa lalu. Apa yang ada dalam kepala hanyalah masa depan, karier dan keluarga.
“Itu semua lebih penting. Lagipun sekarang, aturan karier saya berjalan dengan lancar. Jadi inilah masanya untuk betul-betul fokus membina masa depan yang baik memandangkan jadual kerja pun sudah penuh sehingga bulan September depan,” luahnya.
Diusik tentang soal hati, Elly hanya menyulam senyum manis. Bagi wanita ini, jika ada yang cuba mendekati, dia tidak mahu perhubungan yang terjalin lebih daripada sekadar kawan buat masa sekarang.
“Jujur dikatakan banyak lelaki yang cuba mengetuk pintu hati saya. Bagaimanapun, saya anggap mereka sebagai kawan. Kalau mereka mahu tunggu juga, silalah tunggu sampai pintu itu terbuka.
“Saya tidak mahu letakkan ciri lelaki idaman. Apa yang penting, lelaki yang berjaya membuka pintu itu nanti mesti menggunakan kebijaksaan untuk mencuri hati saya,” ujarnya sambil berseloroh.
Tambah Elly, fokusnya kini adalah untuk karier. Itu sahaja yang mahu diberi keutamaan, terutama terhadap bidang nyanyian berbanding lakonan.
“Saya masih berlakon tetapi terpaksa menolak beberapa tawaran kerana terlalu sibuk dengan jadual persembahan. Jika diikutkan, buat masa sekarang fokus saya dilebihkan kepada bidang nyanyian kerana mahu peminat terutamanya golongan muda kenal saya sebagai seorang penyanyi,” tutupnya mesra.