Siti Nordiana penuhi permintaan peminat


LANGKAH KANAN - Nana merasakan kehadiran semula dirinya dalam industri sebagai langkah kanan kerana muzik era 1990-an sudah kembali dipopularkan penyanyi baharu seperti Aiman Tino, Wani Hasrita dan kumpulan Projector Band.

SEWAKTU awal kemunculan dalam arena seni muzik tempatan, wanita kelahiran Felda Sendayan, Negeri Sembilan itu begitu popular menerusi lagu-lagu melankolik dan berentak balada.

Sinonim dengan lagu ‘tangkap leleh’ yang begitu digemari masyarakat, impak yang pernah tercipta sewaktu zaman kemuncak dahulu turut dirasai semasa penyanyi itu menyertai rancangan realiti Gegar Vaganza musim kedua (GV2) pada 2015.

Pernah diberi jolokan sebagai penyanyi ‘Leman’ atau kampung selepas tamat pertandingan tersebut, wanita yang mesra dengan panggilan Nana itu cuba mengubah angin dan tampil dengan lagu berentak kontemporari berjudul Pesanan Teragung.

Entah di mana silapnya, lagu ciptaan Audi Mok dan lirik daripada Omar K itu bagaikan kurang menyengat. Terpaksa akur dengan kehendak peminat, kini pemilik nama Siti Nordiana Alias tampil dengan single baharu berjudul Terus Mencintai.

Lebih menarik, Nana turut melebarkan radius seninya dengan menghasilkan sendiri lagu irama 1990-an itu walaupun terpaksa mengambil masa setahun untuk disiapkan.

“Sebenarnya lagu ini merupakan permintaan daripada peminat yang mahukan saya bernyanyi seperti awal kerjaya dahulu.

“Disebabkan sudah lama tidak mempunyai lagu sebegitu, jadi saya cuba untuk menciptanya sendiri walaupun terpaksa mengambil masa yang agak panjang kerana kekurangan idea dan kekangan masa,” ujarnya yang ditemui ketika pelancaran single Terus Mencintai di Red Box Plus, Pavilion, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Meneruskan bicara, tanpa berselindung wanita itu mengakui jiwa seninya memang lebih cenderung ke arah genre sebegitu.

Tidak mahu peminat terkeliru, Nana menjelaskan, percubaan menyanyikan lagu Pesanan Teragung pada tahun lalu adalah untuk membuktikan dia juga boleh membawa lagu berentak kontemporari.

“Jika diikutkan, jiwa saya masih ke arah muzik 1990-an dan peminat turut selesa dengan irama yang saya perjuangkan ini. Saya juga ingin mencuba genre baharu selain mahukan kelainan menerusi lagu ciptaan daripada Audi Mok dan Omar K.

“Memang Pesanan Teragung kurang menyengat, namun melalui lagu itu saya tetap menerima peminat baharu. Selepas ini jika ada yang bertanya, adakah saya boleh membawa lagu moden, maka lagu Pesanan Teragung itulah lagu moden saya,” ujarnya tersenyum.

Idea

Masih basah dalam ingatan Nana tatkala diajak bercerita soal pembikinan lagu Terus Mencintai. Kekurangan dirinya yang tidak pandai bermain sebarang alatan muzik, bukanlah penghalang untuk menghasilkan sesebuah melodi yang indah.

Ujar wanita berusia 33 tahun itu, dia mencipta melodi terlebih dahulu dengan cara merakam nada menggunakan suaranya sendiri secara humming ke dalam telefon bimbit, manakala penulisan lirik pula diinspirasikan daripada kisah peribadi.

“Selepas merakam melodi, saya akan meminta pertolongan kawan untuk menjadikannya sebagai sebuah lagu. Saya juga sengaja menukilkan kisah peribadi dalam lagu ini agar lebih mudah dihayati semasa menyanyi nanti.

“Sebenarnya, pada 2005 saya pernah menghasilkan dua buah lagu iaitu Serikan Wajahmu dan Seribu Janji, jadi Terus Mencintai bukanlah single pertama yang pernah saya cipta,” terangnya.

Seperkara yang turut menarik perhatian adalah pertaruhan berani Nana mengeluarkan duit sendiri bagi pembikinan single tersebut.

Mengakui dia menggunakan wang yang dikumpul daripada bayaran persembahan nyanyian dan hasil kemenangan dalam GV2, ternyata percaturan Nana membuahkan hasil apabila single berkenaan sudah mula dilamar untuk dijadikan lagu runut bunyi sebuah drama tempatan.

“Saya rasa sudah tiba masanya untuk melangkah lebih jauh dalam karier, tambahan pula lebih berbaloi jika saya membelanjakan duit simpanan untuk menghasilkan lagu daripada membeli barangan yang tidak berfaedah.

“Apabila menggunakan duit sendiri juga, secara tidak langsung ia akan membuatkan saya berusaha bersungguh-sungguh untuk mempromosikan lagu ini. Saya tidak berhabis banyak, cuma jumlahnya biarlah menjadi rahsia,” ujarnya yang turut mengeluarkan duit sendiri dalam penghasilan klip video lagu itu.

Biografi

Diusik soal penampilan istimewa Alif Satar dalam klip video lagu baharunya itu, Nana hanya tertawa kecil.

Ujarnya, dia sengaja meminta pertolongan Alif untuk menjayakan klip video tersebut sebagai hadiah buat peminat yang merindukan gandingan mereka seperti dalam drama rantaian Dia Semanis Honey pada tahun lalu.

“Penampilan Alif untuk memenuhi kehendak peminat yang rindukan penampilan kami berdua, jadi saya ibaratkan klip video ini sebagai hadiah daripada kami untuk peminat sebelum memulakan penggambaran drama Pengantin Musim Salju pada Disember nanti,” katanya.

Selain sibuk dengan dunia nyanyian, Nana bersyukur kerana semakin dimurahkan rezeki dalam bidang perniagaan dan lakonan.

Penyanyi lagu Cinta Hanya Sandaran itu turut menyimpan hasrat untuk menulis sebuah buku biografi tentang liku perjalanan seninya sejak 18 tahun lalu.

“Jika tiada sebarang masalah, pada bulan hadapan saya akan memulakan penggambaran untuk dua buah telefilem, manakala pada Disember nanti, saya akan terbang ke Jepun untuk penggambaran drama Pengantin Musim Salju pula.

“Alhamdulillah, impak GV2 masih terasa hingga sekarang. Perniagaan saya juga berjalan lancar dan tidak lama lagi saya akan mengeluarkan sebuah buku biografi.

“Buku itu sudah siap sekitar 30 peratus. Saya menulis buku biografi bagi memberi inspirasi kepada peminat biar mereka tahu bahawa saya juga pernah melalui zaman kejatuhan suatu ketika dahulu,” ujarnya mengakhiri bicara.

Post a Comment

Previous Post Next Post