SESETENGAH selebriti popular, akan mula demand selepas memenangi anugerah kerana menganggap mereka berada di satu tahap yang lebih tinggi daripada artis lain.
Namun itu bukan prinsip pelakon berdarah campuran Melayu, Cina dan Pakistan ini.
Jelas Nurul Jannah Muner atau lebih dikenali Janna Nick, bayarannya berpatutan dengan kualiti kerjanya.
Menganggap diri masih sama, Janna berpendapat anugerah yang diterima berdasarkan undian peminat, bukanlah satu benchmark dia meletakkan harga tinggi.
Bagi pelakon ini, anugerah yang dimenangi atas undian peminat adalah untuk mengiktiraf populariti selebriti berkenaan.
"Anugerah yang saya dapat tu hak peminat. Saya ni hanya wakil ambil anugerah tu saja. Saya tak nak sanjungan, pujian hingga ada yang anggap saya diva.
"Takkanlah dah menang satu anugerah, terus nak naikkan harga sebab dah rasa popular. Habis kalau tahun depan saya tak popular,kenalah turun harga?" ujarnya berseloroh ketika ditemui pada majlis sidang media Jakel, Barulah Raya, di Jakel Mall, kelmarin.
Tambah gadis berusia 22 tahun ini, secara peribadi, dia mengimpikan anugerah yang dimenangi adalah hasil titik peluh dirinya sendiri dan diiktiraf juri profesional.
Kata Janna, setiap kali bekerja, dia tidak pernah sasarkan untuk mendapat anugerah sebaliknya sematkan dalam diri keberkatan rezeki itu terletak dalam keberkatan bekerja.
"Saya kena bagi yang terbaik dan bukan sebab anugerah juga rezeki saya tertambah.
"Jadi, bila saya dapat anugerah, biarlah hasil titik peluh saya sendiri dan kerana saya layak terima anugerah itu.
"Tapi itu juga bukan bermakna saya tak hargai apa yang peminat lakukan. Sebab kalau mereka juga rasa saya layak, syukur Alhamdulillah," jelasnya.
Berkongsi perkembangan terkininya, Janna berkata, dia kini masih sibuk dengan penggambaran drama Dia yang dijangka selesai sepenuhnya selepas Hari raya Aidilfitri nanti.
Selain itu, dia juga baru dilantik menjadi duta Plus dan duta Toyota Gazoo Racing selain ikon Jakel bersama artis popular Rozita Che Wan.
Justeru, Janna akan tampil dalam beberapa iklan Jakel yang turut mempromosikan Jakel dan kain berkualiti tinggi dari gedung terkenal itu.
"Bukan itu saja, saya juga sibuk menjalinkan kerjasama dengan butik Ardell mengeluarkan koleksi ArdellXJannaNick dan saya yang memilih design untuk baju yang dikeluarkan.
"Insya-ALLAH saya juga akan melancarkan new baby di bawah produk Sephia Argan Oil dan sebuah kempen Janna Rezeki.
"Kami akan membuat sesuatu dengan konsep menerima dan memberi Ramadhan ini," katanya.
Tak terburu-buru
Ditanya mengenai karier nyanyiannya pula, Janna berkata, dia merancang mengeluarkan single kedua selepas raya nanti.
Namun perancangan itu tidak mahu dilakukan terburu-buru.
"Selepas keluarkan single pertama, memang ramai yang keep push untuk saya keluarkan single kedua.
"Cuma saya tak nak sebab orang suruh keluarkan single atau buat sebab nak populariti.
"Saya mahu cari material yang benar-benar berkualiti dan bila keluar, semua pihak termasuk saya sendiri puas hati dengan hasilnya," jelasnya.
Begitu jugalah halnya dengan tawaran berlakon filem.
Jelas Janna, dia tidak mahu terburu-buru menerima tawaran filem kerana jadual yang padat.
Sebagai pelakon yang profesional, Janna mahu mengamalkan prinsip first come first served .
Menurut Janna, dia mendapat tawaran berlakon filem tetapi malangnya 'undangan' itu tidak tepat pada waktu dan selalu bertindih dengan jadual kerjanya sebelum ini.
"Saya tak mahu kalau saya terima, akhirnya susahkan orang lain.
"Tapi andai ada waktu yang sesuai dan ada masa untuk buat homework dan latihan, saya boleh saja terima tawaran tu.
"Tapi buat masa ini, saya rasa belum layak lagi untuk berlakon filem," jelasnya.