Bahagia jadi isteri, Nora Danish bakal berhenti berlakon


LAKONAN - Dalam nada bercanda, Nora Danish memberitahu dia akan benar-benar berhenti berlakon sekiranya mula menerima watak wanita berusia.

Adat lazim hidup di bawah cahaya glamor, apa sahaja tindak tanduk yang melibatkan Nora Danish atau nama sebenarnya, Nora Mohd. Danish Hanif, 35, khususnya pasti menjadi perhatian dan bualan khalayak.

Hal itu termasuklah kehidupan peribadinya yang tidak pernah lekang daripada menjadi sorotan umum. Kisah percintaannya dengan Nedim Nazri yang disimpul rapi pada tanggal 30 Mac lalu sebagai pasangan suami isteri adalah antara kisah yang selalu ingin diketahui khalayak.

Bersama Nedim jugalah, pelakon yang cukup dikenali menerusi drama bersiri Puteri itu kini sedang mengecap bahagia. Tidak mahu lagi dihantui perkara lampau, Nora ingin terus melangkah ke hadapan dengan dipimpin cermat restu suami serta keluarga yang sentiasa menyokong.

Ditemui usai pertunjukan fesyen jenama fesyen miliknya, Owl By ND di Publika, Kuala Lumpur baru-baru ini, Nora menyatakan bahawa keputusan untuk berkongsi hidup bersama Nedim adalah suatu perkara yang amat membahagiakan dirinya sebagai seorang wanita.

“Alhamdulillah, saya bersyukur kerana dikurniakan seorang suami yang sangat memahami, menyokong dan penyayang. Lagi satu faktor tambahan, dia seorang yang suka memasak.

“Saya selalu cakap dengan rakan wartawan bahawa apa yang orang lihat dia (Nedim) di luar bukanlah seperti saya mengenali dirinya. Bersama saya, dia sangat manja dan penyayang. Saya tidak boleh gambarkan kebahagiaan hidup sekarang dan sangat bersyukur,” ujar Nora sambil tersenyum manis.

Menyedari dirinya tidak akan pernah lari daripada kritikan dan kecaman peminat, Nora percaya bahawa semua itu adalah harga atau pengorbanan yang perlu dibayar oleh setiap selebriti.

Selepas mendirikan rumah tangga, Nora sempat dikritik sebagai tidak pandai masak apabila suaminya sendiri sering berkunjung ke dapur untuk menyediakan makanan. Ada juga tidak berpuas hati apabila Nedim mengenakan pakaian yang pada mata mereka kurang sesuai untuk dipamerkan dalam laman sosial.

Hanya tersenyum saat hal itu diajukan, Nora memberitahu, sejak dahulu dia bersifat terbuka untuk berkongsi banyak hal dengan peminat menerusi Instagram peribadinya.

Kesediaan tersebut secara tidak langsung membuatkan pelakon filem Suamiku Jatuh Dari Langit itu terbuka dengan pelbagai kritikan. Mengaku sudah lali dengan segala kritikan, kata Nora, biarlah dia mengecap kebahagiaan dengan cara tersendiri.

“Biarlah orang mahu berkata apa yang mereka suka. Mereka memang akan selalu bercakap dan sepanjang 12 tahun berada dalam industri, saya sudah ‘masak’ dengan kritikan serta cacian. Saya percaya, selagi kita bersabar, akan muncul hal yang baik-baik buat kita,” getus Nora optimis.

Bersara


SIBUK - Selepas bernikah pada Mac lalu, Nora dan Nedim masih belum berpeluang berbulan madu kerana kesibukan masing-masing.

Dalam rancak berbicara, Nora turut ditebak pertanyaan untuk bersara daripada bidang seni seperti diminta Nedim. Lelaki itu menulis permintaan untuk Nora bersara dalam Instagram miliknya baru-baru ini.

Nora tidak menolak untuk akur dengan kehendak Nedim.

“Sebagai seorang isteri, saya perlu mengikut permintaan suami. Sejujurnya, saya pun tidak terfikir untuk berlakon sehingga usia emas. Jadi insya-Allah, perlahan-lahan saya akan cuba untuk mengundur diri daripada bidang seni,” ujar Nora.

Wanita itu bagaimanapun mengaku hatinya masih berat untuk mengucapkan selamat tinggal kepada dunia hiburan pada waktu ini.

Dia mengakui masih belum masanya untuk berundur.

Ujar Nora: “Sebenarnya saya belum bersedia untuk bersara. Belum tiba waktunya tapi sekarang pun saya sudah lebih banyak menumpukan perhatian dalam bidang perniagaan.

“Jika masih ada tawaran berlakon, saya akan pertimbangkan dan kini lebih selektif kerana sudah bergelar isteri orang.”

Fesyen

Sibuk mengembangkan jenama fesyen Owl By ND, Nora turut mendedahkan bahawa dia belum sempat berbulan madu bersama suami tersayang kerana jadual kerja yang padat.

“Kami belum sempat berbulan madu kerana masing-masing sangat sibuk dengan kerja. Bayangkanlah tiga hari selepas berkahwin saya sudah ‘terbang’ ke sana sini kerana komitmen kerja yang amat padat.

“Jadi, kalau orang tanya sama ada sudah ada ‘berita gembira’ (kehamilan), memang belum ada lagi. Masih terlalu awal dan banyak lagi waktu yang akan kami lalui bersama,” ujar Nora yang bakal muncul dengan dua buah filem iaitu Makrifat Cinta dan Bukan Cinta Malaikat.

Post a Comment

Previous Post Next Post