Selepas hampir enam bulan bergelar ibu, pelakon Nad Zainal nyata semakin merasai nikmatnya.
Membesarkan Fahad Ibrahim bersama suaminya, Muhammad Faliq Amiruddin tidaklah terlalu sukar memandangkan kedua-dua mereka sentiasa memberikan kerjasama dan komitmen.
“Alhamdulillah, Fahad sudah hampir berusia enam bulan dan sudah boleh meniarap. Dia juga sudah mula pandai menggapai benda yang ada di sekitarnya,” kata Nad.
Pelakon filem Kami Histeria ini juga mengakui, kini keutamaannya adalah anak walaupun ketika berada di luar dan tidak bersama.
“Kalau dulu, kebanyakan topik berborak bersama teman adalah mengenai isu semasa dan perkara lain. Sekarang kebanyakan topik mengenai anak.
“Kalau saya keluar untuk bekerja pun, dalam kepala akan sentiasa berfikir mengenai anak kerana itu keutamaan saya kini,” katanya.
Ditanya mengenai suaminya, Nad juga bersyukur kerana dia sentiasa membantu.
“Suami saya sentiasa mahu turut serta dalam membesarkan anak. Dia juga tidak terlalu cerewet,” katanya.
Ditanya sama ada Nad dan suami merancang menambah bilangan ahli keluarga, dia ada jawapannya tersendiri.
“Dalam perancangan keluarga, kita kena rancang betul-betul supaya ia berjalan dengan lancar dan sempurna.
“Kalau mengikut perancangan kami, biarlah jarak masanya kira-kira dua tahun sebelum menambah anak,” katanya.
Nad baru-baru ini melancarkan butik vendor Adore Audela yang dibuka di Denai Alam di Shah Alam dan mengumpul pelbagai jenama busana terkemuka.
“Setakat ini, kita ada lebih 20 vendor yang menjual pelbagai pakaian di situ. Idea ini timbul apabila saya melihat sambutan hangat yang diterima daripada pelanggan,” katanya.
Menurut Nad, dia memilih lokasi Denai Alam kerana tempat itu sangat strategik dan mampu membangun.
“Melihatkan lokasi ini sangat strategik untuk perniagaan, saya memilih untuk membuka butik vendor di situ. Kalau di kawasan Bangi dan Shah Alam, sudah banyak butik dibuka, jadi kawasan ini saya rasakan sangat sesuai,” katanya.
Selain butik vendor, Nad juga merancang membuka kafe di kawasan berhampiran dengan butik vendor miliknya.
Terbaru, pelakon ini baru sahaja selesai menjalani penggambaran drama bersiri, Jurnal Suraya untuk slot Zehra.
“Insya-Allah, drama ini akan ditayangkan pada Ogos dan turut membariskan beberapa pelakon lain antaranya Johan As’ari dan Aisya Hasnaa,” katanya.
Selain itu, dia juga menantikan tayangan beberapa telefilem lakonannya antaranya Batasan Kasih dan Mengharap Sebuah Keredhaan.