Tajul Ariff Tidak Keluar Hujung Minggu Elak Diasak Peminat


Tajul Ariff elak bersiar hujung minggu.

Penyanyi Tajul Ariff memberitahu dia mengambil langkah untuk tidak keluar bersiar-siar pada hujung minggu di tempat awam bagi mengelak diri diasak peminat.

Tajul, 19, berkata, pengalaman yang dilalui sebelum ini membuatkan dia cuba mengambil langkah berjaga-jaga bukan untuk kebaikan dirinya sahaja malah juga untuk peminat.

"Bukan saya perasan popular tetapi pernah beberapa kali terjadi saya diasak peminat dan keadaan jadi tidak terkawal kerana ketika itu tiada PR di sisi yang lazimnya akan meredakan keadaan.

"Memang agak penat namun jauh dari sudut hati saya menghargai sokongan mereka, cuma mungkin saya perlukan sedikit masa untuk lebih bijak menangani keadaan seumpama itu, " katanya kepada mStar Online.

Tajul ditemui ketika menjayakan program Jelajah Suria 10 Tahun di Kuala Terengganu bersama radio Suria.fm, di sini pada Sabtu.

Dalam pada itu kata adik kepada penyanyi arwah Achik Spin ini lagi, dia membuat keputusan sebegitu agar peminat tidak tersalah anggap dirinya seorang yang sombong seandainya tidak dapat memberi layanan sama-rata ketika diasak.

"Jika keadaan terdesak dan memerlukan saya harus juga keluar ke tempat awam pada hujung minggu, saya lebih selesa mengenakan topi agar tidak ramai yang perasan.

"Kalau ada juga yang perasan, saya tetap melayan macam biasa cuma risiko diasak tu kuranglah..." ujarnya.

Dalam perkembangan seni pula, Tajul yang sebelum ini popular dengan single Sedalam-Dalam Rindu bakal mengeluarkan single keduanya bersama penyanyi Wany Hasrita berjudul Di Sana Cinta Di Sini Rindu Mei depan.

Lagu ciptaan Patrick Khamis itu akan mengundang kerinduan peminat pada lagu-lagu dari arwah Achik Spin bersama Siti Nordiana seperti lagu Memori Berkasih dan Gurauan Berkasih kerana melodinya menjurus ke arah genre lagu-lagu cinta era 90-an.

Post a Comment

Previous Post Next Post