Empayar niaga, seni Neelofa


SATU demi satu kejayaan manis dilakar bekas pemenang Dewi Remaja 2009/10, Noor Neelofa Mohd Noor, 28, baik dalam seni atau perniagaan.

Ternyata, perjalanan seni lebih tujuh tahun lalu mematangkan dirinya, sekali gus memberi ruang buat pemilik nama komersial, Neelofa ini untuk terus gagah melangkah.

Selepas menjadi bualan hangat peminat seni hasil penangan fenomena #lofattah, Neelofa sekali lagi menjadi perhatian ramai apabila namanya disenaraikan dalam Forbes 30 Under 30 Asia 2017.

Pemilihan bintang filem Pilot Café ini secara tidak langsung memberi refleksi membanggakan terhadap peniagaan yang diusahakan sejak beberapa tahun lalu.

Neelofa atau lebih mesra disapa Lofa merupakan pengasas dan pengarah NH Prima International Sdn Bhd yang tersenarai di bawah kategori Runcit dan E-Dagang.

Berkongsi berita gembira itu, Lofa ketika ditemui di majlis pelancaran siri program di Hurr.tv, #followlofa mengakui tidak boleh menyembunyikan rasa terharunya, apatah lagi pengiktirafan itu datang ketika usia yang masih muda.

“Apabila mereka approach menerusi e-mail sekitar Februari lalu, saya terkejut dan minta mereka terangkan kenapa saya terpilih. Pada peringkat awal, nama saya tersenarai dalam 300 individu terpilih.

“Kemudian mereka sekali lagi menghubungi saya dan memaklumkan nama dalam senarai 30 individu manakala 10 sahaja akan dipaparkan menerusi temu bual majalah.

“Rasa antara percaya atau tidak sebenarnya. Bagi saya it's too early. Selama terlibat dalam dunia perniagaan, Naelofar Hijab khususnya menerima pelbagai pengiktirafan. Itu pun masih lagi baru bagi saya.

“Jadi bila Forbes pula yang menghubungi, biar betul!,” akui Lofa yang dihubungi pihak editorial mereka di Hong Kong untuk sesi temu bual mengenai rahsia kejayaannya dalam perniagaan dan kerjaya.

Kongsi rahsia kejayaan

Ditanya apakah rahsianya hingga berada pada tahap sekarang, Lofa memberitahu Media Hiburan, konsistensi adalah paling penting.

“Bagi saya, apa saja yang berlaku, keep moving forward walaupun ada cabaran mendatang. Cuma saya bertuah kerana ramai yang memberi sokongan. Saya tidak bekerja dengan orang luar sebaliknya bersatu berniaga atas kerjasama keluarga sendiri.

“Jadi trust issue atau money problem itu tidak ada dan kami fokus terhadap perkara lain. Pada masa sama, penglibatan dalam dunia seni juga merupakan satu platform dan bonus point untuk saya perkenalkan produk dan diri sendiri sebagai suatu jenama,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Lofa juga sempat berpesan kepada yang ingin berjinak-jinak dalam dunia perniagaan supaya memulakannya dengan skala kecil.


“Jangan harapkan sesuatu yang besar. Sebaliknya, mulakan dengan apa yang kita ada terlebih dulu,” ujar Lofa yang menghentikan seketika projek produk baru untuk fokus terhadap produk sedia ada.

“Bila terlalu banyak produk, secara tidak langsung boleh menyebabkan fokus itu lari. Jadi, kami kuatkan dulu yang dah ada,” katanya.

Papar kehidupan peribadi

Lofa turut mengajak peminat untuk mengetahui kisah hidupnya menerusi program realiti web terbaru, #followlofa di Hurr.tv. yang menyajikan kehidupan sehariannya selama 10 minit bagi setiap episod bermula 26 April.

“Tempoh 10 minit setiap episod itu just nice kerana ia sebenarnya hampir sama dengan apa yang saya paparkan di media sosial. Cuma lengkap dengan sesi interview saja,” terang Neelofa yang juga gemar berada di dapur ketika bersama rakan-rakan.

Sementara itu, Lofa bakal berehat dalam aktiviti seni Ramadan ini dan berangkat ke Mekah selama dua minggu untuk menjalani ibadah puasa di Tanah Suci.

Post a Comment

Previous Post Next Post