Ifa Raziah selesa bertudung


IFA Raziah mengaku selesa mengenakan tudung untuk acara tertentu.

Artis serba boleh, Ifa Raziah, 41, mengaku selesa mengenakan tudung meskipun belum membuat keputusan untuk berhijab.

Ifa berkata, beliau tidak mempunyai sebarang masalah untuk tampil bertudung pada majlis tertentu.

"Saya tiada masalah untuk mengenakan tutup kepala dan tetap boleh bergaya apabila bertudung.

"Doakan supaya hati saya terus tetap untuk bertudung apabila sampai masanya nanti," katanya kepada BH Online.

Penyanyi lagu Ser Ser Ser itu ditemui pada festival jualan Mood Republik, yang berlangsung sejak Jumaat.

Penyanyi yang turut dikenali sebagai pelakon dan pengacara itu tampil bertudung sepanjang majlis berkenaan, yang berlangsung di sebuah hotel, di sini.

Perkongsian gambarnya berhijab turut mendapat maklum balas positif daripada pengikutnya di laman Instagram miliknya.

Pengulas jemputan program D' Academy Asia Indonesia itu berkata, beliau akan bertudung apabila sudah bersedia melakukannya, termasuk menjaga semua aspek pemakaian.

"Apabila kita pakai tudung, kita bertanggungjawab dengan keputusan yang kita buat.

Saya tidak mahu hipokrit, doakan yang baik-baik untuk saya," katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Mood Republik, Kimi Iskandar Ismail, berkata beliau gembira kerana artis wanita yang terbabit bersedia mengenakan tudung.

Katanya, bukan hanya Ifa, malah Fasha Sandha dan Nursajat turut manis mengenakan tudung pada majlis berkenaan.

"Kita gembira kerana majlis berjalan lancar dan mendapat sokongan penduduk tempatan," katanya.

Seramai 160,000 pengunjung berdaftar memeriahkan acara jualan berkenaan, yang turut membabitkan 17 artis.

Post a Comment

Previous Post Next Post