Fahad Iman dari iklan komersial ke dunia lakonan


TIDAK dinafikan, kehadiran pelakon baru memberi ruang buat pencinta filem dan drama menilai mana satu aktor atau aktres yang dirasakan mampu gantikan pelakon senior sedia ada.

Tidak hanya bersandarkan tiket fizikal semata-mata, namun kualiti lakonan tentunya menjadi rahsia kejayaan buat mereka untuk terus kekal dalam dunia lakonan dalam tempoh lama.

Itulah impian mahu direalisasi Fahad Iman atau nama lengkapnya, Mohamad Fahad Iman Mohd Zulhissham ini yang mengakui bukan mudah buat muka baru sepertinya untuk membuktikan bakat dalam tempoh terdekat.

Akui pemuda berusia 24 tahun ini, dia bertuah kerana pengalaman dalam dunia teater dan iklan komersial memberi pengalaman yang boleh digunakan dalam melakar perjalanan dalam dunia lakonan yang kini menjadi cinta hati.

“Ketika belajar dalam jurusan Seni Persembahan di Universiti Sunway, saya ada terlibat beberapa persembahan teater. Jadi daripada situ, setidak-tidaknya saya dapat kutip pengalaman untuk melakukan yang terbaik dalam apa dilakukan sekarang.

“Selepas tamat belajar, saya ada terima tawaran berlakon iklan komersial seperti KFC, Mc Donald’s dan Toyota. Jadi, saya kira ini pendedahan dan persediaan awal saya asah skil dalam lakonan.

“Bagaimanapun, sebagai orang baru, sudah tentu saya perlu belajar dan terus belajar jadi yang terbaik,” katanya kepada Media Hiburan.

Tambah Fahad lagi, teater dan iklan komersial tidak jauh bezanya dengan lakonan, memandangkan dua bidang tersebut juga merupakan antara cabang seni yang menarik untuk diceburi. Namun atas faktor kekangan masa ketika ini, minat tersebut terpaksa dihadkan kepada lakonan sahaja.

'Terima kasih Michael Ang'

Diajukan persoalan bagaimana pemuda kelahiran Subang Jaya, Selangor ini boleh terjun ke dunia lakonan, Fahad memberitahu pada peringkat awal, dia tidak tahu saluran yang betul untuk merealisasikan cita-citanya.

“Jujurnya, minat berlakon tu dah ada sejak kecil. Tapi saya tak tahu bagaimana cara dan siapa individu paling tepat saya rujuk. Kemudian saya cuba nasib dalam iklan komersial dan Alhamdulillah, rezeki melimpah dalam tempoh setahun aktif.

“Lalu bila portfolio dalam teater dan iklan komersial itu sudah cukup, barulah saya berani emel produser, pengarah. Dalam banyak saya hantar, hanya seorang pengarah tunjuk minat iaitu Michael Ang.

“Syukur, saya dipanggil sesi uji bakat kemudian dipelawa tampil sebagai ekstra dalam drama Isteri Vs Tunang di Astro Ria. Itulah pengalaman pertama dan sejak itu, tawaran lakonan lain datang.

"Terima kasih Michael sebab percaya potensi dan bakat saya ada,” katanya yang turut terlibat drama episod Suri Hati Mr Pilot di samping Fattah Amin dan Neelofa tidak lama dulu.

Terkini, anak kedua dari lima beradik itu sibuk di lokasi drama 13 episod berjudul Taman Diva untuk siaran RTM. Selain Fahad, pelakon lain yang turut terlibat ialah adik Fasha Sandha, Elisya Sandha.

Sokongan penuh keluarga

Sementara itu, Fahad turut terharu dan berterima kasih kepada keluarganya yang selama ini tidak pernah putus memberikan sokongan.

Menurut Fahad, ketika menyuarakan hasrat untuk aktif sepenuh masa dalam lakonan kepada keluarganya, mereka tidak membantah. Sebaliknya menyokong minatnya selain memberi idea serta pandangan untuk mantapkan skil lakonan.


“Pada peringkat awal, rasa ragu-ragu nak luahkan minat pada mereka, tetapi saya bersyukur kerana ibu bapa tak halang minat saya, sebaliknya jadi pengkritik terbaik.

“Cuma apa yang lucunya, pada peringkat awal mereka teruja tonton saya berlakon di kaca TV,” terang Fahad yang menjadikan Iedil Putra sebagai idola dalam dunia lakonan.

Bagi Fahad, meski masih muda, namun Iedil dilihat begitu bijak di dalam merencanakan kerjaya seninya.

“Dia versatil dan kebanyakan watak dibawa ‘berseni’ dan jujur. Walaupun lakonannya tidak sekerap mana, namun hasil dan impak diberikan cukup besar.

“Drama dan filem dilakonkan ibarat dream job. Kalau boleh, saya juga mahu jadi sepertinya, Insya-ALLAH,” tutur Fahad menutup bicara.

Post a Comment

Previous Post Next Post