Gema Gegar Vaganza jual konsep kerohanian


BARISAN 10 peserta yang bakal berentap selama lapan minggu dalam program terbaharu terbitan Astro Oasis, Gema Gegar Vaganza bermula 8 April depan.

BUAT julung-julung kalinya, saluran Islamik Astro Oasis tampil dengan sebuah program nyanyian berkonsepkan realiti, Gema Gegar Vaganza yang akan bermula pada 8 April ini.

Program yang akan bersiaran secara langsung dari Pusat Konvensyen CIDB, Cheras tersebut menampilkan 10 peserta terdiri daripada penyanyi berkumpulan dan solo.

Ketua Saluran Melayu Astro, Raqim Ahmad menjelaskan, penerbitan program berkenaan sebagai salah satu langkah dalam memastikan Astro Oasis berdiri seiring dengan saluran lain.

“Mengambil kira aspek pembaharuan yang diharapkan daripada penonton, kami berbesar hati membawakan program pertandingan nyanyian Islamik tetapi bersifat kontemporari dan lebih terbuka.

“Penganjuran program ini juga diadakan sempena sambutan ulang tahun ke-10 Astro Oasis dengan matlamat memperkukuhkan platform penyampaian dakwah kepada penonton menerusi pelbagai program berinformasi,” katanya ketika ditemui pada majlis sidang akhbar program berkenaan di Hotel Istana, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Raqim menambah, konsep Gema Gegar Vaganza turut menyuntik elemen sedia ada pada program nyanyian fenomena Gegar Vaganza menerusi aspek penerbitan seperti elemen kejutan dan gimik.

“Bagi menyuntik elemen moden dan komersial, persembahan peserta akan diiringi pemuzik secara langsung, malah seleksi lagu yang dipersembahkan juga diberi nafas baharu dari segi susunan muzik sesuai dengan peredaran zaman.

“Matlamat kami adalah untuk menarik lebih ramai audiens baharu untuk saluran Astro Oasis. Sebab itu, peserta yang terpilih terdiri daripada pelbagai lapisan umur dan pengalaman dalam industri seni.

“Biarpun begitu, semuanya harus menepati garis panduan saluran tersebut iaitu persembahan mestilah berkonsep ketuhanan dan mengandungi nasihat berguna kepada penonton,” ujarnya.

Teruja

Sementara itu, penyanyi Bienda melahirkan keterujaannya menyertai program tersebut kerana tertarik dengan konsep yang dipertaruhkan, selain berasa ia adalah peluang terbaik untuk dia kembali aktif.

“Bukan selalu kita dapat tengok program berbentuk sebegini yang mengangkat konsep ketuhanan dalam hiburan. Ia boleh menjadi medan dakwah yang menarik untuk menyampaikan nasihat kepada penonton.

“Malah, ketika menerima tawaran sekitar Januari lalu, ibu adalah orang pertama yang menyokong penuh saya untuk menyertainya. Lagipun, saya fikir inilah masanya untuk kembali ke bidang yang disukai,” ujar Bienda.

Begitu juga dengan penyanyi Ana Raffali yang menyifatkan peluang berada dalam program Gema Gegar Vaganza sebagai motivasi dirinya yang kini bergelar tenaga pelajar di sebuah sekolah swasta.

“Perancangan untuk kembali aktif dalam bidang nyanyian memang sudah lama tersimpan, dan tiba-tiba terpilih untuk menyertai program ini. Saya anggap ia satu rezeki.

“Selain tertarik dengan konsep dakwah yang diterapkan dalam program ini, saya terima tawaran ini sebagai cabaran, ” jelas Ana.

Gema Gegar Vaganza menampilkan pemenang Gegar Vaganza musim kedua, penyanyi Siti Nordiana sebagai pengacara. Tidak bersendirian, Siti Nordiana atau Nana berganding dengan pelawak Achey Bochey dan Fikri Lawak Solo mengendalikan program berkenaan.

Program sebanyak lapan episod tersebut disiarkan di saluran Astro Oasis (106) dan Maya HD (134) pada setiap Sabtu pukul 9 malam bermula 8 April ini.

Post a Comment

Previous Post Next Post