Lakonan jujur Miera Leyana


MANTAP Miera (dua dari kiri) bersama pengarah Mamat Khalid (tengah) dan Pengurus Besar Grand Brilliance, Tengku Iesta Tengku Alaudin (dua dari kanan). Turut kelihatan barisan pelakon Lebuhraya Ke Neraka iaitu Awie, Dazrin (kiri) dan Shah Jaszle.

Profesional

Diusik soal lakonan bersama bekas kekasihnya, Shah Jaszle, Miera Leyana kemudian tertawa besar. Biarpun kisah cinta yang pernah disemai terputus di tengah jalan sekitar tahun 2012 dahulu, namun hal itu sedikit pun tidak mencalarkan hubungan persahabatan mereka.

Dia juga bersikap terbuka andai terdapat pengarah yang mahu menggandingkan mereka bersama dalam mana-mana drama mahupun telefilem.

“Ketika berlakon dalam filem ini kami sebenarnya masih dalam tempoh perkenalan. Perkara itu sudah lama berlalu. Kami juga sudah membawa haluan sendiri sekarang.

“Shah sudah berkeluarga dan saya gembira dengan perkara itu. Bagi saya industri ini terlalu kecil untuk kami bermusuhan, jika suatu hari kami ditakdirkan berlakon bersama, pasti saya akan menerima dengan hati terbuka,” ujarnya yang pernah berlakon dengan Shah Jaszle dalam telefilem terbitan RTM berjudul Harapan tiga bulan selepas berpisah.

Mengarah

Dalam pada itu, menyentuh mengenai perkembangan terkini Miera, pelakon Memori Cinta Suraya itu memberitahu dia telah mengembangkan sayap seninya kepada dunia pengarahan.

Baru sahaja tamat penggambaran sebanyak 20 babak di Paris dan London untuk telefilem Lailailitamplom, Miera mengakui teruja namun gementar apabila diberi peluang oleh penerbit Mohd. Noor Kadir untuk duduk di kerusi pengarah buat julung kali.

“Saya memang tidak pernah terfikir untuk mengarah kerana minat lebih kepada dunia lakonan. Bagaimanapun, suatu hari Mohd. Noor meminta saya untuk mengarah dan berlakon dalam telefilem terbaharu terbitan syarikatnya, Kuasatek Pictures Sdn. Bhd.

“Walaupun terkejut, tetapi apabila diberi peluang saya pasti tidak mahu mempersiakannya. Pun begitu, saya tidak berseorangan kerana dibantu oleh Aliff Rizall yang bertindak sebagai pengarah bersama,” tutupnya yang memberitahu, masih perlu melunaskan baki penggambaran telefilem tersebut di Malaysia.


SEWAKTU mendapat perkhabaran naskhah arahan sutradara hebat, Mamat Khalid yang berjudul Lebuhraya Ke Neraka bakal ditayangkan pada 4 Mei depan, jiwa wanita tinggi lampai ini dipenuhi dengan rasa gementar.

Dadanya bergetar kencang tatkala memikirkan bagaimana hasil lakonan dalam naskhah tersebut yang ketika itu umurnya baru sahaja berusia 18 tahun.

Manakan tidak, naskhah pertama berunsurkan kerohanian arahan Mamat itu sebenarnya telah lama diperam dan siap menjalani penggambaran sejak dari tahun 2011.

Namun, sebaik sahaja tamat tayangan perdana filem tersebut di GSC Pavilion, Kuala Lumpur, baru-baru ini, Miera Leyana hanya mampu tersenyum panjang sambil menghela nafas lega.

“Sebenarnya saya sangat gementar apabila mendapat tahu filem ini akan ditayangkan selepas enam tahun penggambaran siap dijalankan. Saya risau bagaimana hasil lakonan kerana baru sahaja berumur 18 tahun ketika itu.

“Jika diberi peluang sekali lagi, tidak dinafikan saya akan cuba berikan lakonan yang terbaik. Pun begitu, setelah menonton filem ini saya sangat berpuas hati dan tidak menyesal dengan cara lakonan terdahulu,” ujarnya yang ditemui usai tayangan filem tersebut.

Memegang karakter sebagai Dina, ujar Miera, naskhah tersebut merupakan antara salah satu karya terbaik yang pernah dilakonkan sepanjang karier seninya.

Pemilik nama sebenar Miera Leyana Kasmi itu turut menyifatkan karya tersebut bukan sahaja memberi suntikan baharu dalam arena perfileman tempatan, malah menjadi tapak untuk dirinya melebarkan portfolio lakonan.

“Sejujurnya boleh dikatakan, naskhah ini merupakan salah satu karya lakonan saya yang terbaik. Saya pernah berlakon dengan Mamat dalam filem Apokalips X sebelum ini. Mungkin jalan ceritanya kurang dekat dengan penonton membuatkan ia tidak mendapat sambutan.


TAWARAN Miera sentiasa terbuka andai ditawarkan untuk berlakon dalam filem atau drama berunsurkan kerohanian kerana jalan cerita seperti itu akan memberi kebaikan kepada penonton.

“Bagaimanapun, jalan cerita Lebuhraya Ke Neraka lebih jujur dan dekat dengan masyarakat. Ia sangat memberi kesan dalam diri dan saya yakin ia boleh menyentuh perasaan penonton.

“Lagipun, saya sering diberi watak jahat seperti perampas suami orang. Jadi apabila ditawarkan karya sebegini, ia sesuatu yang baharu dalam perjalanan seni saya sebagai pelakon. Bukan itu sahaja, sudah tiba masanya Malaysia dihidangkan dengan pembaharuan karya seperti ini,” terangnya panjang lebar.

Insaf

Menyelami isi hati wanita berusia 23 tahun itu, sengaja kemudian Miera ditebak soal kesan filem kerohanian tersebut dalam dirinya secara peribadi.

Tanpa berselindung, Pelakon Pembantu Wanita Terbaik (Filem) Anugerah Skrin 2013 itu memberitahu, Lebuhraya Ke Neraka memberi kesedaran kepada dirinya tentang rahsia Tuhan berkaitan ajal maut yang boleh datang pada bila-bila masa sahaja.

“Ketika melakonkan filem ini saya baru sahaja tamat persekolahan dan baru mengenal pancaroba dunia. Karakter Dina menggambarkan kenakalan rata-rata remaja pada umur yang masih muda.

“Saya tidaklah menyamakan karakter tersebut 100 peratus seperti diri saya, tetapi ia sedikit sebanyak membuatkan saya sedar bahawa manusia boleh mati pada bila-bila masa sahaja. Perkara ini membuatkan filem itu begitu dekat dengan hati saya,” ujarnya.

Terus rancak berbicara, biarpun sudah enam tahun berlalu, masih basah dalam ingatan Miera tatkala menjalani penggambaran yang berlangsung selama sebulan di Gerik, Perak.

Sebagai pelakon yang masih setahun jagung ketika itu, dia perlu berdepan dengan cabaran apabila banyak bermain dengan bahasa badan daripada berdialog.

“Berlakon dalam naskhah yang akan disunting dengan teknik pengimejan berkomputer (CGI) sebenarnya agak sukar. Terdapat satu babak memerlukan saya membayangkan sedang dililit seekor ular besar, tetapi hakikatnya semasa lakonan ular tersebut adalah segulung tali.

“Saya juga perlu lebih memainkan bahasa badan daripada berdialog seperti ketika babak termenung kerana tidak boleh membacakan ayat suci al Quran,” jelasnya sambil tersenyum.

Selain Miera, naskhah Lebuhraya Ke Neraka turut menampilkan lakonan hebat daripada Datuk Awie, Shah Jaszle, Dazrin Kamarudin dan Pekin Ibrahim sebagai penampilan khas

Post a Comment

Previous Post Next Post