Hairul Azreen bersama isterinya, Hanis Zalikha dan anak mereka Yusof Iskandar.
SEPERTI kata pepatah tuah ayam nampak di kaki, tuah manusia siapa yang tahu. Ia mungkin dapat menggambarkan kehidupan pelakon Hairul Azreen.
Walaupun kini dilihat agak kurang menyerlah sebagai pelakon namun jejaka berusia 28 tahun ini sebenarnya seorang usahawan menerusi beberapa perniagaan yang diusahakan bersama isterinya, Hanis Zalikha.
Bagaimanapun kemewahan hasil daripada titik peluhnya selama ini sering dipandang serong malah ada mempertikaikan kesenangan yang dikecapinya hari ini hasil menumpang nama isteri dan anak lelakinya, Yusof Iskandar.
Enggan melatah dengan semua tuduhan dilemparkan kepadanya, Hairul berkata, apa yang dimilikinya adalah hasil usaha keras dan rezeki daripada Allah.
"Saya dahulu budak rempit, orang susah tetapi saya ada cita-cita besar dalam hidup saya dan ia tidak akan datang bergolek jika tiada usaha.
"Alhamdulillah sebelum berkahwin lagi kehidupan saya sudah berubah dan sejak memenangi pertandingan Fear Factor beberapa tahun dahulu ia turut membuka mata saya.
"Wang hasil kemenangan itulah saya gunakan untuk memulakan perniagaan bersama Hanis ketika itu dan Alhamdulillah berkat usaha dan rezeki daripada Allah ia menjadi," katanya.
Hairul mengakui isterinya adalah tulang belakang kepada kejayaannya pada hari ini kerana pengetahuan Haniz dalam bidang perniagaan banyak membantunya dalam membuat keputusan tepat.
"Perniagaan pertama saya pun sya bangunkan bersama Hanis dan ketika itu memang saya tiada ilmu dan pengalaman tetapi isteri saya banyak membantu ketika itu memandangkan dia mempunyai ijazah dalam bidang perniagaan.
"Kami berdua bermula dari bawah untuk sampai ke tahap sekarang dan Alhamdulillah rezeki saya selepas berkahwin dan mempunyai anak semakin murah," jelasnya.
Dalam perkembangan lain, Hairul berkata, tahun ini dia kembali aktif berlakon dan memberitahu baharu sahaja selesai menjalani penggambaran sebuah filem berjudul Pencuri Hati Mr. Cinderella arahan Ahmad Idham.
Malah kata Hairul dia juga sedang dalam persediaan untuk memasuki set penggambaran sebuah filem aksi yang akan memulakan penggambaran pada Julai depan.