Nadzmi Adhwa fokus dunia lakonan


SETIAP pelakon mahu mencuba pelbagai watak untuk menguji tahap kemampuan dan kebolehan mereka dalam menghidupkan sesebuah karakter yang diberikan.

Menurut pelakon Nadzmi Adhwa Nor Azmi, 24, pada tahun 2017 ini dia mahu memberikan sepenuh tumpuan terhadap bidang lakonan.

“Tahun lepas saya banyak menjadi pengacara di program televisyen seperti travelog, Jalan-Jalan Cari Makan, dan Bila Bujang Masuk Dapur.

“Jadi pada tahun ini saya mahu fokus lebih kepada bidang lakonan. Dan pada tahun ini juga saya mahu mencuba pelbagai watak,” ujarnya yakin.

Anak muda yang pernah membintangi filem Langit Cinta turut memaklumkan andai diberikan peluang dan ruang untuk tampil semula di dalam filem, antagonis merupakan pilihan watak seterusnya.

“Sebenarnya saya sukakan watak aksi dan antagonis sebab dah selalu sangat dapat watak yang baik-baik. Bagi saya sebagai seorang pelakon mencuba sesuatu yang baru terutama karakter lakonan itu sangat wajar.

“Dengan cara itu dapatlah saya mengukur kebolehan dan kemampuan saya supaya dapat tampil dengan lebih baik lagi. Andai ada kekurangan jadi saya akan berusaha untuk memperbaiki kelemahan tersebut,” jelasnya.

Menyedari dirinya sebagai bintang baru dalam dunia hiburan, Nadzmi turut menghadiri kelas lakonan bagi memperbaiki mutu lakonannya.

“Memandangkan saya merupakan bekas pelajar pereka grafik, jelas saya tidak ada asas lakonan. Oleh itu, saya mengambil inisiatif untuk menimba ilmu lebih mendalam fasal lakonan.

“Kita bekerja sebagai pelakon kena faham setiap pergerakan dan percakapan serta emosi yang mahu disampaikan. Contoh, kalau watak berat dan ringan ada cara penyampaiannya tersendiri,

“Jadi saya ada ambil kelas lakonan dengan seorang pelakon senior. Alhamdulillah sudah tiga bulan dan banyak yang saya dah pelajari. Walau bagaimanapun masih banyak lagi yang perlu diperbaiki,” katanya.

Dalam perkembangan lain Nadzmi bakal muncul menerusi slot telemovie Batasan Kasih pada bulan Ramadan tahun ini, arahan Rashid Sibir.

Antara barisan artis yang menjayakan telemovie tersebut ialah Jasmin Hamid, Jalil Hamid, Nad Zainal, dan ramai lagi.

Manakala dalam bidang pengacaraan pula, Nadzmi digandingkan bersama pelakon Luqman Hafidz dalam Rentak Juara 2017 yang disiarkan di saluran RTM TV2 setiap hari Sabtu.

Post a Comment

Previous Post Next Post