Gema Gegar Vaganza cetus keterujaan penonton


KUMPULAN Hijjaz yang memenangi anugerah Gema Terindah kategori Kenangan Terpahat telah mendermakan duit kemenangan sebanyak RM5,000 kepada anak anggota kumpulan UNIC, Bazli yang menghidap kanser lymphoma.

PERTANDINGAN nyanyian Gema Gegar Vaganza (GGV) disifatkan sebagai platform alternatif terbaik untuk mengembalikan kegemilangan irama lagu-lagu nasyid yang pernah mencetuskan fenomena satu ketika dahulu.

Ketua Saluran Melayu Astro, Raqim Ahmad berkata, ia dibuktikan menerusi sambutan yang diterima pada konsert minggu pertama GGV yang berlangsung di Pusat Konvensyen CIDB, Cheras, Kuala Lumpur minggu lalu.

“Untuk minggu pertama, sambutan penonton cukup menggalakkan.

“Bahkan, program ini turut menjadi trending di seluruh dunia menerusi platform media sosial Twitter sepanjang dua jam setengah ia bersiaran,” katanya.

Menurut Raqim, kandungan unik yang ada pada GGV mungkin mencetuskan keterujaan luar biasa dalam kalangan penonton, khususnya yang membesar dengan lagu-lagu nasyid suatu ketika dahulu.

“GGV menggunakan format yang diguna pakai dalam Gegar Vaganza.

“Justeru, ia secara tidak langsung membawa penonton untuk mengimbau kembali penyanyi nasyid dan lagu-lagu ketuhanan yang pernah popular satu ketika dahulu,” katanya lagi.

Format


KUMPULAN nasyid UNIC yang terdiri daripada (dari kiri) , Fakhrul, Bazli dan Najdi akan mendendangkan lagu Hijau Bumi Tuhan milik XPDC pada minggu kedua GGV.

Mencedok format asal program fenomena Gegar Vaganza, Gema Gegar Vaganza turut menampilkan segmen pemberian lagu yang menjadi penentu kepada keberadaan peserta untuk minggu seterusnya.

Bagaimanapun, menerusi segmen yang kini dikenali sebagai Ada Rezeki Ada Lagi, penonton di auditorium dilihat menjerit dan bersorak sewaktu penyanyi kegemaran mereka berjaya lolos ke minggu hadapan sehingga mencemarkan tema dan konsep asal GGV.

Situasi tersebut dilihat sebagai mencalarkan sedikit program bersifat Islamik itu kerana seharusnya, penonton perlu bijak mengawal emosi dan kekal sopan sepanjang pertandingan berlangsung.

“Situasi tersebut barangkali berlaku akibat rasa teruja penonton yang menyokong peserta kegemaran mereka.

“Namun, kami mencuba sehabis baik untuk mengawal keadaan dengan memberi peringatan kepada penonton supaya menjaga tingkah laku sebelum konsert bermula,” kata Raqim yang memandang serius terhadap penampilan pengacara di atas pentas.

Lagu komersial


Azmi Caliph Buskers yang pertama kali muncul solo tanpa kumpulannya mempamerkan persembahan yang mantap.

Mengenai lagu-lagu bergenre pop dan rock yang diberikan kepada peserta sebagai tugasan untuk minggu kedua, Raqim tidak melihat ia sebagai perkara yang perlu dijadikan isu.

Antara lagu yang diberikan adalah Satu (Dewa 19), Ketulusan Hati (Anuar Zain) dan Relakan Jiwa nyanyian Hazama.

“Benar, para peserta diberikan lagu-lagu komersial. Tetapi, lagu yang diberikan mempunyai maksud yang baik dan tidak melanggar konsep asal GGV.

“Bagaimanapun, para peserta berhak untuk mengubah lirik pada lagu tersebut jika mereka berpendapat ia tidak sesuai dengan pertandingan,” katanya.

Seramai 10 peserta yang bertanding pada GGV ialah Hafiz Hamidun yang menyanyikan lagu Jodoh Berdua, Ana Raffali (Tolong Ingatkan Aku), Bienda (Penantian), Azmi Caliph Buskers (Hanya Namamu), Izam EYE (Izinkan Selamanya Namamu Di Hati) dan Wani (Alhamdulillah).

Sementara itu, peserta berkumpulan pula terdiri daripada Hijjaz (Sumayyah), Saujana (Suci Sekeping Hati), Mirwana (Aku Tanpa Cintamu) dan UNIC (Hanya Tuhan Yang Tahu).

Pada konsert tersebut, kumpulan Hijjaz memenangi anugerah Gema Terindah kategori Kenangan Terpahat dan mereka membawa pulang wang tunai bernilai RM5,000. Wang tersebut bagaimanapun didermakan kepada anak anggota kumpulan UNIC, Bazli Hazwan iaitu Muhammad Syahid yang menghidap kanser lymphoma.

Diacarakan oleh Siti Nordiana, Achey dan Fikri, GGV disiarkan secara langsung menerusi Astro Oasis (saluran 106) dan Astro Maya HD (saluran 135) pada setiap Sabtu pukul 9 malam.

Post a Comment

Previous Post Next Post