Serina Redzuwan


Pelakon dan pengacara, Serina Redzuwan, 35, memilih untuk berdiam diri mengenai keputusannya menuntut cerai daripada suami, Gavin Edward O’luanaigh atau nama Islamnya Salahudin Ghafar kerana tidak mahu mensensasikan perkara itu.

Perkara itu mula diperkatakan sejak awal bulan ini, namun Serina bertindak mendiamkan diri termasuk tidak menjawab panggilan dan mesej daripada media.
Serina dalam kenyataannya menerusi Instagram hari ini berkata, dia terpanggil untuk memberi kenyataan ini selepas terlalu banyak berita yang keluar mengenai rumah tangganya sejak akhir-akhir ini.

“Sebenarnya saya tidak berminat mensensasikan kisah kami dan sebab itu saya hanya mendiamkan diri. Tidak ada mana-mana insan yang mendirikan masjid ingin merobohkannya. Saya sudah sedaya-upaya untuk menyelamatkannya, tetapi banyak perkara terlalu sensitif yang tidak boleh diceritakan," katanya.

Ibu kepada dua cahaya mata, Tristan Tareef dan Isabella Saffiya ini mengakui sangat sedih dengan apa terjadi.

Sehubungan itu, dia meminta orang ramai tidak membesar-besarkan kisah ini kerana tidak mahu kesannya terpalit kepada anak-anaknya.

"Jika anda ikhlas menjadi peminat dan penyokong keluarga saya, tolonglah jangan besarkan hal ini lagi. Kami masih dalam kes mahkamah dan biarlah mahkamah putuskan yang terbaik.

"Memang saya sangat sedih. Apabila saya menjemput anak-anak balik dari sekolah, saya mesti menangis. Mereka sentiasa senyum dan masih kecil untuk mengetahui apa yang berlaku.

"Saya tak mahu mereka menjadi trauma apabila membaca macam-macam komen negatif. Doakan semuanya selesai dengan baik," katanya.

Dalam pada itu, Serina turut meminta maaf kerana tidak dapat menjawab segala mesej dan panggilan daripada media.

Harian Metro baru-baru ini melaporkan bapa Serina, Chef Wan mengesahkan Serina sudah memfailkan perceraian .

Serina dan Gavin melangsungkan pernikahan pada 2010 dan dikurniakan dua cahaya mata.

Post a Comment

Previous Post Next Post