Bergelar penyampai radio adalah perkara yang tidak pernah diimpikan pelakon Zarina Zainoordin, 33.
Apabila peluang itu datang, dia berusaha melaksanakan tanggungjawab itu sehabis baik.
Apabila dia mula menyenangi pekerjaan barunya itu, dugaan pula datang sehingga mengganggu emosi dan kesihatannya menyebabkan dia terpaksa meninggalkan bidang itu serta kembali aktif sebagai pelakon.
Namun, apa yang terjadi tidak pernah dikesalinya, malah dia rasa bertuah kerana dapat belajar perkara baru.
Sekiranya ada lamaran daripada mana-mana stesen radio selepas ini, dia tidak akan teragak-agak untuk menerimanya.
“Ketika saya diambil sebagai penyampai radio dulu, ilmu dalam konti radio memang kosong, tetapi saya belajar hingga mahir mengendalikan segala peralatan di konti. Bagaimanapun, jodoh saya dengan stesen radio terbabit tidak panjang.
“Saya suka apabila dapat berinteraksi dengan pendengar dan mendengar cerita mereka. Tak apalah, setiap apa yang berlaku sama ada pahit atau manis ia adalah pengalaman,” katanya.
Kini Zarina kembali menetap di Kuala Lumpur untuk mewarnai semula dunia lakonan tanah air.
“Saya tidak pernah bercadang berhenti berlakon kerana sudah 13 tahun menceburi dunia lakonan, jadi tidak semudah itu untuk meninggalkannya,” katanya.
Zarina yang dulunya seperti ‘kayu’ di depan kamera, tetapi hasil kerja kerasnya, dia sekarang mampu membawa apa saja watak terutama watak antagonis sehingga penonton membencinya.
“Saya tidak pernah berhenti belajar menjadi pelakon yang bagus kerana setiap watak mesti ditangani dengan cara yang berbeza. Jika dapat watak hitam dalam dua tiga drama, saya tak boleh anggap mudah dengan memberikan ‘treatment’ yang sama,” katanya.
Tak pernah kerja sambil lewa
Dalam pada itu, Zarina juga bakal muncul dalam drama 30 episod berjudul Di Sebalik Wajah di HyppTV mulai 1 Mei ini.
“Watak saya dalam drama itu biasa saja, tetapi harga yang dibayar syarikat penerbitan Film Scape sangat berbaloi kerana mereka tahu saya pelakon yang komited. Selama 65 hari penggambaran drama itu diadakan saya tidak mengambil tawaran lain.
“Tumpuan saya hanyalah pada watak dalam drama itu saja. Sejak dulu pun saya tidak pernah bekerja sambil lewa. Saya terpaksa bersaing dengan ramai bakat baru, jadi dengan disiplin kerja yang bagus, ia mampu membuatkan saya terus kekal dalam industri ini,” katanya.
Sementara itu, Zarina juga mendapat tawaran untuk merakamkan single. Pada masa sama, dia juga mengasah bakatnya dalam bidang pengacaraan.
Ketika ini Zarina menguruskan kerjayanya sendiri dan tidak bercadang menggunakan khidmat pengurus.
“Bagaimanapun, jika orang itu boleh menaikkan nama saya semula dalam bidang ini, akan saya pertimbangkan,” katanya yang turut dilantik sebagai duta produk kecantikan dan kesihatan selama setahun.