Siti Nordiana selesa lagu tangkap leleh


HADIR dengan single terbaru berjudul Terus Mencintai, Siti Nordiana Alias, 33, atau nama popularnya Siti Nordiana mengakui lagu tersebut merupakan kesinambungan indah dalam kembara seninya yang sudah mencecah 18 tahun.

Mendapat reaksi positif daripada peminatnya setakat ini, Siti Nordiana atau lebih mesra disapa Nana dalam kalangan rakan media bersyukur atas respons yang diterima terhadap Terus Mencintai, apatah lagi itu percubaan pertamanya melabur duit sendiri dalam pembikinan lagu dan muzik video.

Akui Nana, bukan sesuatu yang mudah apabila mengambil keputusan berani mengeluarkan kos sendiri bernilai puluhan ribu untuk proses penghasilan single terkininya.

“Bukan tidak mahu menggunakan khidmat komposer sedia ada, tetapi saya mahu cabar diri. Bila buat lagu dengan kos sendiri, sudah pasti tahap kesungguhan kita untuk memberikan yang terbaik itu akan lebih bertambah,” jelasnya.

Apa yang pasti, Nana mengharapkan yang terbaik untuk Terus Mencintai, sementelah melodinya saling tidak tumpah dengan barisan lagu balada ‘jiwang’ sekitar tahun 90-an.

Berkongsi dengan lebih terperinci mengenai lagu tersebut, bintang kelahiran Felda Sendayan, Negeri Sembilan ini memberitahu, lagu dan lirik adalah ciptaannya sendiri, dengan mengambil inspirasi daripada pengalaman duka lalu.

Tambah Nana, adalah lebih mudah untuk memikirkan soal duka dalam menukilkan lirik kerana baginya, itulah cara paling baik untuk menyuntik emosi tersendiri ketika proses rakaman.

“Kali terakhir saya buat lagu sendiri adalah sekitar 2005. Ada dua lagu yang saya cipta berjudul Serikan Wajahmu dan Seribu Janji. Namun melodinya lebih rancak.

“Jadi untuk lagu kali ini, genrenya ialah balada. Kiranya ini adalah eksperimen sulung saya di dalam penghasilan lagu berentak sedemikian,” katanya yang turut mengakui, lebih selesa membawakan lagu ‘tangkap leleh’ berbanding rentak urban.

Sebelum ini, Nana menyanyikan lagu berjudul Pesanan Teragung, sejurus tamatnya Gegar Vaganza. Muziknya sedikit berbeza dengan lagu-lagu yang pernah dirakamkan.

"Bagaimanapun apa yang positifnya, saya turut dapat peminat baru bila lagu itu dilancarkan. Tentunya, ini sesuatu yang menarik daripada saya.

“Mac ini, saya kembali dengan lagu ‘tangkap leleh’ yang dirasakan lebih sinonim dengan jiwa dan cita rasa peminat.

“Ini juga merupakan permintaan peminat yang mahukan saya terus menyanyikan lagu-lagu seperti zaman 90-an lalu. Inilah hadiah istimewa buat mereka semua,” katanya lagi.

Menjawab persoalan mengenai sejauh mana sukarnya menerbitkan lagu sendiri, penyanyi yang sebelum ini terkenal dengan lagu Terpaut Sayang Padamu dan Cinta Hanya Sandaran ini berkongsi, tahun 2017 adalah waktu paling sesuai buatnya untuk
mengambil langkah drastik di dalam profil seninya.

“Saya ambil masa lama untuk buat lagu ini, iaitu lebih kurang setahun kerana selain sibuk dengan aktiviti seni dan Gegar Vaganza pada waktu itu, saya juga perlukan idea untuk memberikan yang terbaik kepada mereka yang banyak memberi sokongan.

“Syukurlah, tempoh setahun itu akhirnya berbaloi hasil daripada pertolongan rakan industri bermula daripada aspek rakaman sehinggalah kepada pembikinan muzik videonya yang turut menampilkan hero Dia Semanis Honey, Alif Satar," katanya.

Idea peminat

Ditanya mengenai reaksi peminatnya apabila sekali lagi menampilkan Alif Satar usai drama tersebut, Nana menjelaskan, itu adalah idea peminat sendiri.

“Meskipun saya tahu akan ada yang tidak suka, mengatakan saya tidak boleh move on, ia adalah pandangan segelintir sahaja. Saya tidak boleh puaskan hati semua pihak. Gandingan saya bersama Alif dirasakan tepat kerana saya sedia maklum, peminat masih mahukan sesuatu daripada kami berdua.

“Insya-ALLAH, Disember depan kami akan bergandingan lagi untuk drama berjudul Pengantin Musim Salju.

“Kalau diikutkan, drama ini mungkin turut menjalani penggambaran di Jepun pada musim salji,” terang Nana yang turut mendapat tawaran berlakon dalam sebuah telefilem komedi bersama pelakon dan penyanyi, Izzue Islam.

Namun selebriti ini tidak boleh menerangkannya dengan lebih lanjut kerana ia masih di peringkat perbincangan.

Keluarkan gincu, buku biografi

Jika selebriti lain kini sibuk mengeluarkan jenama sendiri, Nana yang sebelum ini cukup sukses dengan perniagaan tudung jenamanya iaitu Nanarayyan Hijab by Siti Nordiana kini maju setapak dengan melancar seleksi gincu.

“Terbaru saya ada keluarkan gincu iaitu SND Lipstick. Selain itu, saya juga ada merancang mengeluarkan buku biografi sendiri. Sebenarnya, proses penghasilan buku itu sudah pun dirancang lebih dua tahun yang lalu.

“Tapi itulah, ia mengambil masa lama untuk disiapkan kerana saya tidak mahu biografi itu dilakukan ala kadar sahaja.

Paparan itu mestilah berkualiti,” ujar ibu kepada Muhammad Rayyan Nakhaie, 9 tahun ini.

Post a Comment

Previous Post Next Post