Rita Rudaini, Sila tanya Aqasha


PAPARAN skrin yang dimuat naik oleh isteri Aqasha, Baizura di Instagramnya pada awal Mac lalu tentang perbualan mesra yang dihantar oleh seorang aktres dipercayai Rita Rudaini kepada suaminya.

SELEPAS mengambil tempoh lebih sebulan mendiamkan diri daripada menjawab sebarang pertanyaan media berhubung ‘kisah hati’ dengan pelakon Aqasha, dramatis jelita, Rita Rudaini akhirnya membuka mulut mengenai isu yang melanda dirinya baru-baru ini.

Nama Rita, 41, tiba-tiba memanas apabila dikatakan sebagai orang ketiga yang menjadi pengacau dalam rumah tangga pelakon Aqasha dan isterinya, Baizura Sabri.

Pendedahan tersebut dibuat oleh isteri Aqasha sendiri yang berkongsi paparan skrin perbualan mesra suaminya dengan seorang aktres didakwa sebagai Rita menerusi Instagramnya pada awal Mac lalu.

Berkesempatan bertemu dengan pelakon filem Mami Jarum itu pada Anugerah Drama Festival Kuala Lumpur (DFKL) 2017 baru-baru ini, peluang tersebut digunakan sebaik mungkin untuk mendapatkan penjelasan daripada Rita.

Ikuti penjelasan daripada ibu kepada dua cahaya mata itu tentang isu yang berkenaan.

KOSMO!: Sebelum ini Rita mengambil keputusan berdiam apabila diasak media berhubung dakwaan sebagai orang ketiga. Boleh jelaskan tentang tindakan tersebut?

RITA RUDAINI: Saya sudah dewasa. Apa jua tindakan saya ia selari dengan usia dan kematangan. Saya terpaksa mendiamkan diri sebab perkara ini sudah menjadi panas dan banyak diperkatakan orang.

Komen daripada masyarakat luar membuatkan keadaan bertambah teruk. Kalau saya beritahu perkara sebenar pun, orang sudah tidak percaya lagi.

Sekarang adalah masa yang sesuai untuk saya komen kerana orang sudah tahu bahawa ia adalah salah satu adegan daripada adegan drama lakonan kami. Hubungan baik kami hanya kerana tugas di lokasi penggambaran drama. Itu sahaja.

Apa komen anda pula tentang mesej-mesej mesra yang dihantar kepada Aqasha?

Apabila berkawan, kita akan jadi rapat dan selesa untuk bercakap apa sahaja. Saya percaya, semua orang tahu banyak rahsia rakan baik sendiri, sama seperti kami.

Kebetulan, ketika kejadian itu berlaku, kami masih dalam penggambaran drama bersiri bertajuk Misi Laksa dan Laksam. Hanya mereka yang bekerja dengan kru produksi tahu bagaimana akrabnya hubungan dalam industri.

Hubungan kami sudah seperti adik-beradik, jadi banyak perbualan nakal yang melambangkan keakraban akan menjadi bahan gurauan, bahkan saya kenal Aqasha sejak dia berusia belasan tahun dan menganggap dia sebagai rakan baik.

Apabila dakwaan isteri Aqasha tersebar, masyarakat menuduh anda mempunyai hubungan istimewa dengan Aqasha. Komen?

Jangan salah sangka, hubungan kami tidak seperti yang orang luar fikirkan. Saya tiada hubungan istimewa dengan Aqasha dan selepas ini saya harap tiada lagi pertanyaan mengenai perkara itu.

Selepas tamat penggambaran drama tersebut, kami membawa haluan masing-masing. Saya sudah jawab mengenai perkara ini, selebihnya sila tanya Aqasha sendiri.

Beralih tentang kemunculan anda selaku hos Anugerah DFKL 2017. Bagaimana perasaan bergelar pengacara buat kali pertama?

Jujurnya, saya sangat berdebar tetapi pada masa sama bangga kerana diberi kepercayaan oleh Media Prima untuk menggalas tanggungjawab ini. Saya tidak pernah menjadi hos, tetapi berganding dengan Sherry Alhadad dan AG membuatkan saya yakin. Mereka sangat banyak membantu sepanjang sesi latihan dan pada malam kemuncak. Biarpun gementar, sebenarnya tidak susah mencipta keserasian kerana saya sudah agak lama kenal mereka.

Apakah pengalaman yang anda raih dengan menjadi seorang pengacara?

Situasi ini sangat berbeza dengan lakonan. Kalau semasa berlakon, dialog boleh diulang tetapi mengacara adalah satu tugasan yang perlu dilakukan secara langsung. Saya tidak akan tolak tawaran mengacara lagi kerana ia memberi definisi baharu dalam hidup saya.

Baiklah, boleh kongsikan perkembangan terkini anda sekarang?

Saya akan muncul menerusi sebuah telefilem siaran TV9 tidak lama lagi. Selepas itu, saya akan berehat seketika sepanjang bulan Ramadan kerana ingin fokus terhadap operasi di restoran milik saya. Selalunya memang saya tidak ambil tawaran sepanjang bulan puasa kerana setiap hari saya akan ke restoran. Kalau ada masa, saya akan bantu memasak makanan. Jika tidak, saya akan menghabiskan masa berbuka dengan peminat di sana.

Post a Comment

Previous Post Next Post