Anis Suraya giat buat kerja kebajikan


ANIS SURAYA berswafoto bersama penduduk Orang Asli semasa terlibat dalam Ekspedisi Cakna Bersih dan Sihat 2.0 Masyarakat Orang Asli Pantai Timur di Pos Tohoi, Gua Musang, Kelantan.

Penyanyi wanita era 1990-an, Anis Suraya yang pernah popular dengan lagu Cinta Tersimpul Rapi kini giat melakukan aktiviti kebajikan dan sosial di kawasan perkampungan Orang Asli di Kelantan dan Terengganu.

Anis Suraya atau nama sebenarnya, Tengku Ani Soraya Tengku Sulaiman, 37, yang kini menjawat jawatan sebagai Penolong Pegawai Kebudayaan di Pusat Kesenian dan Warisan, Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) berkata, dia gembira apabila mendapat peluang mendekati komuniti Orang Asli yang terpinggir daripada arus pembangunan.

Katanya, peluang melakukan aktiviti bersama warga UniSZa yang mendekati Orang Asli di perkampungan terpencil memberi aura positif kepada dirinya yang sebelum ini langsung tidak pernah berpeluang melakukan aktiviti sebegitu ketika bergelar artis rakaman.

“Program sebegini memberi kepuasan dan keseronokan kerana sepanjang menjadi artis rakaman saya tidak pernah mendapat peluang sebegini ketika menetap di Kuala Lumpur kerana sibuk dengan jadual seni.

“Menerusi beberapa siri program bersama UniSZA saya berpeluang bermesra dan mendekati komuniti Orang Asli yang kehidupan mereka terpinggir dari bandar,” kata Anis semasa ditemui pada program Ekspedisi Cakna Bersih dan Sihat 2.0 Masyarakat Orang Asli Pantai Timur di perkampungan Orang Asli Pos Tohoi di Gua Musang, Kelantan baru-baru ini.


ANIS SURAYA beramah mesra bersama penduduk Orang Asli di Pos Tohoi, Gua Musang, Kelantan.

Menurut Anis, sesuatu yang tidak disangka olehnya apabila ada dalam kalangan masyarakat Orang Asli masih mengenali dirinya dan mengetahui lagu popularnya, Cinta Tersimpul Rapi. Situasi berkenaan mencetuskan rasa terharu kerana namanya masih ada tempat di hati komuniti berkenaan walaupun sudah 18 tahun merakamkan lagu tersebut.

“Saya mengakui sudah lama hilang dalam industri muzik tanah air tetapi pada dasarnya saya masih lagi meneruskan karier nyanyian di sekitar Terengganu dan di seluruh negara.

“Kini pekerjaan saya ialah melatih pelajar bermain alat muzik khususnya alat gamelan, tarian dan nyanyian. Itu adalah cabang seni yang masih lagi saya ceburi untuk mengasah bakat pelajar yang berpotensi,” katanya yang bersedia untuk membuat kemunculan semula bagi mengubati kerinduan peminat dengan menyertai rancangan Gegar Vaganza sekiranya suaminya Azmaimi Mohamad memberi keizinan.

Anis Suraya membuat kemunculan sebagai penyanyi pada tahun 1998 melalui rangkaian lagu popularnya seperti Cinta Tersimpul Rapi, Selamilah Hati Ini dan Hadirnya Dirimu duet bersama penyanyi Aqasha.

Selama pembabitannya dalam dunia seni, Anis telah menghasilkan tiga buah album dan beberapa album kompilasi sebelum pulang dan menetap di negeri kelahirannya, Terengganu selepas tujuh tahun membina nama sebagai penyanyi.

Post a Comment

Previous Post Next Post