Ben Nathan masih berbisa, pukau penonton


Ben Nathan tampil bertenaga dan bersamangat sewaktu menjayakan konsert.

SETELAH kehidupannya sebagai gelandangan mendapat perhatian masyarakat, pelantun lagu Stanza Sepi Sekeping Hati, Ben Nathan berjaya membuat kemunculan semula menerusi sebuah konsert khas anjuran Jojo Events dan Yayasan Artis 1Malaysia (YA1M).

Konsert Kasih Dan Harapan Ben Nathan merupakan penampilan sulung Ben membuat persembahan di hadapan umum sejak mula menjalani rawatan psikiatri di Hospital Kuala Lumpur (HKL) pada awal Februari lalu.

Ben yang tampil bertenaga sewaktu mendendangkan empat buah lagu iaitu Tak Mungkin, Ilusi Satu Penantian, Stanza Sepi Sekeping Hati dan Katakan, kelihatan tidak kekok menghiburkan lebih 500 orang penonton.

Menurut Ben, sesi latihan yang dilakukan sekitar empat hari sebelum acara yang berlangsung pada 21 Mei lalu di Saloma Bistro bukan halangan buatnya untuk memberikan persembahan terbaik kepada penonton.

“Disebabkan konsert ini berjaya direalisasikan pada saat-saat akhir, saya perlu menghafal kesemua lagu serta menjalani latihan suara dalam tempoh hanya empat hari sahaja,” ujar Ben sejurus selesai membuat persembahan.

Melihat kepada sambutan yang diterima, Ben juga tidak menyangka meskipun lebih 20 tahun meninggalkan dunia seni tanah air, peminat tetap memberi sokongan terhadap kerjayanya sebagai penyanyi.

“Terima kasih kepada peminat yang hadir pada konsert ini selain terus memberi sokongan kerana tanpa kalian siapalah saya. Konsert ini juga memberi peluang untuk saya berjumpa semula dengan kenalan artis yang sudah lama tidak bersua,” katanya teruja.

Begitu bersemangat ketika melanjutkan bicara, Ben memberitahu, dia akan berusaha sedaya upaya untuk meneruskan perjuangan dalam industri hiburan tempatan serta mempertaruhkan karya-karya baharu pada masa akan datang.

Tambahan, menurut adik lelakinya, Bob Nathan, Ben akan berangkat ke Jakarta, Indonesia bagi menjalani sesi rakaman dua buah lagu baharu, sekali gus merealisasikan impian penyanyi berusia 54 tahun itu untuk menjejakkan kaki ke republik tersebut.

“Sebelum berangkat ke Indonesia, Ben akan menjalani sesi latihan vokal sebagai persediaan sebelum melakukan rakaman yang dijadualkan selepas sambutan Aidilfitri depan,” jelas Bob.

Bob juga akan mencipta sebuah lagu yang mengikut cita rasa serta trend semasa buat abangnya. Baginya, genre lagu berentak balada dan slow rock dilihat sepadan dengan kekuatan vokal Ben.

Dalam pada itu, tahap kesihatan Ben yang semakin positif menambahkan keyakinan pada Bob untuk mengembalikan semula zaman kegemilangan abangnya yang popular sekitar tahun 1990-an.

“Perubahan kesihatan yang memberangsangkan menjadikan saya yakin bahawa dia dapat memberi sepenuh tumpuan kepada kerjaya nyanyian. Buat masa sekarang, Ben masih menjalani proses rawatan seperti biasa,” kata Bob yang optimis terhadap perubahan positif abangnya.

Bantuan

Sementara itu, Presiden YA1M, Datuk DJ Dave tidak menjangkakan Ben mampu memberikan komitmen 100 peratus sewaktu membuat persembahan. Antara perkara yang mengganggu Dave ialah beliau bimbang sekiranya Ben melakukan kesilapan atau terlupa lirik lagu.

Biarpun masih belum sempurna 100 peratus, namun Dave berasa bangga melihat perubahan yang berlaku ke atas diri Ben selepas diselamatkan daripada terus hidup sebagai gelandangan di sekitar kawasan ibu kota.

“Syukur bantuan yang diberikan berjaya memberikan penghidupan baharu buat Ben selain berjaya merealisasikan keinginannya untuk menjalani sesi rakaman lagu di Indonesia,” tutur penyanyi lagu Ingin Bersua itu.

Mengulas lanjut, hasil kutipan tiket dan penjualan meja pada Konsert Kasih Dan Harapan Ben Nathan yang dianggarkan berjumlah RM50,000 akan digunakan bagi membantu penyanyi itu meneruskan kelangsungan hidup.

“Wang daripada hasil kutipan konsert terbabit akan diuruskan oleh pihak YA1M untuk membantu Ben menampung kos rawatan dan penghasilan lagu baharu di Indonesia nanti.

“Terima kasih tidak terhingga kepada peminat yang sudi hadir dan membantu Ben,” luah Dave yang turut berusaha menjejaki penyanyi To’ki kerana dikatakan menjalani kehidupan dalam kedaifan.

Post a Comment

Previous Post Next Post