Boneka gred A Sheila Majid


Menyebut sepotong nama Datuk Sheila Majid sahaja sudah meninggalkan getar yang tersendiri di dalam dada. Apa lagi apabila cuba mengalunkan hit-hitnya seperti Anyer Dan Jakarta atau Jentayu yang sentiasa bersifat malar segar.

Jeda 13 tahun lamanya beliau tidak muncul dengan album studio penuh. Ia adalah satu tempoh yang cukup lama, dengan album Cinta Kita ditinggalkan Sheila sebagai buah tangan terakhir. Namun, Ratu Jazz kesayangan negara ini masih ampuh dan kekal di atas.

April 2017, Sheila membuat banyak penggemar beliau penasaran dan menjadi tidak keruan untuk memiliki, sekali gus menggali isi album terkininya, Boneka. Tidak ada yang berlebihan pada kulit album beliau. Sheila hanya tampil dalam gaun panjang berwarna merah dan beliau dipotret daripada pandangan sisi dengan tulis judul album, Boneka dicetak juga dalam warna merah di atas latar belakang putih kulit album tersebut.

Biarpun hanya meletakkan merah dan putih pada kulit albumnya, namun ia punya signifikan tersendiri. Sheila seperti mahu khalayak melihat di sebalik sesuatu yang ringkas, karya yang dipilih mengisi album ini mempunyai impak dan kualiti yang bukan picisan. Warna merah berperanan sebagai penegasan bahawa album ini perlu diberi perhatian.

Sheila tidak lari langsung dari landasannya sebagai seorang penyanyi jazz, genre muzik yang tidak pernah mati walau ditimbuni banyak jenis muzik lain. Beliau mengalunkan semua nyanyiannya dengan manis, mempengaruhi emosi dan membuat pendengar sentiasa larut sekali gus berasa sayang untuk berpisah dengan untaian lagunya.

Terdapat 10 buah lagu yang dimuatkan dalam album ini. Penulis bagaimanapun tidak berniat mengulas semua kerana mahu pendengar menikmatinya sendiri, dan yakin bahawa penggemar Sheila lebih arif tentang muzik milik idola mereka ini.


Sheila Majid

Namun, penulis akan menyentuh tentang beberapa lagu yang dimuatkan dalam album studio kelapan milik beliau.

Melukis Dunia diletak pada trek pertama kedengaran sangat catchy dan ‘hidup’. Hal yang sama dilakukan kepada Ku Nanti dan Boneka yang digarap catchy dan membuat pendengar seperti mahu berdansa.

Haruskan Ku Pergi pula mengekalkan Sheila sebagai pembawa hit melankolik dengan begitu berkesan. Kesinambungannya dipanjangkan kepada trek kelima, Lara Di Dada. Entah bagaimana, Sheila adalah satu-satunya penyanyi yang mempunyai kemampuan membangkit imaginasi tersendiri dalam setiap lenggok nyanyian melankoliknya. Begitu menyentuh.

Boleh didengar dengan jelas bunyi instrumen yang diadun, terjalin kemas dalam melodi untuk setiap lagu sebelum Sheila memantapkannya menerusi vokal emas beliau.

Sebenarnya, tidak ada yang banyak dilakukan secara berlebihan oleh Sheila dan produksi kerjanya pada kali ini. Bagaimanapun, sebagai profesional yang telah lama berkecimpung dalam dunia seni, masing-masing memainkan peranan dengan cukup baik. Produksi ini memahami dengan arif bahawa tidak perlu terlalu berlebihan untuk memberi ‘kenyataan’ karya ini terbaik, sebaliknya pemahaman, penyusunan dan kredibiliti yang ada pada mereka telah meletakkan Boneka pada satu aras yang tinggi.

Tahniah buat Sheila dan pengkarya yang menumpahkan magis seni mereka seperti Tohpati, Kevin Chin, Irwan Simantunjak, Omar K, Azman Abu Hassan serta Steve Corrao yang melakukan mastering album ini di Amerika Syarikat kerana menghadiahkan industri hiburan tempatan dengan sebuah produk yang berkualiti untuk dinikmati.

Post a Comment

Previous Post Next Post