Hala dakwah Oki Setiana Dewi


ILMU - Selepas memiliki Ijazah Kesusasteraan Belanda dan Sarjana Pendidikan, Oki kini menyambung pengajian peringkat PhD di dua buah universiti di Jakarta.

SUARA lembut Oki Setiana Dewi tidak putus-putus melantunkan permohonan maaf ketika melangkah masuk ke dalam butik pakaian muslimah miliknya, Butik OSD yang terletak di Bandar Baru Bangi, Selangor pada petang cuti umum Hari Pekerja tempoh hari.

Temu janji untuk mewawancara pelakon filem Ketika Cinta Bertasbih itu yang sepatutnya bermula sekitar pukul 4 petang terpaksa dilewatkan selama setengah jam atas sebab-sebab yang tidak dapat dielakkan.

“Assalamualaikum, maaf ya kelewatan. Kita terus bergambar dulu?” cadang Oki yang telah siap mencalitkan wajahnya dengan olesan mekap polos sambil tersenyum.

Sejak kebelakangan ini, jadual kerja wanita kelahiran Batam, Indonesia itu boleh dikatakan agak padat. Selepas melunaskan tanggungjawabnya sebagai juri tetap program Gema Gegar Vaganza (GGV) pada malam Sabtu lalu, Oki terbang ke Brunei Darussalam bagi menghadiri Festival Pereka Fesyen Islamik yang diadakan pada 30 April sebelum terbang semula ke Kuala Lumpur keesokan harinya bagi menghadiri perjumpaan bersama pertubuhan bukan kerajaan Ukhwah 4 Ummah (U4U).

Belum dikira dengan masa yang perlu diluangkan bagi menguruskan anak-anak, Maryam Nusaibah Abdullah, 2, dan Khadeejah Faatimah Abdullah, 1, Oki yang kini menyambung pelajarannya peringkat doktor falsafah PhD di dua buah universiti di Indonesia, menyifatkan kesibukan luar biasanya sebagai suatu rutin normal.

“Saya sudah agak terbiasa dengan jadual kerja yang padat sejak zaman remaja. Lagipun, berulang-alik ke Kuala Lumpur dari Jakarta hanya memakan masa dua jam, jadi tidaklah terlalu capek (penat),” tutur Oki, 28, membuka bicaranya.

Selain bergelar pelakon, pengacara, penyanyi, pendakwah dan pereka fesyen, Oki terlebih dahulu mengisi portfolio seninya sebagai seorang penulis buku. Antara buku terlaris yang telah diterbitkan termasuklah Melukis Pelangi (2011), Cahaya Di Atas Cahaya (2012), Sejuta Pelangi (2012), Hijab I’m In Love (2012) dan Dekapan Kematian (2014).

Melihat pada susur masa kerjaya Oki, terlalu banyak cabang seni yang telah diceburi oleh penyanyi lagu Sujud Ke Sujud itu. Sehingga ada yang mempersoal hala tuju dan sasaran utama penerima anugerah Pelakon Baharu Wanita Terbaik menerusi Anugerah Filem Indonesia 2010 itu sebagai anak seni.

“Ada yang pernah datang kepada saya dan bertanyakan mengenai sasaran saya dalam industri hiburan. Maklumlah, saya bermain filem, menulis buku, mereka pakaian dan dalam masa sama terlibat dengan program dakwah.

“Sejujurnya, jawapan saya agak mudah. Saya terbuka untuk berbuat apa sahaja asalkan perkara tersebut mendatangkan kebaikan pada diri dan orang lain,” katanya.

Melanjutkan wawancara, Oki kemudiannya mengaitkan jawapan tersebut terhadap persetujuannya untuk mengisi kerusi juri tetap konsert mingguan GGV.

Kongsi pelakon filem Demi Cinta itu, program yang turut meletakkan unsur kerohanian dan pada masa sama mengetengahkan lagu-lagu ketuhanan tersebut dilihat mampu memberikan impak positif kepada penonton.

“Pada pendapat saya, GGV merupakan sebuah program unik yang belum pernah diterbitkan di Indonesia. Walaupun bercorak hiburan, pengisian dalam GGV mampu memberi ilmu dan kebaikan kepada penonton.

“Sebagai contoh, para peserta akan membahaskan makna bagi setiap lirik yang dinyanyikan bersama pihak juri. Perkara ini bukan sahaja dapat menjelaskan dengan lebih mendalam tentang pengertian sesebuah lagu, tetapi memberikan khalayak pemahaman berbeza apabila mendengar karya tersebut pada masa akan datang,” katanya sambil tersenyum.

Penunggang agama

Memuji usaha yang diketengahkan oleh Astro Oasis dalam menerbitkan GGV, Oki berkata, program seperti itu perlu diperbanyakkan pada masa akan datang.

“Jika di Indonesia program bercorak islamik hanya banyak ditayangkan pada bulan Ramadan, namun berbeza pula bagi pihak Astro Oasis di Malaysia.

“Mereka dilihat berani mempertaruhkan sebuah program ketuhanan pada waktu sebegini dan nah, impak luar biasa disaksikan sehingga GGV menjadi topik trending pada setiap minggu penganjuran konsertnya. Syabas Astro Oasis,” katanya lagi.

Gema Gegar Vaganza yang bersiaran sejak 8 April lalu bermula dalam situasi yang sedikit hangat. Segelintir penonton melahirkan rasa kurang senang apabila konsep keagamaan dicampuradukkan dengan program hiburan.

Ada juga menyelar tindakan Astro sebagai penunggang agama yang sekadar mahu melariskan program terbitan saluran berkenaan tanpa menghiraukan sensitiviti masyarakat.

Menyedari tentang perbezaan pendapat yang tercetus antara banyak pihak, Oki tidak teragak-agak untuk menzahirkan responsnya.

“Tidak semua orang mahu membaca kitab dan mengunjungi masjid bagi mendengar ceramah, khususnya golongan muda. Mereka memerlukan cara berbeza yang lebih santai untuk mempelajari tentang Islam dengan lebih mendalam.

“Dalam bahasa mudah, GGV ialah program tontonan sebagai tuntunan. Ia bukan sahaja sekadar tontonan hiburan, tetapi tuntunan baik yang dapat diserap menerusi komen juri dan mesej positif yang disampaikan menerusi persembahan dan lirik lagu.

“Selain itu, GGV juga peka terhadap persekitaran. Setiap teguran khalayak diambil dan dijadikan sandaran untuk memperbaiki program berkenaan pada minggu-minggu seterusnya,” katanya yang turut berbesar hati berkongsi kebaikan dari kerusi penjuriannya.

Penghijrahan Oki bermula pada usia yang muda, iaitu ketika dia berumur 16 tahun. Sejak daripada situ, titian istiqamahnya tidak pernah tergugat walaupun terpaksa menolak tawaran lakonan yang memerlukan dia beraksi tanpa selubung hijab.

Istiqamah

Menurut Oki, berhijrah bukan sekadar menutup aurat semata-mata, sebaliknya penghijrahan yang sempurna melibatkan pembelajaran mengenai Islam dengan lebih mendalam.

“Menutup aurat dan mengakui sudah berhijrah tidak mencukupi. Kita perlu terus belajar untuk mendalami ilmu yang mungkin tidak pernah kita tahu sebelum ini agar niat untuk kekal istiqamah dipermudahkan.

“Setiap yang berlaku bergantung pada niat. Jika kita memutuskan untuk berhijrah ke arah kebaikan, insya-Allah, hasilnya akan menjadi lebih baik,” ujarnya.

Dalam pada itu, Oki berkata, Allah memberikan golongan selebriti kesempatan untuk menyebarkan perkara baik sesudah hijrah kerana suara milik golongan tersebut merupakan antara paling berpengaruh dalam kalangan masyarakat.

“Memilih untuk berada dalam bidang hiburan selepas berhijrah adalah hak masing-masing. Bagaimanapun, Allah memilih seseorang itu untuk terus bergelar selebriti bersebab, iaitu menyebarkan perkara positif kepada pengikutnya.

“Kita mahu masuk syurga tetapi kita tidak mahu masuk sendirian. Jadi, gunakan kelebihan yang ada untuk menyebarkan kebaikan,” ujar Oki menutup perbualan tempoh hari.

Post a Comment

Previous Post Next Post