SEORANG penulis novel terkenal memfailkan saman fitnah terhadap penerbit dan pengarah popular, Ziela Jalil atas dakwaan mengeluarkan kenyataan berunsur fitnah yang mengaibkannya di laman sosial sejak dua bulan lepas.
Siti Rosmizah Semail, selaku plaintif memfailkan saman tersebut di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur melalui firma Tetuan Chambers of Rafie Mohd Shafie & Associates menamakan Ziela Jalil atau nama sebenarnya Norzilah Abdul Jalil sebagai defendan.
Melalui pernyataan tuntutan, Plaintif yang juga penerbit bersama drama '7 Hari Mencintaiku' itu mendakwa pada 9 Februari lalu, defendan telah menyiarkan kenyataan fitnah pertama dalam laman Instagramnya, selain menyiarkan satu lagi kenyataan di laman sama pada 10 April lalu.
Sementara itu pada hari yang sama, plaintif mendakwa defendan menyiarkan kenyataan fitnah ketiga yang mengandungi empat bahagian selain turut memuat naik paparan skrin perbualan peribadi mereka melalui aplikasi WhatsApp.
Plaintif yang juga seorang peguam mendakwa, laman Instagram tersebut mempunyai 551,000 pengikut dan kenyataan fitnah berkenaan telah dibaca dan mendapat komen negatif oleh pengikut-pengikut Instagramnya.
Selain itu, dakwa plaintif lagi, pada 16 April defendan telah memberi kenyataan fitnah kepada media cetak melalui sesi temuramah oleh seorang wartawan Utusan yang kemudiannya diterbitkan dalam sisipan Panca Indera akhbar Mingguan Malaysia.
Plaintif mendakwa kenyataan fitnah tersebut membawa maksud beliau seorang yang kejam, tidak berperikemanusiaan, pembohong, mementingkan diri sendiri, melanggar undang-undang, menganiaya, dan mengambil kesempatan ke atas defendan.
Dakwanya, akibat tindakan tersebut, reputasi beliau terjejas teruk selain mengalami pelbagai kehilangan dan kerugian termasuk martabat, imej, dan maruah di mata masyarakat.