Sarah Hildebrand, Kononnya macam Sarah yang tulis


Pelakon dan model Sarah Hildebrand, 27, mengakui bimbang berdepan tanggapan buruk masyarakat dengan kewujudan akaun palsu menggunakan namanya di laman sosial.

Sarah atau nama sebenarnya, Nur Sarah Marie Hildebrand Asyraf mengakui kecewa apabila ada di antara akaun palsu itu menggunakan foto lamanya ketika belum bertudung.

"Perkara ini sudah lama berlaku dan semakin menjadi-jadi kebelakangan ini.

"Saya jarang melayari internet dan terkejut apabila ramai rakan serta peminat bertanya adakah saya buka akaun laman sosial baru.

“Saya tidak apa tujuan sebenar akaun palsu itu diwujudkan,” katanya kepada Harian Metro.

Sarah berkata dia terkilan apabila komen yang diberikan pemilik akaun palsu itu boleh menjejaskan nama baiknya.

“Saya ada tengok akaun palsu itu dan terkejut apabila mereka menggunakan gambar lama saya yang tidak bertudung.

“Bukan itu sahaja, komen yang diberikan juga merepek. Lebih mengecewakan pengendali akaun palsu terbabit melayan komen-komen itu.

"Saya tidak mahu peminat ingat saya yang membalas komen itu sedangkan ia dikendalikan orang lain," katanya.

Pelakon telefilem Hujan Pagi dan Jalan Singkat Ke Syurga arahan Rashid Sibir itu berkata, dia sering tampil menjelaskan keadaan sebenar di laman sosial rasminya bagi mengelakkan kejadian sama berulang.

"Saya selalu mengingatkan peminat agar jangan mudah tertipu dengan akaun palsu menggunakan nama saya di laman sosial.

"Saya turut menggesa peminat yang tahu mengenai kewujudan akaun palsu saya melaporkan perkara ini kepada pengendali aplikasi agar ia dibatalkan.

"Baru-baru ini ada lagi tetapi mujurlah peminat saya cepat bertindak dan akaun palsu itu dibatalkan," katanya.

Post a Comment

Previous Post Next Post