Zizi Kirana cuba versatil


MAHU lebih versatil, Zizi Kirana nekad menyertai program realiti nyanyian, Dangdut Star pada tahun lalu.

Pada masa sama, bekas peserta Akademi Fantasia 7 (AF7) mengakui ingin mencuba sesuatu yang baru.

“Asalnya, saya memang tak suka dengan irama dangdut.

“Tapi, apabila diberi peluang, tak salah saya mencuba.Lagipun, semua ahli keluarga dan kawan beri sokongan,” katanya pada Media Hiburan.

Lebih membanggakan, dek pembabitannya itu, Zizi berpeluang mengembangkan bakat menerusi pertandingan nyanyian dangdut, D’ Academy Asia 2 di Indonesia.

Lebih bertuah, selebriti berusia 31 tahun ini mendapat dorongan daripada komposer, Datuk Suhaimi Mohd Zain dan penyanyi popular, Mas Idayu yang juga merupakan juri program Dangdut Star.

“Elok saya tamat program Dangdut Star, uji bakat program D’Academy Asia pun bermula.

“Mereka suruh saya cuba nasib jadi saya beranikan diri hadir pada sesi uji bakat.

“Serius, saya tak sangka terpilih menyertainya,” katanya.

Walaupun tidak berjaya sehingga ke peringkat akhir, Zizi bagaimanapun mengakui perjalanannya dalam program realiti meninggalkan sesuatu yang bermakna.

“Jujur, saya banyak belajar selok-belok irama dangdut.

“Sebenarnya, irama ini sangat indah seperti mana hebatnya lagu-lagu irama tradisional.

“Lagipun, irama dangdut di Indonesia adalah budaya mereka jadi saya ambil kesempatan untuk belajar bersungguh-sungguh,” katanya.

Fokus nyanyian

Rentetan itu, pemilik nama sebenar Nur Fazelah Mohd Tahil ini melancarkan single terbaru, Rahsia Hati pada Februari lalu.

Lebih menarik, lagu ciptaan DJ Fuzz dan Lawa Ni Geng itu mengetengahkan irama dangdut dan zapin tradisional.

“Lagu ini mendapat sambutan memberangsangkan sejak ia dilancarkan.

“Alhamdulillah, saya sangat berpuas hati,” katanya.

Selain menyanyi, Zizi juga kini turut sibuk menggalas tugas sebagai produser di Mixology Music.

Tugasnya menjaga vokal kesemua artis di bawah Mixology.

Dalam perkembangan seni lain, si cantik manis ini mengakui belum sedia berlakon walaupun pernah muncul dalam filem dan drama satu ketika dahulu.

Antara lakonannya adalah filem Cuti Cuti Cinta dan Hantu Boceng. Drama pula LA SO FA The Musical, Bujang Sepah Lalalitamplom dan beberapa drama lagi.

"Berlakon memerlukan lebih masa di set penggambaran berbanding nyanyian. Jadi saya rasa fokus nyanyian saja buat masa ini," katanya.

Post a Comment

Previous Post Next Post